Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Amalan Membaca Al-Quran Di Atas Kubur Adalah Bid'ah

>> Thursday, September 11, 2008



Semalam sahabat saya Cikgu Esa datang membawa tiga buah kuku kecil Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Antaranya ialah Tajassus Dalam Operasi Pencegahan Mungkar, Tazkirah Kematian oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Membaca Al-Quran Di Kubur oleh Dr Azwira Abdul Aziz (Jab. Pengajian Al-Quran & As-Sunnah).

Dua buku yang saya telah baca ialah Tazkirah Kematian dan Membaca Al-Quran Di Kubur. Kedua-dua pengarang adalah tokoh yang handal dalam ilmu hadis.

Saya agak tertarik untuk highlight buku Membaca Al-Quran Di Kubur dan Tazkirah Kematian kerana dua isu ini agak sensitif di dalam masyarakat Islam di negara ini. Amalan membaca Al-Quran di atas kubur terutamanya surah Yasin dan Tahlil memang lumrah dilakukan oleh kebanyakan orang. Mereka menyangka itu adalah amalan yang terbaik apabila menziarahi perkuburan. Sedangkan sebenarnya apa yang mereka lakukan itu adalah satu tanda kejahilan yang nyata.

Dr Azwira mengulas tulisan Mohd Shauki Abdul Majid (Utusan Malaysia, 19 Oktober 2007), antara lain beliau menulis:

Antara contoh terkini yang disebarkan oleh hadis-hadis berkenaan (palsu) berkenaan membaca Al-Quran ketika menziarahi kubur yang terkandung dalam artikel berjudul Amalan Ziarah Kubur bukan Bid'ah, tulisan Mohd Shauki Abdul Majid (Utusan Malaysia, 19 Oktober 2007). Dalam artikel tersebut, terdapat sebuah hadis menyebut (bermaksud): "Barangsiapa menziarahi kubur kedua-dua orang tuanya atau salah seorang daripada mereka pada hari Jumaat, lalu dia membacakan surah Yasin, maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan."

Hadis ini dijadikan dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca Al-Quran di kubur, kononnya amalan ini adalah suatu sunnah yang diamalkan oleh Nabi S.A.W. dan para sahabat r.a. Walhal, ia adalah sebuah hadis palsu yang mana kepalsuannya telah ditegaskan oleh para ulama hadis. Antaranya: Ibn Adiyy dalam Al-Kamil Fi Du'afa Al-Rijal, jilid 5, muka surat 151, Al-Zahabi dalam Mizan Al-'I'tidal Fi Naqd al-Rijal, jilid 4 muka surat 181, Al-Suyuti dalam Al-Laili' Al-Masnu'ah Fil-Ahadith Al-Maudu'ah, jilid 2, muka surat 440 dan Al-Ta'qqubat 'Ala Al-Maudu'at muka surat 23... (sekadar beberapa contoh shj).

Persoalannya, kenapa penulis berkenaan berhujah dengan hadis ini tanpa menjelaskan sumber dan statusnya? Sekiranya beliau tidak tahu tentang kepalsuan hadis tersebut, kenapa beliau tidak mengambil tanggungjawab membuat kajian terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya merujuk hasil kajian yang telah dibuat oleh ulama bidang berkenaan? Kenapa beliau begitu berani menghuraikan persoalan agama dengan sesuatu dalil yang beliau sendiri tidak pasti kesahihannya? Bukankah tindakan menghuraikan ajaran Islam berdasarkan hadis palsu tanpa menjelaskan sumber dan statusnya adalah satu pengkhianatan ilmiah yang sangat berpotensi menyesatkan masyarakat? Tidakkah beliau sedar bahawa dosa orang yang mencipta dan menyebarkan hadis itu adalah menempah tiket ke neraka?

Dalam artikel berkenaan terdapat satu lagi hadis yang bermaksud: "Barang siapa yang menziarahi kubur, kemudian dia membaca al-Fatihah, Qulhuwallahu ahad dan al-Hakumut takasur lalu berdoa: "Ya Allah, kuhadiahkan pahala bacaan firmanMu pada kaum mukminin penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat."

Hadis ini juga disebut oleh penulis berkenaan tanpa dinyatakan sumber dan statusnya, lalu beliau menjadikannya dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca al-Quran di atas kubur sebagai satu amalan sunnah yang diamalkan oleh Nabi S.A.W. dan para sahabat r.a.

Saya telah mencuba yang terdaya untuk menyemak sumber dan status hadis ini dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadis sahih, dhaif mahupun palsu tetapi gagal menemuinya. Ketiadaann hadis berkenaan dalam kitab-kitab hadis yang muktabar adalah suatu petanda yang menunjukkan kepalsuannya. Justeru, segala kemusykilan dan persoalan yang timbul dalam hadis pertama tadi turut berbangkit di sini.

Ziarah

Satu perkara yang perlu dijelaskan di sini ialah perbezaan antara hukum menziarahi kubur sambil membaca zikir yang sabit daripada Nabi S.A.W. dengan hukum membaca Al-Quran di atas kubur. Tiada siapa pun yang menghukum amalan menziarahi kubur, memberi salam kepada penghuninya, berdoa dan beristighfar untuk mereka sebagai amalan bid'ah. Ini kerana amalan sedemikian merupakan sunnah Nabi S.A.W. berdasarkan nas-nas sahih.

Berbeza dengan amalan menziarahi kubur sambil membaca Al-Quran di atasnya. Jumhur ulama melihatnya sebagai bid'ah kerana beberapa alasan ilmiah.

1. Tidak ada nas sahih yang menyokong amalan membaca Al-Quran di kubur. Semua hadis berkenaan amalan tersebut tiada asal usulnya (palsu) sebagaimana yang ditegaskan oleh Albani dalam Ahkam Al-Janaiz Wa Bida'iha.

2. Semua nas sahih tentang cara Nabi S.A.W. menziarahi kubur tidak menyebut baginda pernah melakukan amalan membaca Al-Quran di kubur. Meskipun para sahabat r.a. mengajukan pertanyaan yang khusus tentang apa yang perlu dibaca ketika menziarahi kubur, namun baginda menjawabnya tidak lebih daripada sekadar memberi salam dan mendoakan keampunan untuk ahli kubur. Sekiranya Al-Quran boleh dibaca di kubur nescaya baginda akan menyebutnya.

3. Terdapat nas-nas sahih yang menafikan adanya amalan membaca Al-Quran di kubur pada zaman Nabi S.A.W. seperti sabda baginda dalam sebuah hadis. Menurut Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W. bersabda (bermaksud): "Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah." - hadis riwayat Muslim, al-Tirmizi dan Ahmad
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menggalakkan umatnya supaya membaca Al-Quran di rumah kerana ia boleh menghalau hantu syaitan. Baginda melarang umatnya daripada membiarkan rumah mereka sunyi sepi tanpa bacaan Al-Quran. Ini kerana, rumah yang tidak dibaca Al-Quran itu sama seperti kawasan perkuburan yang juga sunyi sepi lantaran tiada orang membaca Al-Quran di situ.

Analogi Nabawi ini membuktikan bahawa masyarakat Islam pada zaman Nabi S.A.W. tidak membaca Al-Quran di kubur. Oleh sebab itulah baginda menggambarkan rumah yang sunyi daripada bacaan Al-Quran seperti kubur.

Jika masyarakat Islam di zaman Nabi S.A.W. melakukan amalan membaca Al-Quran di kubur nescaya baginda tidak akan menyamakan rumah yang tidak dibaca Al-Quran itu dengan kubur.

Tiada sesiapa menafikan kelebihan membaca Al-Quran. Namun, sebagaimana syarak menggalakkan bacaan Al-Quran, syarak juga menentukan tempat yang sesuai untuk membaca Al-Quran.

Boleh dikatakan majoriti masyarakat Islam di Malaysia kurang membaca Al-Quran. Justeru, jika kekurangan itu disusuli pula dengan kesilapan memilih tempat, maka ia adalah sesuatu yang amat merugikan.

Lebih buruk lagi jika segala syaitan yang ada di kawasan perkuburan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam kerana kekerapan mereka membaca Al-Quran di kubur daripada di rumah.

Demikianlah sebahagian tulisan Dr Azwira Abdul Aziz (UKM) tentang hukum membaca Al-Quran di atas kubur. Sebenarnya panjang lagi tulisan beliau, ia boleh dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Kesimpulannya, kita hendaklah bertanya kepada orang yang benar-benar arif dan diakui kepakarannya jika ingin melakukan sesuatu perkara. Ditakuti pahala yang kita cari, dosa pula yang kita dapat. Memang tidak dinafikan golongan-golongan imam, ustaz atau kiai ini juga mempunyai kelemahan masing-masing, kadang-kadang tersilap memberi pendapat (terutamanya di kampung-kampung). Mereka lebih cenderung bersandarkan amalan tradisi dari nenek moyang mereka dan enggan berubah walaupun mereka tidak mempunyai hujah yang kuat. Sebagai contoh, amalan kenduri arwah hari ke 7, 40 dan 100 begitu sukar dikikis dari masyarakat kita. Sekiranya kita tidak melakukannya maka ia menjadi seperti satu kesalahan pula.
Selain itu, ada banyak lagi amalan-amalan kita yang telah dilakukan turun temurun sebenarnya diragui kesahihannya tetapi sukar untuk dihapuskan (insya-Allah akan dibincang kemudian)... Wallahu A'lam.


Read more...

FamiliHarmoni.blogspot.com

>> Sunday, September 7, 2008

Memperkenalkan...

Sebuah laman blog yang baru saya siapkan untuk sahabat saya Cikgu Esa Abd Samad (http://www.familiharmoni.blogspot.com/). Laman ni adalah sebahagian dari tugasan kursus Sarjana yang sedang diikutinya di UPSI.

Ia mengandungi segala maklumat berkaitan dengan pembentukan keluarga bahagia, artikel, buku terkini, tips dan soal jawab.

Semasa post ini ditulis, blog ni belum lagi 100% siap, tapi kira ok la tu.

Dijemput kepada semua untuk berkunjung ke blog tersebut, semoga mendapat info yang bermanfaat.

Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP