Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Bertuahnya Jadi Murid Zaman Sekarang

>> Tuesday, October 28, 2008

Dah agak lama juga saya tak mengemaskini blog ini... sibuk raya la katakan. Sebenarnya raya tahun ni pun tak lah meriah sangat, cuti pun pendek, cuma ziarah saudara mara yang terdekat sahaja. Tidak lama lepas cuti raya saya telah ditugaskan untuk merakamkan Kursus Perlaksanaan Ibadah Umrah & Haji 2008. Kerja-kerja editing masih dalam proses, insya Allah dalam 3 ke 4 hari lagi akan siap.. bolehla saya kongsikan dalam blog ini nanti.

Semalam (27/10/2008) ada satu lagi tugas berat yang perlu dilaksanakan iaitu merakamkan dan mengambil gambar Majlis Graduasi & Sirih Pulang ke Gagang bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapi SPM tidak lama lagi. Majlis ni lebih kurang sama macam Majlis Konvokesyen Universiti, siap dengan jubah graduan dan iringan muzik gamelan. Satu lagi kerja-kerja suntingan perlu disiapkan cepat...

Melihat Majlis Graduasi yang dilangsungkan di Hotel Concorde, Shah Alam ini terlintas di fikiran saya bahawa betapa bertuahnya menjadi seorang murid sekolah zaman sekarang. Guru-guru sekarang sentiasa bertungkus lumus memberikan yang terbaik kepada setiap anak didik mereka. Bukan sahaja diberikan ilmu pengetahuan setiap hari tetapi juga dibelai, dirai dan ditatang sepenuhnya dengan kasih sayang... sehinggakan untuk memohon biasiswa pun guru-guru inilah yang bersusah payah mencari peluang yang ada. Kadang-kadang seorang pelajar itu tidak nampak pun kepentingan memohon biasiswa ni, tetapi guru-guru nilah yang sentiasa mendesak agar segera mengisi borang. Akhirnya mereka berjaya memperolehi biasiswa tersebut dan berjaya menyambung pelajaran ke oversea.

Dalam Majlis Graduasi yang diadakan semalam pihak sekolah terpaksa mengumpulkan dana puluhan ribu ringgit semata-mata untuk meraikan pelajar-pelajar tingkatan 5 ini di sebuah hotel terkemuka. Mereka juga terpaksa mengorbankan cuti serta bertungkus lumus menyiapkan segala kerja-kerja agar semuanya berjalan lancar dan rapi.

Bertuahnya menjadi seorang pelajar sekolah zaman sekarang. Semasa saya di tingkatan 4 dahulu, jangan katakan Majlis Graduasi di hotel majlis di sekolah pun tidak pernah diadakan, yang ada ialah majlis ucapan dan penyampaian hadiah. Orang yang berjaya mendapat hadiah akademik ni lazimnya orang yang sama setiap tahun. Kita sebagai pelajar yang sederhana pencapaiannya tidak pernah mendapat peluang untuk naik ke pentas dan menerima penghargaan. Jadi saya pun tidak pernah bermotivasi untuk masuk ke universiti. Apa yang saya tahu ialah sekolah hingga tingkatan 5 kemudian cari pekerjaan.

Mujurlah arwah Kak Nor membawa saya ke Majlis Konvokesyen UKM beliau pada tahun 1990 (ketika itu saya di tingkatan 5). Beliau yang memperolehi Ijazah Perubatan telah memberikan semangat yang luar biasa kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan masuk ke universiti. Semasa beliau mengenakan jubah konvo Fakulti Perubatan yang berwarna merah saya mula bertekad untuk menyarungkan jubah konvo ini satu hari nanti. Masa tu dah tingkatan 5... tak banyak yang boleh dilakukan. Tetapi Alhamdulillah akhirnya, selepas 7 tahun saya berjaya juga menyarung jubah konvo universiti yang sama, cuma warnanya sahaja yang berbeza iaitu hitam.

Pelajar-pelajar sekarang memang bertuah dan beruntung. Motivasi sentiasa diberikan, guru sekarang lebih banyak menggunakan pendekatan psikologi (dulu lebih kepada ketegasan, garang, dan sentiasa menggunakan rotan), pelajar sekarang tidak boleh diganggu emosinya, cakap kena elok-elok, tak boleh rotan, tak boleh tengking... kalau tengking juga silap-silap kena dakwa di mahkamah.

Tetapi malangnya kebanyakan pelajar sekarang tidak menyedari keadaan tersebut. Murid sekarang berani memarahi guru, menyalahkan guru walau hanya disebabkan sedikit kesilapan, dan yang lebih teruk ada yang sanggup membelasah dan menendang guru.

Wahai sekalian insan yang bergelar murid! hargailah kebertuahan anda...


Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP