Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Buat Loan Untuk Tunaikan Haji

>> Tuesday, November 4, 2008



Selesai sudah sambutan Syawal, kini tiba pula bulan Zulkaedah sebelum masuknya bulan Zulhijjah. Kedatangan bulan Zulhijjah bagi masyarakat Malaysia membawa makna bermulalah penerbangan haji ke Mekah. Bagi yang berkesempatan menunaikan ibadah haji tahun ini diucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana bukan senang untuk mendapat kesempatan menjadi tetamu Allah. Bagi yang masih belum mampu perbanyakkanlah berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menunaikan ibadah ini pada masa akan datang.

Dua tiga bulan yang lepas, Timbalan Menteri Di JPM (Dr Mashitah) mengeluarkan kenyataan bahawa umat Islam dibenarkan membuat pinjaman peribadi untuk tunaikan ibadah haji. Dua tiga hari selepas itu timbul pelbagai reaksi dari masyarakat. Majoriti masyarakat tidak bersetuju dengan cara sebegini. Kebanyakannya menyatakan bahawa ibadah haji adalah satu ibadah wajib yang mesti ditunaikan tanpa berhutang. Ini bermakna seseorang itu tidak tertanggung hukum wajib ke atasnya sekiranya ia masih belum mempunyai kemampuan kewangan. Dalam bahasa mudahnya ialah jika seseorang itu tidak ada duit maka tidak wajib menunaikan haji.

Memang benar, jika kita mempelajari syarat-syarat wajib haji (saya mempelajarinya semasa di sekolah rendah lagi) ada dinyatakan bahawa jika seseorang itu hendak menunaikan haji segala hutang-piutangnya hendaklah dilangsaikan semuanya terlebih dahulu bukan hanya hutang untuk tambang menunaikan haji bahkan semua hutang yang berkaitan dengan kehidupannya seperti hutang dengan saudara mara, hutang membeli barang-barang runcit dan sebagainya. Ditakuti sekiranya ajal kita sampai semasa di Tanah Suci maka roh kita tidak akan ditangguhkan untuk memasuki syurga. Itulah yang saya pelajari semasa berada di Sekolah Rendah Agama Sg Tengi Kanan (sekolah rendah agama sebelah petang).

Satu tinjauan dalam radio IKIM tidak berapa lama selepas kenyataan Dr Mashitah, para pendengar radio kebanyakannya tidak bersetuju dengan cara menunaikan haji seperti ini. Kalau boleh, biarlah kita pergi dan apabila pulang nanti kita tidak terpaksa membayar balik hutang.

Dari satu aspek saya setuju dengan pendapat tersebut, tetapi jika kita lihat semula dan difikirkan semula secara menyeluruh kaedah seperti ini masih boleh dianggap praktikal terutamanya pada zaman yang kompleks seperti sekarang. Bagi saya, syarat wajib haji seperti yang saya pelajari semasa di sekolah dahulu hanyalah Ijtihad Ulama semasa setelah melihat keadaan sosioekonomi pada masa tersebut. Ia tidak dianggap Qot'ie (tetap dan pasti), dan ia boleh berubah mengikut perubahan zaman dan masa.

Pada zaman sekarang, kita dapati hampir tiada seorang individu pun yang bebas dari hutang. Sekurang-kurangnya kita akan berhutang rumah, kenderaan, perabot dan sebagainya. Bahkan bagi usahawan-usahawan besar mereka juga mempunyai hutang yang bukan sedikit jumlahnya bahkan sampai jutaan ringgit. Jika begini keadaannya maka tiada seorang pun rakyat Malaysia yang jatuh hukum wajib untuk menunaikan haji.

Berbeza pada zaman awal-awal kemerdekaan negara dahulu (sekitar tahun50-an dan 60-an), kebanyakan rakyat Malaysia hidup dengan cara yang amat symple sekali. Mereka mendirikan rumah di atas tanah sendiri (jika tiada tanah boleh teroka mana-mana hutan yang ada... jangan lakukan hal sedemikian pada zaman sekarang jika tak nak merengkok dalam penjara!), makan hasil tanaman sendiri, tidak perlukan perabot, tidak perlu bayar bil, tidak perlukan kereta, tidak perlu bayar tol, tidak perlu bayar cukai pintu, tidak perlu bayar bil IndahWater atau Syabas dan sebagainya. Hutang sekiranya ada hanyalah hutang kepada ahli keluarga atau tauke cina (peraih hasil pertanian) untuk buat kenduri kahwin. Guru agama pondok masa itu boleh mengajar agama dengan seikhlas-ikhlasnya tanpa meminta sebarang upah kerana mereka mempunyai tanah yang boleh menyara kehidupan mereka.

Tetapi sekarang zaman dah berubah, dunia dah maju.. hutang pun dah maju. Tidak dikatakan hidup jika tidak berhutang (pendapat sesetengah orang). Zaman sekarang semuanya memerlukan duit. Celik saja biji mata dah kena keluar duit, nak buang air kat rumah sendiri pun kena bayar. Bila semuanya kena bayar, sedangkan pendapatan tidak seberapa maka mulalah kita berhutang. Nak guna kereta untuk ke tempat kerja kena berhutang, nak duduk di rumah sendiri pun kena hutang dan semuanya kena berhutang. Sekarang mana ada lagi tanah kosong untuk diteroka dan buat rumah sendiri sesuka hati? Jika semuanya hutang bila masanya kita boleh tunaikan ibadat haji?

Sekarang marilah kita berfikiran terbuka. Fikir dan renungkan sedalam-dalamnya. Sekarang kita mempunyai makanisme kewangan yang sistematik. Kita mempunyai banyak bank yang telah terbukti keberkesanannya. Kenapa kita tidak gunakan sistem ini? Baiklah, katakan kita sekarang adalah kakitangan kerajaan yang mempunyai pendapatan tetap dan terjamin sehingga kita tua. Setiap bulan kita akan buat potongan tabung haji sebanyak RM50. Kita buat jangkaan selepas 20 tahun kita boleh kumpul sebanyak RM12000, bolehlah kita bertolak menunaikan haji masa tu. Tapi kita terlupa, bahawa kos menunaikan haji akan sentiasa meningkat, sampai sahaja tempoh 20 tahun tersebut dengan jumlah wang sebanyak RM12000 tambang haji juga sudah meningkat naik menjadi RM20,000. Tak jadi lagi nak naik haji... kena tangguh lagi. Akhirnya apabila jumlah yang kita kehendaki tersebut sudah tercapai, usia kita pun ketika itu sudah mencecah hampir 80 tahun (kalau panjang umur). Sudah terlalu uzur, jika nasib tak baik sampai sahaja di Tanah Suci terus singgah di hospital sampai selepas wukuf atau sehingga sampai masa penerbangan pulang ke tanah air... tak de maknanya haji yang sebegini.

Kalau boleh tunaikanlah haji ketika usia masih muda, tenaga masih kuat kerana ibadah ini memerlukan kudrat tenaga yang banyak. Jadi, saya rasa apa salahnya jika kita mempunyai pekerjaan tetap dan terjamin kita pinjam dahulu bayar kemudian. Sebabnya ialah jika ditunaikan sekarang kos lebih murah jika ditangguhkan ke satu masa akan datang. Lagipun sekarang ni wujud sistem takaful yang boleh menampung baki hutang jika kita mati sebelum sempat melangsaikannya.

Walau bagaimanapun ini hanyalah pendapat peribadi saya semata-mata, mungkin ada silapnya. Di sini saya nak ucapkan tahniah kepada Bos saya Ust Kamilen Marzoki yang akan menunaikan haji untuk kali 3 (kalau tak silap) tahun ni dan juga kepada sahabat lama saya Ustaz Fuad (ustfuad.blogspot.com). Insya Allah saya akan menyusul kemudian.
***
Ust Kamilen sedang menyampaikan kursus pelaksanaan ibadah haji kepada pelajar-pelajar ting 5 SBPI Rawang. Ust Kamilen ni memang expert dalam bab haji dan umrah. Berpengalaman mengetuai rombongan haji dan umrah sejak 10 tahun lalu


Ini bukan Kaabah betul-betul...


Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP