Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Kisah Barsisa

>> Saturday, August 9, 2008

Kisah Barsisa ini adalah kisah teladan yang menunjukkan bahawa iblis sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia. Salah satu kelemahan manusia ialah nafsu syahwatnya. Barsisa adalah seorang ahli ibadah Bani Israil yang begitu kuat beribadah tetapi kurang berilmu serta tidak dapat mengetahui tipu daya iblis akhirnya mati dalam keadaan kafir. Kisah ini diambil dari buku Rawatan Gangguan Makhluk Halus Menurut Al-Quran Dan As-Sunnah oleh Prof. Dr Haron Din dan Dr. Amran Kasimin cetakan tahun 1990 (buku ini tiada lagi di pasaran setelah digantikan dengan cetakan tahun 1997 - cetakan 1997 ini tidak lagi mencatatkan kisah Barsisa ini). Ikuti kisahnya...


Ibn Abbas r.a. mengisahkan bahawa pada zaman dahulu terdapat seorang lelaki yang sangat salih bernama Barsisa, yang telah beribadat di satu tempat ibadat selama 70 tahun. Dia tidak pernah melakukan maksiat biarpun sekelip mata.
Pada satu hari iblis telah mengumpulkan satu golongan syaitan yang bijak-bijak dan bertanya, siapakah di antara mereka yang sanggup membinasakan Barsisa. Mendengarkan pertanyaan itu, iblis bernama Si Putih berjanji akan melakukannya. Si Putih mengatur langkah dengan mencukur licin tengah-tengah kepalanya dan berpakaian seperti pakaian yang dipakai oleh Barsisa, yang menunjukkan bahawa dia adalah seorang rahib yang salih dan ahli ibadah. Kemudian ia pergi ke tempat Barsisa beribadat. Setibanya di sana dia terus memberi salam, tetapi tidak mendapat jawapan. Barsisa tidak berhenti daripada sembahyangnya kecuali setelah 10 hari. Ia hanya berhenti makan sekali dalam 10 hari. Melihatkan Barsisa tidak memperdulikannya, Si Putih pun ikut Barsisa sembahyang dan beribadat. Apabila Barsisa berhenti sembahyang, ia ternampak Si Putih sedang berdiri sembahyang seperti kelakuan seorang ahli ibadat.
Melihatkan demikian dia berkata:
“Saudara memanggil saya ketika sembahyang tadi. Apa hajat saudara?”
“Hajat saya, saya ingin bersama tuan. Berguru kepada tuan. Agar dapat saya beribadah seperti yang tuan lakukan. Kita sama-sama beribadat. Tuan berdoa kepada Allah untuk diri saya dan saya berdoa untuk tuan”. Tegas Si Putih pendek.
Sayang sekali saya tidak dapat memenuhi permintaan saudara. Apabila saudara telah termasuk dalam golongan orang yang beriman, ini bermakna saudara termasuk dalam doa saya kepada Allah apabila dikabulkan”.
Barsisa kembali beribadah meninggalkan Si Putih. Si Putih meneruskan ibadahnya dengan berpura-pura bersembahyang tanpa dilihat oleh Barsisa selama 40 hari. Bila ia berhenti sembahyang dilihatnya Si Putih masih lagi sembahyang. Melihatkan kesungguhan sedemikian rupa, Barsisa bertanya,
“Apa sebenarnya hajat saudara?”
“Hajat saya ingin beribadat bersama tuan”. Jawab Si Putih dengan penuh hati-hati.
“Kalau boleh, dapat kiranya tuan izinkan saya naik ke tempat tuan beribadah”.
“Barsisa mula tertarik hati kepada Si Putih lalu mengizinkannya naik. Kemudian ia pun beribadah semula bersama-sama Si Putih selama setahun, tanpa makan kecuali selepas 40 hari, dan tidak berhenti sembahyang kecuali sekali setiap 40 hari. Kadang-kadang sampai 80 hari.
Melihat kesungguhan Si Putih, Barsisa merasa kesal terhadap perkara yang telah dilakukan. Dalam masa yang sama dia merasa kagum dengan ibadah yang dilakukan oleh Si Putih. Setelah cukup setahun, Si Putih berkata kepada Barsisa.
“Saya mahu pergi sekejap untuk menemui teman”.
Barsisa merasa berat hendak berpisah dengan temannya tetapi ia terpaksa melepaskannya pergi. Ketika hampir pergi Si Putih berkata kepadanya.
“Sebelum saya pergi saya ingin mengajar tuan beberapa doa. Tuan boleh dunakan untuk mengubati pesakit terutamanya orang yang menderita gila”.
“Saya tidak memerlukannya. Saya takut bila orang ramai tahu, mereka akan datang berjumpa dengan saya. Semuanya ini akan mengganggu ibadah saya kepada Allah.” Barsisa menjawab dengan ikhlas.
Si Putih tetap mengajarnya ilmu tersebut. Kemudian ia beredar menemui iblis. Iblis berkata kepadanya bahawa Barsisa akan binasa.
Si Putih telah berjumpa dengan seorang lelaki, lalu mencekiknya. Kemudian ia datang menjelma dirinya berlagak seperti seorang yang pandai mengubati penyakit lalu menemui keluarga lelaki tersebut dan berkata.
“Saudara kamu kena rasuk hantu. Adakah kamu perlukan saya merawatnya?” Mereka semuanya menjawab mengatakan benar.
“Maaf, saya tidak berupaya mengubati sakitnya… tetapi, rasanya elok kalau saya tunjukkan seorang lelaki yang boleh mengubatinya dengan cara berdoa kepada Allah. Dia akan sembuh.” Si Putih mula membuat helah.
Lalu ia memberitahu Barsisa. Keluarga pesakit dengan segera menemui Barsisa dan memohon pertolongan daripadanya. Apabila Barsisa membaca doa yang diberi oleh iblis dahulu, maka pesakit pun sembuh.
Demikianlah halnya yang dilakukan oleh Si Putih kepada beberapa orang lain. Setiap kali melakukannya dan orang yang berkenaan sakit, ia akan menjelmakan dirinya dan memberitahu kepada keluarga pesakit ke mana seharusnya mereka pergi untuk mendapatkan pertolongan.
Akhirnya Si Putih pergi kepada seorang perempuan muda dari golongan ternama Bani Israil lalu menyeksa dan mencekiknya. Kemudian ia menjelmakan diri berlagak seperti seorang lelaki yang pandai mengubati penyakit lalu menemui keluarga perempuan tadi.
“Adakah saya perlu merawatnya.” Tanya Si Putih pura-pura.
“Ya”. Jawab mereka semua dalam kecemasan.
“Perempuan ini dirasuk syaitan. Sayangnya saya tidak berupaya hendak mengubatinya. Tetapi kalau tuan-tuan mahu, tuan-tuan boleh berjumpa dengan seorang lelaki yang banyak ilmu, dia boleh mengubati orang kena rasuk. Kamu bawa perempuan itu kepadanya. Bila ia sakit dirasuk syaitan dia akan berdoa kepada Allah dan pesakit akan sembuh.” “Bagaimana kita semua hendak berbuat demikian. Dia seorang lelaki ternama lagi tinggi martabatnya?” Tanya keluarga perempuan tersebut.
“Itu mudah sahaja. Tuan-tuan boleh bina sebuah biara berhampiran dengan biaranya. Barsisa akan mengubatinya. Kalau dia enggan merawat, tinggalkan sahaja perempuan di biara. Sakitnya parah dan tidak mudah sembuh.” Si Putih memberi jalan.
Keluarga perempuan itu pun melakukan apa yang telah disyorkan oleh Si Putih. Setelah biara dibinam perempuan itu pun ditinggalkan di situ, menyerahkannya kepada Barsisa untuk dirawat. Setelah itu mereka pun memohon diri pulang.
Tatkala Barsisa berhenti sembahyang, matanya tertumpu kepada perempuan yang begitu cantik, menjadikan hatinya berdebar-debar tertawan melihatnya. Ketika itu syaitan pun datang dan mencekik perempuan tadi. Barsisa datang merawatnya dengan membaca doa yang diberi oleh syaitan dahulu lalu sembuh. Setelah itu dia pun kembali sembahyang semula. Syaitan datang lagi dan mencekiknya. Barsisa datang untuk mengubatinya. Ketika itu si perempuan yang sedang sakit itu tidak sedarkan diri pakaiannya terlucut dari badan. Syaitan datang membisikkan di hati Barsisa, serta mengapi-apikannya supaya melakukan zina. Ini adalah peluang keemasan yang tidak mudah diperolehi. Selepas itu dia boleh bertaubat. Dia akan memperolehi apa yang dia mahu. Begitulah bisikan dan godaan iblis syaitan berulang kali. Akhirnya Barsisa tidak berupaya hendak mengawal dirinya lalu melakukan zina. Dia mengulangi perbuatannya tadi beberapa kali hingga perempuan itu besar kandungannya.
Ketika itu Si Putih menemui Barsisa dan berkata:
“Alangkahnya celakanya engkau wahai Barsisa. Kau telah melakukan perbuatan jenayah. Melakukan zina dengan perempuan yang diamanahkan kepada kau. Tidakkah kau malu bila keluarganya datang dan melihat anaknya hamil”?
Barsisa begitu terperanjat dan menyedari perbuatannya yang terlanjur. Melihat keadaan yang demikian, Si Putih berkata,
“Untuk mengelakkan diri daripada kecelakaan, mungkin kau perlu bunuh perempuan itu. Nanti bila saudara-saudaranya datang, katakana pada mereka yang perempuan itu telah dirasuk syaitan, kau tidak berupaya merawatnya…”
Hasutan Si Putih masuk dalam hatinya lalu dia masuk ke bilik perempuan tadi dan membunuhnya. Kemudian Barsisa membawa mayat itu keluar dan menanamnya di tepi sebuah bukit. Syaitan datang ketika Barsisa menanam mayat di waktu malam, lalu ia menarik keluar hujung kainnya dan ditinggalkan nampak di atas tanah.
Setelah itu Barsisa balik ke tempat ibadahnya dan bersembahyang. Tiba-tiba datanglah saudara mara perempuan tadi bertanyakan hal. Barsisa memberitahu apa yang diajar oleh Si Putih dengan mengatakan bahawa perempuan itu telah dirasuk syaitan lalu lari. Ia tidak berupaya hendak mengubatinya. Mereka percaya kata-kata Barsisa lalu beredar pergi.
Ketika tidur syaitan datang dalam mimpi saudara lelaki yang tua, memberitahu bahawa Barsisa telah membunuh adiknya dan menanamnya di tepi sebuah bukit. Ia tidak percayakan mimpinya dan mengatakan perkara yang dilihatnya dalam mimpi itu adalah daripada syaitan. Tidak mungkin Barsisa berbuat demikian kerana dia adalah seorang alim.
Mimpi yang sama terjadi selama 3 malam berturut-turut tetapi tidak dipedulikan olehnya. Syaitan datang kepada saudara lelakinya yang tengah dan mendatangkan mimpi yang sama. Dia juga tidak mempercayai mimpi tersebut. Kemudian syaitan pergi kepada saudaranya yang paling muda dan mendatangkan mimpi yang sama seperti yang dilakukan kepada saudara-saudaranya yang lain. Saudara yang muda ini telah memberitahu abang-abangnya tentang perkara yang telah dilihat dalam mimpinya. Akhirnya, mereka mengaku bermimpikan mimpi tentang hal yang sama.
Keesokan harinya mereka pergi menemui Barsisa, bertanyakan hal yang sebenar. Bersisa memberitahu mereka seperti jawapan yang lalu, lantas mereka beredar pergi. Ketika hendak pergi, iblis datang dan berkata bahawa saudara perempuan mereka ditanam di tepi bukit. Hujung kainnya terkeluar dari tanah. Mendengarkan cerita tersebut mereka semua pun pergi ke tempat yang dikatakan oleh syaitan tersebut. Mereka mendapati hal tersebut benar belaku.
Mereka semua kembali bersama kanak-kanak yang membawa kapak dan alat-alat lain lalu merobohkan rumah ibadah abid dan menangkapnya untuk diserahkan kepada raja. Barsisa mengaku yang dia telah berzina dengan perempuan yang berkenaan dan membunuhnya bila ia mengandung.
Ketika Barsisa dinaikkan ke atas tiang salib, syaitan datang bertanya.
“Adakah kau kenal aku?”
“Tidak”. Jawab Barsisa pendek.
“Akulah temanmu yang mengajar engkau doa-doa, maka aku perkenankan permintaanmu. Alangkah celakanya engkau. Engkau tidak malu kerana mengkhianati amanah yang dipertaruhkan kepadamu. Sesungguhnya aku sangka engkau adalah orang yang paling patuh dan taat perintah Tuhan dari kalangan Bani Israil. Kau tidak malu. Akulah yang menipu engkau.”. Si syaitan menyambung.
“Kau sekarang akan menjalani hukuman mati. Tidak ada seorang pun yang boleh menyelamatkan engkau… tetapi aku boleh melakukannya.”
“Apa yang patut kau lakukan.” Harapan Barsisa kepada syaitan.
“Berikan aku satu percubaan terakhir supaya aku boleh selamatkan kau daripada kesengsaraan ini. Aku akan dapat menutup pandangan mereka dan mengeluarkan kau dari tempatmu.” Jawab Syaitan.
“Apa dia” Tanya Barsisa lagi.
“Engkau sujud kepadaku.”
“Baik. Aku akan lakukan.” Barsisa berjanji akan sujud.
Ketika sujud iblis berkata, “Inilah yang aku mahukan darimu selama ini. Iaitu mengajak kau menjadi kafir. Kau akan menanggung akibat perbuatanmu dan aku takut kepada Tuhan.” Lalu iblis pun meninggalkan Barsisa.
Ketika itu juga Barisa menerima tikaman tombak dan panah. Ia mati dalam keadaan kafir.

Demikianlah kesudahan seorang ahli ibadah yang telah menghabiskan masa hampir 80 tahun dengan beribadah sahaja dan tidak pernah melakukan maksiat akhirnya berjaya ditewaskan oleh iblis laknatullah. Apatah lagi kita yang ibadahnya tidak pernah sempurna.. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita hingga ke akhir hayat.

Read more...

Kepercayaan Terhadap Kewujudan Makhluk Halus dan Gangguannya Menurut Islam

>> Monday, August 4, 2008

Dewasa kini kita sering didedahkan dengan banyak siri-siri televisyen yang memaparkan kisah-kisah yang berkaitan dengan ilmu hitam atau hantu-hantu. Di TV3 sendiri, antara siri drama televisyen yang popular dan mempunyai jumlah penonton yang tinggi ialah siri Seram. Bermula dengan drama Susuk, Saka dan yang terkini ialah Kekasihku Seru. Di pawagam-pawagam pula ada menayangkan filem-filem seperti Jangan Pandang Belakang, Waris Jari Hantu dan juga Susuk yang diadaptasi dari drama bersiri televisyen.

Persoalannya adakah kisah-kisah yang dipaparkan ini betul serta tidak menyalahi pegangan akidah kita sebagai umat Islam? Apakah kesan-kesan yang mungkin akan dialami oleh masyarakat kita jika terlalu banyak dihidangkan dengan cerita-cerita sebegini? Bahkkan ada juga pendapat yang cuba untuk menafikan kebenaran cerita-cerita tersebut dengan mengatakan "saya tak percaya dengan benda-benda ni semua, semuanya tak wujud, karut dan bertentangan dengan Islam". Adakah pendapat sedemikian benar? Adakah makhluk halus ini tidak wujud dan karut? Adakah perbuatan sihir itu tahyul?

Baiklah, melalui ruangan yang terhad ini saya akan berkongsi sedikit pengalaman sebagai seorang guru agama yang telah berhadapan dengan masalah-masalah yang disebabkan gangguan makhluk halus. Insya Allah, jika saya mempunyai kudrat dan dipanjangkan umur saya juga akan menjelaskan bagaimana kita hendak mengenali sesuatu masalah yang disebabkan gangguan makhluk halus atau sihir seperti santau, pukau, saka, guna-guna dan sebagainya, serta cara bagaimana untuk mengatasinya.

Sebelum itu saya hendak memberi komen terlebih dahulu terhadap pendapat yang mengatakan bahawa benda-benda ni semua karut, tahyul dan bertentangan dengan akidah Islam sebelum saya komen terhadap cerita-cerita drama atau filem yang terdapat di pasaran sekarang.

Sebenarnya kewujudan makhluk halus adalah suatu hakikat atau realiti yang wajib diyakini oleh umat Islam. Kewujudan mahkluk halus seperti iblis, syaitan dan jin adalah benar. Sebab itulah kita digalakkan membaca "A'uuzubillaahiminassyaitoonirrojiim" yang bermaksud "Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam'. Nah, bukankah ini satu dalil yang jelas menunjukkan bahawa makhluk yang kita tidak nampak itu iaitu syaitan memang wujud. Begitu juga kewujudan makhluk lain yang turut dinyatakan dalam Al-Quran seperti iblis, jin dan ifrit. Firman Allah S.W.T. dalam surah Az-Zariyat ayat 56-57 yang bermaksud:

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadah (menyembah) kepadaKu. Aku tidak meminta daripada mereka rezeki dan Aku tidak perlukan mereka memberi makan kepadaKu"

dan firmannya lagi dalam surah Al-A'raf ayat 176 (bermaksud):

"Dan sesungguhnya Kami telah sediakan bagi neraka jahanam itu seberapa banyak daripada golongan jin dan manusia. Mereka ada hati tetapi mereka tidak mahu berfikir dengannya. Mereka mempunyai mata tetapi mereka tidak mahu memerhatikan dengannya. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka semua seperti binatang-binatang ternakan, bahkan mereka itu lebih sesat, mereka itulah orang-orang yang lalai"

Sebenarnya ada banyak lagi dalil-dalil yang menyatakan tentang kewujudan makhluk-makhluk lain yang hidup bersama manusia dan mereka tidak dapat dilihat. Makhluk halus yang paling hampir dengan manusia dan mempunyai tanggungjawab (hukum taklif) yang sama dengan manusia adalah jin, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surah Az-Zariyat ayat 56 tadi.

Mereka juga hidup di dunia ini tetapi dalam alam yang berlainan iaitu alam yang tidak kelihatan. Apabila sesuatu makhluk itu hidup di dunia ini maka semuanya tertakluk kepada undang-undang alam atau fitrah alam. Fitrah alam adalah satu peraturan yang menyatakan bahawa terjadinya sesuatu perkara itu adalah disebabkan oleh sesuatu perkara yang lain. Contohnya sesuatu benda itu boleh dipotong menggunakan pisau atau parang, api adalah sebab sesuatu benda itu terbakar. Oleh yang demikian manusia dan jin juga tertakluk pada peraturan ini. Ada sesuatu perkara yang jika dilakukan oleh jin boleh memberi sesuatu kesan kepada manusia dan demikian juga sebaliknya terdapat sesuatu perkara yang jika dilakukan oleh manusia boleh memberi kesan kepada jin.

Sebab itulah jin boleh memberi kesan negatif kepada manusia seperti dalam amalan sihir. Ia adalah fitrah alam. Sesuatu fitrah alam itu tidak berlaku hanya dengan keizinan Allah. Contohnya seperti fitrah api yang membakar sesuatu, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu api tidak membakar sebagaimana dalam kisah Nabi Ibrahim A.S. Ini adalah mukjizat. Dalam amalan-amalan sihir yang kita boleh perhatikan juga kadang-kadang api tidak membakar.

Oleh yang demikian, kita hendaklah berpendirian bahawa makhluk-makhluk halus ini boleh memberi kesan negatif kepada manusia mengikut fitrah alam atau dengan keizinan Allah S.W.T. Ahli-ahli sihir atau bomoh atau dukun-dukun syirik boleh mendatangkan kecelakaan kepada kita setelah mendapat keizinan Allah.

Justeru, pendapat yang menyatakan bahawa kewujudan hantu-hantu, jin dan syaitan adalah kepercayaan karut adalah tidak tepat sama sekali. Makhluk-makhluk ini memang wujud, hanya namanya sahaja yang berbeza mengikut tempat. Jika di Malaysia, makhluk-makhluk halus ini dikenali dengan nama-nama seperti jembalang, pontianak, hantu raya, pelesit, toyol dan sebagainya. Semuanya itu adalah suku kaum dari bangsa jin.

Berkenaan dengan siri-siri drama dan filem seram yang ada di pasaran sekarang saya rasa banyak kesan negatifnya. Walaupun 90% kisah-kisah ini memang berdasarkan realiti, tetapi terdapat juga tokok tambah yang lari dari hakikat sebenar. Mungkin untuk menyedapkan jalan cerita. Dalam drama Susuk contohnya, adegan semasa Pak Ali berlawan dengan Degawan terdapat unsur-unsur tahyol iaitu semasa Pak Ali mengeluarkan kuasa api sama seperti Degawan. Ini adalah penambahan yang tidak berlaku di alam realiti. Seseorang yang mempunyai kelebihan berlawan dengan syaitan hanya perlu menggunakan kekuatan rohnya sahaja. Roh mereka akan bercahaya dan bersinar dengan terang dan boleh melemahkan syaitan. Individu seperti ini tidak memerlukan untuk membuka langkah persilatan untuk menentangnya, cukup dengan sinaran roh tersebut. (Saya akan huraikan bagaimana roh yang kuat dan bersinar dapat menewaskan makhluk-makhluk halus dalam kesempatan akan datang).

Selain itu, dalam filem waris jari hantu terdapat unsur-unsur yang mengajak penonton mempercayai bahawa saka itu adalah tidak salah. Saka itu boleh membantu di waktu kesusahan, saka itu bertujuan baik. Sehingga tamat filem ini tidak menyatakan bahawa menyimpan saka adalah satu perbuatan yang salah di sisi Islam dan boleh membawa syirik. Producer sepatutnya peka dengan keadaan ini sebab tersilap tindakan kita boleh menyebabkan ramai saudara-saudara kita menjadi syirik.

Baiklah cukup setakat ini, kita bincangkan tajuk-tajuk lain dikesempatan akan datang, Insya Allah.

Read more...

Kursus Buat Blog

>> Sunday, August 3, 2008

Kursus buat blog ini (2/8/08) adalah yang pertama kalinya pernah diadakan di Sepintar untuk tahun 2008. Nampak macam mudah je buat blog ni tapi kelihatan para peserta ni pening-pening lalat sikit. Walau bagaimanapun tahniah kepada para peserta kerana nampak peluang yang ada. Kursus ini cuma dikenakan bayaran sebanyak RM50 sahaja jika dibandingkan kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak luar yang kebiasaannya mengenakan yuran tidak kurang RM300 untuk kursus satu hari.

Terima kasih banyak kepada Cikgu Zali dari SK Taman Desa 2 kerana sudi datang memberi ceramah.

Tahniah juga diucapkan kepada Jawatankuasa Perkembangan Staff terutamanya Puan Roslina dan Puan Siti Fatimah kerana berjaya menganjurkan kursus ini.





* Kepada peserta-peserta kursus jika ada sebarang kesulitan, jangan malu dan segan, hantarkan mesej kepada saya melalui borang 'hubungi saya'.

Read more...

Kursus Suntingan Video

Selama 3 hari bermula pada 31 Julai sehingga 2 Ogos 2008 satu kursus suntingan video telah dijalankan di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Rawang.



Kursus suntingan video ini adalah yang ketiga kalinya pernah diadakan sejak 4 tahun yang lepas. Kali ini saya telah dipertangungjawabkan untuk memberi ceramah kaedah suntingan video menggunakan ulead video studio 9,10 & 11. Ternyata setiap peserta yang terdiri dari guru-guru media sekitar Rawang begitu teruja sepanjang tempoh kursus ini diadakan. Maklumlah inilah kali pertama mereka didedahkan bagaimana memproses rakaman video sehingga menjadi VCD atau DVD. Keterujaan mereka jelas ketara sehingga sukar untuk meninggalkan laptop masing-masing walaupun masa berehat telah sampai.

Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua guru-guru media ini semoga dapat memberi khidmat terbaik kepada sekolah masing-masing.





*Tahniah kepada En Azmy Sham dan rakan-rakannya kerana berjaya menganjurkan kursus ini.

Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP