Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Tips Untuk Mengelakkan Rasa Mengantuk Ketika Dalam Kelas

>> Saturday, May 8, 2010

Sudah hampir setahun saya meninggalkan dunia P&P (Pengajaran dan Pembelajaran). Walaupun begitu saya masih lagi mendalami dunia pendidikan melalui pembacaan dan pengamatan dari lawatan-lawatan saya ke sekolah-sekolah. Mudah-mudahan satu hari nanti saya dapat mencurah bakti melatih bakal-bakal guru sama ada di IPG atau universiti.

Kali ini saya akan berikan beberapa tips untuk mengelakkan / mengurangkan rasa mengantuk semasa di dalam kelas.

 Gambar hiasan

Masalah mengantuk di dalam kelas bukanlah perkara asing terutama bagi pelajar-pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Pengalaman saya selama 6 tahun di SBPI Rawang menunjukkan kebanyakan pelajar akan rasa mengantuk seawal jam 8 pagi justeru mereka mengabaikan beberapa perkara sebelum memasuki kelas.

Antara tips yang akan saya berikan di sini ialah:

1. Tidur awal pada malam hari. Lazim bagi seseorang pelajar asrama adalah tidur lewat kononnya untuk mengulangkaji pelajaran. Tindakan ini adalah kurang bijak kerana ia boleh mengakibatkan rasa mengantuk pada keesokan paginya. Seseorang pelajar sekolah menengah tidak perlu waktu yang begitu panjang setiap hari semata-mata untuk mengulangkaji pelajaran sebagaimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar universiti. Memadai hanya 2 jam setiap hari tetapi ia hendaklah dirancang dan diatur dengan teliti dan rapi agar seimbang bagi semua mata pelajaran. Pepatah arab menyatakan "قليل قر خير من كثير فر" yang bermaksud sedikit yang konsisten lebih baik dari banyak tapi kadang-kadang.

2. Lakukan 'preview' untuk setiap mata pelajaran yang akan dipelajari keesokan harinya. Baca sepintas lalu dan catatkan persoalan-persoalan yang timbul. Pastikan keesokan hari kita akan memperolehi jawapan bagi setiap persoalan tersebut melalui penjelasan dari guru. Sekiranya tidak, pastikan kita bertanya kepada guru. Melalui cara ini minda kita akan sentiasa peka dengan apa yang disampaikan oleh guru demi untuk memastikan kita dapat menjawab persoalan yang kita timbulkan pada malam harinya. Antara punca kita mengantuk ialah kerana minda kita tidak aktif semasa guru mengajar, mudah mengelamun, berfikir tentang perkara-perkara remeh yang tiada kaitan dengan pelajaran dan akhirnya kita akan rasa mengantuk.

3. Lakukan pergerakan tangan dan mata semasa guru sedang mengajar. Ambil kertas kosong dan cuba catat atau lakarkan poin yang disampaikan oleh guru. Mata hendaklah sentiasa galak memerhatikan pergerakan guru. Bekas guru ilmu mantiq saya dahulu pernah memberitahu bahawa dia tahu sama ada seseorang pelajar itu sedang mengikuti pelajaran atau sedang mengelamun, iaitu melalui matanya. Jika bebola mata seseorang pelajar itu kurang bergerak atau hanya memandang ke satu arah sahaja ia bermakna pelajar tersebut sedang mengelamun dan pelajar yang mengelamun pasti akan mengantuk tidak lama selepas itu.

4. Bawa bekal air kosong. Para pakar mengakui bahawa otak memerlukan bekalan oksigen yang cukup untuk merangsangnya berfikir. Kekurangan oksigen akan menyebabkan sel-sel otak menjadi lemah lantas akan menumpulkan kebolehan berfikir. Satu cara mudah untuk memberikan bekalan oksigen yang mencukupi kepada otak ialah dengan minum air kosong. Kalau boleh air tersebut hendaklah air yang telah ditapis dari sebarang kekotoran. Pelajar-pelajar cina telah lama mengamalkan minum air kosong yang banyak dan ternyata prestasi pelajar-pelajar cina lebih membanggakan.

5. Persekitaran yang kondusif. Sesebuah kelas hendaklah disusun dengan teratur dan dijaga kebersihannya agar selesa menghadapi sesi P&P. Kelas yang kotor dan tidak teratur akan menimbulkan perasaan tertekan dan bosan. Hiasan dan susun atur kelas juga hendaklah ditukar secara berkala, contohnya 3 bulan sekali. Carta-carta atau gambar-gambar hiasan hendaklah ditukar dengan gambar lain atau diubah kedudukannya. Semuanya dilakukan semata-mata untuk mengelakkan rasa bosan yang mana pada akhirnya akan menyebabkan masalah mengantuk di dalam kelas.

6. Sentiasa melakukan senaman pada petang hari. Waktu selepas Asar bukanlah waktu yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran. Waktu ini sesuai untuk beriadah. Gunakanlah ia sebaik mungkin untuk beriadah agar jasmani kita sentiasa cergas dan tidak lesu. Malas beriadah boleh menyebabkan peningkatan berat badan, berat badan yang semakin bertambah pula akan menyebabkan kelesuan.

7. Amalkan pemakanan yang sihat. Diet bagi seseorang pelajar adalah amat penting terutamanya diet yang boleh merangsang aktiviti otak. Antara makanan yang bagus untuk otak ialah madu asli, kekacang, ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan. Elakkan dari memakan makanan-makanan segera (junk food) seperti mee segera yang lazimnya amat digemari oleh pelajar-pelajar sekolah. Menurut amalan alim ulama terdahulu mereka akan cuba mengelakkan diri dari memakan kepala ikan dan asam kerana ia boleh melemahkan otak.

Setakat ini dahulu tips yang sempat saya berikan. Mudah-mudahan ia memberi banyak manfaat terutamanya kepada bekas pelajar-pelajar saya tidak kira di mana anda berada sekarang. Wallahu A'lam.

Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP