Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Bahasa Melayu Akan Senasib Dengan Bahasa Jawa

>> Monday, November 24, 2008

Keputusan Kementerian Pelajaran sama ada akan meneruskan dasar penggunaan Bahasa Inggeris dalam P&P Matematik dan Sains (PPSMI) akan diumumkan tidak lama lagi. Semuanya bergantung kepada hasil perbincangan dalam Persidangan Meja Bulat yang membabitkan golongan profesional, cendekiawan, badan bukan kerajaan dan ahli politik. Menurut Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran, keputusan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains banyak dipengaruhi oleh keputusan UPSR yang telah diumumkan baru-baru ini. Dalam hal ini saya sebagai seorang guru agama tidaklah begitu terkesan dengan dasar tersebut, kecualilah jika tiba satu ketika nanti pihak kerajaan terlintas untuk melaksanakan P&P Pendidikan Islam dalam Bahasa Inggeris (kerana pada ketika itu hanya generasi tua sahaja yang bertutur menggunakan bahasa Melayu). Adakah anda boleh bayangkan senario ketika itu jika Pendidikan Islam diajarkan dalam bahasa Inggeris?. Tetapi sebagai anak Melayu jati kebimbangan saya tetap wujud terhadap nasib yang akan menimpa Bahasa Melayu pada masa akan datang.

Rasionalnya ialah, cuba kita perhatikan fenomena yang wujud sekarang iaitu hanya selepas beberapa tahun PPSMI dilaksanakan. Semuanya dapat saya senaraikan seperti berikut:

1. Urusan rasmi di sektor swasta seperti dokumen perundangan, surat-surat rasmi, mesyuarat dan seminar dan lain-lain lagi lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris. Sektor yang masih kekal menggunakan bahasa Melayu hanyalah sektor kerajaan sahaja (tak tahulah berapa lama ia boleh kekal). Saya perhatikan terdapat seorang CEO GLC yang mempunyai raut wajah melayu dan mempunyai nama melayu tetapi tidak pernah menggunakan bahasa melayu apabila ditemuramah oleh pihak media... rasa malu agaknya.

2. Pelajar-pelajar asing yang belajar di negara ini (negara Tanah Melayu) lebih mahir berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Perhatikan pelajar-pelajar UIAM, kebanyakan mereka hanya tahu berbahasa Inggeris sedangkan mereka sekarang sedang berada di sebuah negara Tanah Melayu yang mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tetapi jika pelajar kita pergi belajar ke luar negara seperti Jepun, Jerman, Perancis dan Rusia mereka terpaksa belajar bahasa negara tersebut dan ia dijadikan sebagai syarat kelayakan untuk belajar di negara mereka.

3. Kebanyakan orang Malaysia apabila bertemu dengan orang asing lebih gemar menyapa menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika itu mereka berada di negara ini. Apa salahnya jika kita menggunakan bahasa kita sendiri sebagai sapaan yang pertama kemudian barulah disusuli dengan bahasa Inggeris jika perlu. Pengalaman saya ketika menaiki pesat Japan Airline tidak lama dahulu menunjukkan bagaimana peramugari-peramugari Jepun tetap menggunakan bahasa Jepun sebagai sapaan pertama walaupun mereka tahu dan menyedari bahawa saya tidak memahami bahasa Jepun. Begitu juga ketika saya menaiki pesawat Royal Jordanian, mereka kelihatan begitu bangga menggunakan bahasa Arab loghat Syam. Adakah situasi ini berlaku dalam sektor penerbangan kita?

4. Penggunaan bahasa Melayu di tempat-tempat tertentu dianggapkan sebagai bahasa kelas kedua seperti di hotel-hotel besar dan kelab-kelab eksklusif. Golongan-golongan elit walaupun bentuk wajahnya kelihatan kemelayuannya dan memang pun mereka berbangsa melayu, mereka lebih bangga berbahasa Inggeris walaupun sesama ahli keluarga masing-masing (mereka terasa bodoh jika berbahasa Melayu). Jadi tidak hairanlah jika wujud warganegara Malaysia berketurunan bukan Melayu yang tidak reti langsung berbahasa Melayu.

Begitulah nasib bahasa Melayu sekarang. Bagaimana pula 15 tahun atau 20 tahun akan datang. Jika pihak pimpinan negara ini terus memandang sepi pembangunan bahasa Melayu tidak hairanlah jika satu masa nanti bahasa Melayu akan senasib dengan bahasa Jawa. Bahasa Jawa satu ketika dahulu adalah bahasa pengantar sebuah empayar besar Majapahit yang menguasai sebahagian besar wilayah di Asia Tenggara. Tetapi kini bahasa Jawa sudah tiada lagi nilai komersialnya terutamanya dalam urusan-urusan penting seperti pentadbiran dan keilmuan. Ia hanya dituturkan oleh keturunan jawa di rumah dan di kalangan masyarakatnya sahaja, ditambah pula generasi anak-anak mereka kini sudah tidak memahami bahasa ini.

Jika keadaan seperti ini berlaku terhadap bahasa Melayu saya beranggapan bahawa bangsa Melayu tidak akan dapat mencapai status bangsa yang maju seperti bangsa-bangsa lain di dunia. Bagi saya kriteria sebuah bangsa yang maju ialah maju dari semua segi termasuk bahasa bangsa itu sendiri. Bangsa yang maju ialah bangsa yang bahasanya ingin dituturkan oleh bangsa lain.

Ketika saya menonton siaran langsung Dr Sheikh Muzafar mendarat di ISS, terlintas di fikiran saya adakah jika Malaysia satu masa nanti mempunyai roket sendiri dan angkasawannya sendiri apakah bahasa yang akan digunakan di dalam roket itu nanti? Saya perhatikan orang-orang Rusia begitu hebat dari sudut teknologi dan bahasa mereka. Dr Sheikh sendiri terpaksa mempelajari bahasa Rusia dan ketika siaran langsung tersebut dia sudah semakin mahir menggunakan bahasa Rusia! Adakah keadaan yang sama akan berlaku terhadap bahasa Melayu? Saya rasa tidak, jika anak-anak kita sedari kecil hanya didedahkan dengan bahasa Inggeris terutamanya dalam bidang sains dan teknologi maka mereka akan membesar hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu hanya dituturkan ketika di rumah sahaja atau ketika berkomunikasi dengan datuk dan nenek mereka di kampung. Itulah nasib yang telah menimpa bahasa Jawa sekarang.

Pendapat Tun Dr Mahathir ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri yang mengatakan bahasa Melayu akan menjadi maju secara sendirinya jika bangsa Melayu itu menjadi maju adalah pendapat yang tidak tepat. Bangsa tetap bangsa, tetapi bahasa boleh hilang jika bangsa itu melupakan bahasanya sendiri. Berapa ramai orang keturunan jawa sekarang yang tidak tahu berbahasa jawa walaupun mereka telah mencapai satu tahap yang amat tinggi dalam kehidupan.

Dalam dilema ini saya mencadangkan agar beberapa langkah berikut dilaksanakan, iaitu:

1. Para pelajar yang berkebolehan menguasai bidang sains dan teknologi serta berkebolehan juga menguasai bahasa asing (tidak semestinya bahasa Inggeris) sahaja yang akan ditaja belajar ke luar negara. Apabila mereka pulang setelah menamatkan pengajian masing-masing mereka hendaklah di tempatkan di IPT tempatan. Mereka hendaklah digalakkan menterjemah atau menulis buku serta mengembangkan bidang masing-masing ke dalam bahasa Melayu. Jangan tempatkan mereka di sektor yang lain contohnya jika seseorang yang mahir dalam kejuruteraan binaan jangan tempatkan mereka di sektor pembinaan, sebaliknya jadikan mereka sebagai ahli akademik yang akan memindahkan segala ilmu kejuruteraan dari bahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Melalui cara ini khazanah ilmiah dalam bahasa Melayu akan semakin bertambah dan seterusnya akan semakin ramai anak tempatan yang boleh mempelajari ilmu kejuruteraan binaan kerana ia diajar menggunakan bahasa Melayu. Secara tidak langsung bahasa Melayu juga akan bertambah maju. Kaedah inilah yang telah digunakan oleh para pemimpin Islam ketika zaman keagungan empayar Islam dahulu. Ketika itu para khalifah yang memerintah telah memberi ganjaran yang besar kepada para cendekiawan yang mampu menterjemahkan buku dari bahasa-bahasa asing seperti bahasa Parsi, Yunani dan India ke dalam bahasa Arab. Natijahnya bahasa Arab menjadi bahasa yang maju dan lengkap dalam semua disiplin ilmu. Masyarakat Barat yang ingin mempelajari ilmu-ilmu tertentu seperti perubatan dan kejuruteraan terpaksa mempelajari bahasa Arab terlebih dahulu. Kemudian masyarakat Barat menterjemahkan pula ilmu ini ke dalam bahasa mereka terutamanya bahasa Inggeris, dan kini apabila sampai masa untuk kita mempelajari ilmu ini dari masyarakat Barat kita tidak pula melakukan penterjemahan secara besar-besaran ke dalam bahasa Melayu. Orang-orang Jepun telah melakukan proses pemindahan ini dengan menterjemahkan banyak bidang ilmu dari masyarakat Barat, hasilnya kini hampir semua bidang keilmuan terutamanya sains dan teknologi dapat diperolehi dalam bahasa Jepun. Kini generasi muda Jepun tidak begitu terdesak untuk mempelajari bahasa Inggeris dan mereka hanya mula mempelajari bahasa Inggeris ketika di tingkatan 1. Ketidakfasihan orang-orang Jepun dalam bahasa Inggeris bukanlah satu masalah besar bagi mereka kerana mereka boleh mempelajari kesemua ilmu tersebut dalam bahasa Jepun. Adakah kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi sedemikian?

Satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan ialah tidak semestinya seseorang yang tidak mahir berbahasa Inggeris itu tidak bijak. Kebolehan berbahasa Inggeris hanya sebahagian dari proses mempelajari sesuatu ilmu. Sesetangah pelajar tidak berbakat menguasai bahasa tetapi mereka amat berbakat dalam bidang matematik. Tetapi oleh kerana dasar kita kini yang turut menghendaki penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan pelajar tersebut tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran. Bukankah ini satu kerugian yang amat besar kepada bangsa dan negara? Peluang belajar di universiti tempatan juga terhad kerana kebanyakan univeriti tempatan turut mensyaratkan penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Jadi di manakah mereka boleh mengembangkan bakat mereka ini? Kemungkinan jika pelajar ini diberi peluang melanjutkan pelajaran dia akan menjadi seorang yang begitu hebat dalam bidangnya.

Oleh itu, saya benar-benar berharap agar Persidangan Meja Bulat yang akan diadakan tidak lama lagi akan membuat keputusan yang bijak. Kalau boleh jangan ada unsur-unsur politik dalam keputusan yang akan dibuat nanti. Keputusan UPSR yang diumumkan tidak lama dulu oleh Pengarah Pelajaran Malaysia tidak menyatakan dengan lengkap statistik pencapaian PPSMI antara pelajar di bandar dengan pelajar di luar bandar. Saya bimbang sekiranya keputusan yang kurang bijak dibuat, para pelajar di luar bandar akan terus tertinggal ke belakang berbanding pencapaian pelajar di bandar. Jika ini berlaku maka hasrat untuk merapatkan jurang antara pelajar di bandar dan pelajar di luar bandar sebagaimana yang sering dilaungkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) tidak akan kesampaian.

Selain itu, saya juga begitu teruja untuk melihat seorang Perdana Menteri Malaysia berucap di PPB menggunakan bahasa Melayu, bangsa-bangsa asing-asing berebut-berebut mempelajari bahasa Melayu, Google Adsense ditawarkan dalam bahasa Melayu, seminar-seminar antarabangsa menggunakan bahasa Melayu dan saya bangga bertutur bahasa Melayu ketika berada di luar negara.

Wassalam

Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP