Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

PERISTIWA PENTING DALAM BULAN REJAB

>> Monday, July 19, 2010

1. Hijrah Pertama - Hijrah ke Habsyah (Ethiopia): Pihak musyrikin Mekah telah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah. Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Di antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Israk dan Mikraj: bermaksud Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT seterusnya menerima perintah solat 5 waktu sehari semalam. Terdapat perbezaan pandangan ulama tentang tarikh berlakunya peristiwa ini. Sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rabiul Akhir, sebahagian ulama mengatakan pada 17 Rabiul Awal, sebahagian ulama mengatakan pada 29 Ramadan, sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada selain tarikh-tarikh di atas. Menurut Chalil (1999) sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj Kassim Bahali mengatakan ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 Rabiul Awal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab sekali pun tidak dengan alasan yang kuat. Tahun berlakunya peristiwa ini juga terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'thah, sebahagian yang lain berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'thah, sebahagian yang lain berpendapat pada tahun sebelum Nabi berhijrah ke Thaif, dan sebahagian yang lain berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah. Walau bagaimanapun terdapat seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad yang telah mencatatkan dalam kitabnya 'At-Tobaqatil Qubra' mengatakan bahawa berlakunya Israk dan Mikraj ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah.

3. Perang Tabuk: Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera ROM telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitumaqdis: Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam yang terkenal iaitu Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat 27 Rejab 583H dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitulmaqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH: Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Di antara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

0 comments:

Post a Comment

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP