Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Salam Pantai Timur

>> Saturday, October 10, 2009

Al-Hamdulillah setelah 5 hari melakukan tugasan rasmi di Kelantan dan Pahang, kini saya telah selamat pulang ke rumah. Di Kelantan saya telah berpeluang melawat beberapa buah sekolah agama kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK). Hasil dari lawatan tersebut saya telah dapat membuat rumusan bahawa sekolah-sekolah tersebut amat dhaif dari segi fizikal dan prasarana. Bangunan-bangunan sekolah ini telah usang dan tidak lagi sesuai digunakan. Kebersihan dan keceriaannya juga agak kurang terjaga sehinggakan sawang labah-labah banyak bergayutan di kelas-kelas dan juga pejabat pengetua. Saya rasa mereka perlu juga mengambil berat soal kebersihan ini kerana ia merupakan sebahagian dari tuntutan agama. Tak guna rasanya jika kita belajar ilmu agama tinggi-tinggi tetapi soal asas iaitu kebersihan terabai.

Pemandangan salah sebuah sekolah agama di Kelantan...
perlukan banyak bantuan kewangan.


Walau bagaimanapun, kekuatan yang terdapat di sekolah-sekolah ini ialah pada kemahiran guru-gurunya. Mereka sentiasa komited dan bersungguh-sungguh melaksanakan P&P walaupun dalam keadaan persekitaran yang kurang kondusif.

Bagi pelajar-pelajarnya pula saya rasa tiada bezanya dengan pelajar di tempat-tempat lain. Masalah disiplin perlu ditangani secara bersungguh-sungguh. Apa yang saya nak katakan ialah saya telah terserempak gelagat beberapa orang pelajar sekolah agama ini yang merokok di luar kawasan sekolah dengan lengkap berpakaian uniform sekolah tanpa rasa segan dan malu.

Antara pelajar-pelajar yang sedang mengulangkaji pelajaran

Melihat kepada keadaan di sekolah-sekolah ini saya termenung sejenak dan terlintas di fikiran saya tentang betapa bertuahnya bekas-bekas pelajar saya di SBPI Rawang. Di SBPI Rawang segala-galanya tersedia dengan begitu sempurna dan baik sekali, jauh berbeza dengan sekolah-sekolah YIK di Kelantan.

Maka bersyukurlah kepada Allah Taala kerana telah memberikan kesempatan belajar di tempat yang sempurna. Berakhlaklah dengan akhlak yang baik, patuhilah disiplin dan hormatilah guru-guru.

Saya rasa terkilan juga kerana berita yang sempat saya terima dua tiga hari lalu menyatakan terdapat satu kes disiplin yang boleh menyebabkan pelajar terbabit di buang sekolah. Kes kecurian kamera Nikon D80 milik seorang pelajar di asrama juga amat mengecewakan saya. Sepintarian sepatutnya bersyukur lebih-lebih lagi dengan kehadiran pengetua baru yang lebih memahami jiwa mereka.

Sempat meninjau di pekan Rantau Panjang. Agak sepi tanpa kehadiran orang luar untuk membeli belah di sini. Berbeza keadaannya 20 tahun dahulu. Mungkin harga barangan di sini yang agak tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan bebas cukai yang lain seperti Padang Besar, Wang Kelian, dan Wakaf Che Yeh. Peniaga-peniaga sepatutnya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang terhadap orang luar kerana sebenarnya diri mereka sendiri yang akan rugi.

Inilah partner kerja saya ke Pantai Timur Us Rafidi... begitu asyik menikmati gulai ikan patin Temerloh. Pehhh!! memang power! terutamanya bila dicampur dengan sambal belacan campur tempoyak. Yang tak sedap ialah ada yang mengatakan ikan patin di Temerloh ni sebenornya dibeli dari penternak ikan patin cina di Ipoh yang menggunakan najis sebagai sumber makanannya... gluppp!! Orang Temerloh!! betul ke cerita ni? Kalau betul insaflah kerana perbuatan ini telah menganiayakan saudara-saudara seagama anda..!!


Dalam perjalanan pulang menuju Kuantan, kami sempat lalu di satu kawasan yang kalau tak silap namanya ialah Sg Ruan. Punyalah banyak durian kat sini.. kalau nak beli tak boleh beli kira biji mesti kena beli kira bakul. So kami pun hidu baunya sahaja dari dalam Honda City Us Rafidi. Walaupun kereta ni kedap asap dan bau tapi bau durian yang begitu banyak dan kuat menyebabkan ia dapat menembusi dinding kereta... telan air liur jee.

Akhirnya kami sampai ke Felda Lembah Klau, kat sini barulah kami jumpa satu gerai buah-buahan kepunyaan seorang mak cik yang berumur dalam lingkungan 50 an. Ada beberapa biji durian, dokong dan salak. Kami terus berhenti dan bertanya ttg durian yang ada kat situ.

Wauu!! D24 sekilo cuma RM3! Belah sebiji yang saiznya sederhana besar. Setelah ditimbang ia berharga RM4.50. Mana dapat harga macam ni kat KL! Kami balun sampai puas. Mak Cik ni memang best, dia belah lagi sebiji durian ... free! Akhirnya kami tewas dengan penangan D24. Durian2 lain yang telah dibelah kami dah tak larat nak habiskan.. tinggalkan begitu sahaja.

Dengan mata yang dah berat mengantuk dan cuaca yang agak panas kami meneruskan perjalanan menuju Kuantan merentasi kawasan felda yang amat luas. 4 jam selepas itu barulah kami sampai di Kuantan. Perjalanan hari tu memang jauh tapi berbaloi-baloi!

0 comments:

Post a Comment

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP