Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Mengenal Perawat (Bomoh) Yang Menggunakan Sihir

>> Sunday, February 1, 2009

Lama juga saya tidak menulis tentang ilmu hitam atau sihir, iaitu sejak post saya pada 8/4/08 yang bertajuk 'Kepercayaan Terhadap Makhluk Halus & Gangguannya Menurut Islam'.

Namun sejak kebelakangan ini fenomena masyarakat banyak memperkatakan tentang jin, syaitan dan iblis. Keseluruhannya orang ramai semakin memahami hakikat kewujudan makhluk ini serta kedudukannya di sisi akidah Islam. Perhatikan sahaja dalam program-program televisyen yang telah mendapat sambutan dan rating yang tinggi seperti siri drama 'Puaka Niyang Rapik' dan 'Anak Betong'.

Masalah yang timbul sekarang ialah bagaimana kita sebagai orang biasa boleh mengenal antara 'perawat' yang menggunakan sihir dengan perawat yang tidak menggunakan shir. Kadang-kadang kita tidak nampak seseorang itu seperti menggunakan sihir tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya. Perawat-perawat itu seolah-olah seperti menggunakan ayat-ayat Al-Quran tetapi ayat yang dibaca sebenarnya adalah ayat sihir. Bahkan kadang-kadang ahli-ahli sihir ini juga turut menggunakan ayat Al-Quran serta Selawat untuk melaksanakan sihir mereka (bagaimana ayat Al-Quran boleh berfungsi sebagai ayat sihir?) semata-mata untuk mengelirukan orang ramai. Bukan calang-calang orang yang boleh mengenal pasti dan membezakan antara kedua-duanya.


Baiklah, di sini saya akan berikan beberapa tanda atau petunjuk bagaimana kita boleh mengenal pasti seseorang itu adalah pengamal sihir:

1. Pengakuan diri sendiri. Keadaan ini tidaklah sukar untuk kita tentukan kerana perawat itu sendiri mengaku menggunakan perantaraan jin untuk merawat.

2. Asap Kemenyan. Perawat yang menggunakan asap kemenyan ketika merawat memang sah seorang tukang sihir. Asap kemenyan digunakan semata-mata untuk menarik minat jin untuk berdamping dengannya kerana asap merupakan sejenis dari makanan jin.

3. Membuat andaian-andaian dan kenyataan-kenyataan yang tidak boleh diberikan oleh manusia biasa. Maksudnya ialah, bomoh tersebut boleh menceritakan sesuatu perkara yang sukar untuk dicapai oleh pancaindera biasa. Contohnya: "penyakit ni puncanya ialah angkara si pulan sebab dia tak puas hati ...... ' atau 'Aku tahu dia sekarang tengah buat begitu begini' (sedangkan ketika itu orang yang dimaksudkan berada di lokasi yang sangat jauh dan kenyataan itu ternyata benar). Kenapa saya katakan begini ialah, seseorang manusia biasa kemampuannya adalah terbatas. Kita tidak dapat mengetahui sesuatu perkara ghaib kecuali dengan bantuan. Dalam keadaan biasa manusia mudah memperolehi bantuan jin untuk mengetahui perkara-perkara tersebut jika manusia tersebut sanggup melakukan syarat-syarat tertentu seperti memuja objek-objek tertentu atau memberi makan atau korban kepada makhluk tersebut (tujuannya adalah supaya manusia tersebut syirik). Sebagai balasan jin tersebut akan melakukan perkara-perkara yang diingini oleh manusia tersebut. Memang benar, terdapat juga sebilangan manusia yang memang mendapat petunjuk (ilham) dari Allah serta boleh melakukan beberapa perkara luar biasa, tetapi lazimnya mereka ini adalah seorang yang tinggi ilmunya, warak, dan sangat hampir kepada Allah. Mereka ini juga kebiasaannya lebih banyak mendiamkan diri dari banyak berkata-kata sesuatu yang tidak penting. Adakah masuk akal jika kita nampak seseorang yang sering berseluar pendek, hisap rokok dan tutur katanya juga selalu kotor tetapi mampu melakukan sesuatu yang luar biasa. Adakah mereka ini telah mendapat karomah dari Allah? sudah tentu tidak bukan?

4. Menggunakan bacaan ayat Al-Quran yang diubah perkataan atau diubah barisnya yang dengan berbuat demikian akan terhasil maksudnya. Jika dibaca dengan betul tidak terhasil maksudnya. Dalam perkara ini, mungkin timbul kesukaran bagi orang ramai yang tidak memahami Bahasa Arab kerana mereka tidak dapat membezakan sesuatu bacaan itu sama ada betul bacaan Al-Quran yang sebenar atau telah diubah sedikit. Oleh itu, pelajarilah Bahasa Arab sedikit demi sedikit, carilah guru yang berkelayakan untuk mempelajari Bahasa Arab (walaupun umur dah masuk senja). Kalau kita sanggup mengeluarkan ratusan ringgit semata-mata untuk mempelajari dan memperbaiki keupayaan Bahasa Inggeris kita kenapa tidak untuk belajar Bahasa Arab, sedangkan kesannya jauh lebih besar dari Bahasa Inggeris. Kecuaian dalam memahami Bahasa Arab boleh menyebabkan terpesongnya akidah kita.

5. Boleh menerima tempahan dengan bayaran tertentu untuk melakukan perkara-perkara yang memudharatkan orang lain secara halus.

6. Memuja patung, gambar, tengkorak manusia dan sebagainya ketika mengamalkan sesuatu amalan untuk menghasilkan maksud jahat dan memberi kesan yang nyata.

7. Mengguna rajah-rajah tertentu, angka-angka tertentu dengan syarat-syarat tertentu untuk ditanam di tempat-tempat tertentu bagi sesuatu tujuan jahat mengikut kehendak orang yang memohon.

8. Mengguna bahan-bahan najis seperti darah binatang terutama darah anjing hitam, darah orang mati dibunuh dan sebagainya untuk diberi makan kepada orang yang dituju atau diletak di mana-mana tempat di rumah atau di pejabat orang yang dituju.

9. Menggunakan kekotoran dari badan orang tertentu untuk memudharatkan atau menunduk seseorang seperti daki badannya terutama daki kemaluannya, tahi kukunya, peluh ketiaknya untuk dipuja dan kemudian diberi kepada suaminya untuk dimakan.

10. Menggunakan benang terutama yang berwarna hitam untuk disimpul beberapa simpulan selalunya tujuh simpulan dipuja dan dibaca jampi mentera, dan ditanam di kawasan rumah orang yang dituju.

11. Menggunakan gambar yang dituju untuk dicucuk jarum pada kepalanya, dadanya, kemaluannya untuk menyakitinya, kemudian di tanam di tempat-tempat tertentu.

12. Menggunakan rambut, kuku dan pakaian orang yang dituju untuk sesuatu tujuan jahat.

13. Menggunakan kemenyan khas (selalunya kemenyan Arab) untuk dipuja dan kemudian diperasapkan setiap malam Jumaat atau malam Selasa dengan menyeru nama yang berkenaan untuk sesuatu tujuan jahat.

14. Dalam keseluruhan hal-hal di atas, digunakan perantaraan makhluk halus untuk menghasilkan maksud, dengannya manusia akan menjadi mangsa.

15. Kerana merebaknya amalan sihir di kalangan masyarakat dan kebanyakan mereka sukar untuk mengenalpasti sihir itu, maka segala sesuatu yang boleh membawa kepada sihir atau yang boleh merosakkan akidah umat Islam perlu diberi perhatian dan dijauhi. Salah satu dari amalan yang elok dijauhi dan dihapuskan ialah penggunaan tangkal azimat, sama ada untuk menyembuhkan penyakit, dibuat pelindung atau sebagainya.

Jadi nasihat saya ialah, berhati-hatilah ketika mencari ikhtiar mengubat sesuatu penyakit atau masalah. Jauhilah mereka yang mengamalkan sihir. Peliharalah akidah kita dari perbuatan syirik. Jika taruhannya adalah nyawa maka mati itu adalah lebih baik dari bersekongkol dengan Tukang Sihir.

1 comments:

Anonymous,  April 12, 2010 at 12:55 PM  

Macam mana saya boleh kontak kamu? boleh tak saya mintak contak number?

aku ada hal keluarga yang nak minta tolong..

Kalau boleh, tolong kirim kan ke email say kat gp6863@singnet.com

Terimakasih..

Post a Comment

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP