Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Sajak Kematian

>> Wednesday, November 12, 2008




Setelah 3 malam berturut-turut tv3 mengetengahkan isu penayangan video 'Sajak Kematian' kepada kanak-kanak tahun 1 dan 2 sekolah rendah tergerak untuk saya melihat sendiri bagaimana rupanya video tersebut. Maka saya pun mencari video tersebut dalam youtube. Jumpa! ... terus play sampai habis. Maka saya boleh buat kesimpulan:

  1. Video ni taklah ekstrim sangat kecuali kepada mereka terasa atau terkena batang hidung sendiri kerana banyak melakukan dosa (mudah-mudahan parents yang buat complain tu tidak termasuk dalam golongan ini... amin). Video ni biasa saja, gambaran tentang keadaan mayat yang menggeliat kesakitan ketika disoal oleh malaikat bukanlah keadaan yang sebenarnya akan berlaku di alam barzakh nanti, bahkan, mungkin ia sejuta kali ganda lebih ngeri lagi. Keadaan di alam barzakh adalah termasuk dalam perkara ghaibiyat atau sam'iyyat yang mana ia tidak dapat digambarkan atau dijangkau oleh kemampuan akal manusia. Kita hanya diwajibkan mempercayai kewujudannya sahaja tanpa perlu memikirkannya menggunakan akal. Jika baik amalan manusia ketika di dunia ini maka kesenangan yang tidak terhingga (taman-taman syurga) yang akan menanti di alam barzakh ini (Daripada Ka'ab bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Roh orang mukmin akan terbang memakan buah-buahan dari pokok syurga sehingga Allah membangkitkan jasadnya pada hari kebangkitan." riwayat al-Nasai, no 2073). Tetapi jika buruk amalannya ketika di dunia, maka kuburnya akan menjadi lubang antara lubang-lubang neraka. Pegangan sebegini perlu diterapkan kepada setiap orang islam, lebih-lebih lagi ketika usia masih muda. Kalau nak tunggu hingga tua ... maka jadi buluhlah ia.
  2. Penayangan video ini insya Allah tidak akan memberi kesan negatif terhadap psikologi kanak-kanak. Anak saya Balqis pernah menyaksikan video ini di sekolahnya, ternyata emosinya tidak terganggu dan pencapaian akademiknya semakin meningkat. Kepercayaannya terhadap akidah tauhid semakin kuat dan dia sudah mula membaca buku-buku berkaitan alam barzakh dan yang seumpamanya serta dapat memahaminya dengan baik. Pendapat pakar psikologi (yang ditemuramah oleh Buletin Utama) yang menyatakan bahawa penerimaan terhadap sesuatu perkara oleh kanak-kanak adalah berbeza-beza yakni ada yang boleh menerima dan ada yang tidak boleh menerima adalah benar tetapi di sinilah pentingnya bimbingan dari ibu bapa. Ibu bapa yang bijak akan dapat menyatakan rasionalnya penayangan video tersebut bukan menyalahkannya. Jika ibu bapa beranggapan negatif terhadap perkara seumpama ini maka kanak-kanak tersebut mungkin akan terus beranggapan negatif sehinggalah mereka dewasa kelak. Jika keadaan seperti ini berlaku, maka tidak hairanlah jika satu masa nanti mereka akan tergolong dalam kelompok yang menjauhi agama, menentang agama (lihat gejala yang berlaku sekarang! ...bohsia, bohjan, rempit, black metal, buang bayi..........)
  3. Penayangan video seperti ini boleh meneutralkan penayangan filem-filem yang banyak mudaratnya di media massa. Filem-filem seperti remp-it, impak maksima dan banyak lagi (tak tau nak sebut) yang saya rasa 95% negatif tidak pula dijadikan isu, bahkan diberi anugerah dan pengiktirafan pula. Filem-filem seperti ini sentiasa disuap dalam minda kanak-kanak ketika di luar sekolah. Jadi apa salahnya ia dineutralkan oleh video atau filem yang boleh mengingatkan kita kepada Tuhan.
Baiklah, sebelum saya tutup post ini mari kita baca maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: (maksudnya) "Apabila mayat telah dikebumikan - atau baginda berkata: Salah seorang antara kamu - maka datanglah dua malaikat berwarna hitam kebiruan. Malaikat pertama bernama Munkar dan malaikat kedua bernama Nakir. Kedua-duanya berkata: Apakah pendapatmu tentang lelaki ini (Muhammad s.a.w.)? Mayat itu berkata: Aku mengatakan seperti apa yang telah dia katakan. Dia adalah hamba Allah dan pesuruhNya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Kedua-dua malaikat berkata: Kami tahu bahawa akan menjawab seperti ini. Kemudian kuburnya diluaskan selebar 70 X 70 hasta dan kemudian disinari dengan cahaya yang terang. Kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah. Mayat itu berkata: Aku ingin kembali kepada keluargaku agar dapat aku beritahu mereka. Lalu kedua-dua malaikat tadi berkata: Tidurlah bagaikan pengantin tidur. Tiada seorang pun yang akan mengejutkannya melainkan keluarga yang paling dicintainya sehingga Allah membangkitkan dirinya dari tempat tidurnya itu. Jika mayat itu orang munafik maka dia menjawab: Aku mendengar orang mengatakan seumpama itu. Oleh itu, aku mengatakan seperti yang mereka katakan, tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Kedua-dua malaikat tersebut berkata: Kami tahu bahawa kamu akan menjawab demikian. Lalu dikatakan kepada bumi: Himpitlah jasadnya. Bumi pun menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya remuk. Dia sentiasa diseksa di dalam kubur sehingga Allah membangkitkannya dari tempat pembaringannya itu."

- riwayat al-Tirmizi,no 1071. Diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, no. 1391.


Wallahu A'lam

0 comments:

Post a Comment

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP