Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Bahasa Melayu Akan Senasib Dengan Bahasa Jawa

>> Monday, November 24, 2008

Keputusan Kementerian Pelajaran sama ada akan meneruskan dasar penggunaan Bahasa Inggeris dalam P&P Matematik dan Sains (PPSMI) akan diumumkan tidak lama lagi. Semuanya bergantung kepada hasil perbincangan dalam Persidangan Meja Bulat yang membabitkan golongan profesional, cendekiawan, badan bukan kerajaan dan ahli politik. Menurut Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran, keputusan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains banyak dipengaruhi oleh keputusan UPSR yang telah diumumkan baru-baru ini. Dalam hal ini saya sebagai seorang guru agama tidaklah begitu terkesan dengan dasar tersebut, kecualilah jika tiba satu ketika nanti pihak kerajaan terlintas untuk melaksanakan P&P Pendidikan Islam dalam Bahasa Inggeris (kerana pada ketika itu hanya generasi tua sahaja yang bertutur menggunakan bahasa Melayu). Adakah anda boleh bayangkan senario ketika itu jika Pendidikan Islam diajarkan dalam bahasa Inggeris?. Tetapi sebagai anak Melayu jati kebimbangan saya tetap wujud terhadap nasib yang akan menimpa Bahasa Melayu pada masa akan datang.

Rasionalnya ialah, cuba kita perhatikan fenomena yang wujud sekarang iaitu hanya selepas beberapa tahun PPSMI dilaksanakan. Semuanya dapat saya senaraikan seperti berikut:

1. Urusan rasmi di sektor swasta seperti dokumen perundangan, surat-surat rasmi, mesyuarat dan seminar dan lain-lain lagi lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris. Sektor yang masih kekal menggunakan bahasa Melayu hanyalah sektor kerajaan sahaja (tak tahulah berapa lama ia boleh kekal). Saya perhatikan terdapat seorang CEO GLC yang mempunyai raut wajah melayu dan mempunyai nama melayu tetapi tidak pernah menggunakan bahasa melayu apabila ditemuramah oleh pihak media... rasa malu agaknya.

2. Pelajar-pelajar asing yang belajar di negara ini (negara Tanah Melayu) lebih mahir berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Perhatikan pelajar-pelajar UIAM, kebanyakan mereka hanya tahu berbahasa Inggeris sedangkan mereka sekarang sedang berada di sebuah negara Tanah Melayu yang mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tetapi jika pelajar kita pergi belajar ke luar negara seperti Jepun, Jerman, Perancis dan Rusia mereka terpaksa belajar bahasa negara tersebut dan ia dijadikan sebagai syarat kelayakan untuk belajar di negara mereka.

3. Kebanyakan orang Malaysia apabila bertemu dengan orang asing lebih gemar menyapa menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika itu mereka berada di negara ini. Apa salahnya jika kita menggunakan bahasa kita sendiri sebagai sapaan yang pertama kemudian barulah disusuli dengan bahasa Inggeris jika perlu. Pengalaman saya ketika menaiki pesat Japan Airline tidak lama dahulu menunjukkan bagaimana peramugari-peramugari Jepun tetap menggunakan bahasa Jepun sebagai sapaan pertama walaupun mereka tahu dan menyedari bahawa saya tidak memahami bahasa Jepun. Begitu juga ketika saya menaiki pesawat Royal Jordanian, mereka kelihatan begitu bangga menggunakan bahasa Arab loghat Syam. Adakah situasi ini berlaku dalam sektor penerbangan kita?

4. Penggunaan bahasa Melayu di tempat-tempat tertentu dianggapkan sebagai bahasa kelas kedua seperti di hotel-hotel besar dan kelab-kelab eksklusif. Golongan-golongan elit walaupun bentuk wajahnya kelihatan kemelayuannya dan memang pun mereka berbangsa melayu, mereka lebih bangga berbahasa Inggeris walaupun sesama ahli keluarga masing-masing (mereka terasa bodoh jika berbahasa Melayu). Jadi tidak hairanlah jika wujud warganegara Malaysia berketurunan bukan Melayu yang tidak reti langsung berbahasa Melayu.

Begitulah nasib bahasa Melayu sekarang. Bagaimana pula 15 tahun atau 20 tahun akan datang. Jika pihak pimpinan negara ini terus memandang sepi pembangunan bahasa Melayu tidak hairanlah jika satu masa nanti bahasa Melayu akan senasib dengan bahasa Jawa. Bahasa Jawa satu ketika dahulu adalah bahasa pengantar sebuah empayar besar Majapahit yang menguasai sebahagian besar wilayah di Asia Tenggara. Tetapi kini bahasa Jawa sudah tiada lagi nilai komersialnya terutamanya dalam urusan-urusan penting seperti pentadbiran dan keilmuan. Ia hanya dituturkan oleh keturunan jawa di rumah dan di kalangan masyarakatnya sahaja, ditambah pula generasi anak-anak mereka kini sudah tidak memahami bahasa ini.

Jika keadaan seperti ini berlaku terhadap bahasa Melayu saya beranggapan bahawa bangsa Melayu tidak akan dapat mencapai status bangsa yang maju seperti bangsa-bangsa lain di dunia. Bagi saya kriteria sebuah bangsa yang maju ialah maju dari semua segi termasuk bahasa bangsa itu sendiri. Bangsa yang maju ialah bangsa yang bahasanya ingin dituturkan oleh bangsa lain.

Ketika saya menonton siaran langsung Dr Sheikh Muzafar mendarat di ISS, terlintas di fikiran saya adakah jika Malaysia satu masa nanti mempunyai roket sendiri dan angkasawannya sendiri apakah bahasa yang akan digunakan di dalam roket itu nanti? Saya perhatikan orang-orang Rusia begitu hebat dari sudut teknologi dan bahasa mereka. Dr Sheikh sendiri terpaksa mempelajari bahasa Rusia dan ketika siaran langsung tersebut dia sudah semakin mahir menggunakan bahasa Rusia! Adakah keadaan yang sama akan berlaku terhadap bahasa Melayu? Saya rasa tidak, jika anak-anak kita sedari kecil hanya didedahkan dengan bahasa Inggeris terutamanya dalam bidang sains dan teknologi maka mereka akan membesar hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu hanya dituturkan ketika di rumah sahaja atau ketika berkomunikasi dengan datuk dan nenek mereka di kampung. Itulah nasib yang telah menimpa bahasa Jawa sekarang.

Pendapat Tun Dr Mahathir ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri yang mengatakan bahasa Melayu akan menjadi maju secara sendirinya jika bangsa Melayu itu menjadi maju adalah pendapat yang tidak tepat. Bangsa tetap bangsa, tetapi bahasa boleh hilang jika bangsa itu melupakan bahasanya sendiri. Berapa ramai orang keturunan jawa sekarang yang tidak tahu berbahasa jawa walaupun mereka telah mencapai satu tahap yang amat tinggi dalam kehidupan.

Dalam dilema ini saya mencadangkan agar beberapa langkah berikut dilaksanakan, iaitu:

1. Para pelajar yang berkebolehan menguasai bidang sains dan teknologi serta berkebolehan juga menguasai bahasa asing (tidak semestinya bahasa Inggeris) sahaja yang akan ditaja belajar ke luar negara. Apabila mereka pulang setelah menamatkan pengajian masing-masing mereka hendaklah di tempatkan di IPT tempatan. Mereka hendaklah digalakkan menterjemah atau menulis buku serta mengembangkan bidang masing-masing ke dalam bahasa Melayu. Jangan tempatkan mereka di sektor yang lain contohnya jika seseorang yang mahir dalam kejuruteraan binaan jangan tempatkan mereka di sektor pembinaan, sebaliknya jadikan mereka sebagai ahli akademik yang akan memindahkan segala ilmu kejuruteraan dari bahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Melalui cara ini khazanah ilmiah dalam bahasa Melayu akan semakin bertambah dan seterusnya akan semakin ramai anak tempatan yang boleh mempelajari ilmu kejuruteraan binaan kerana ia diajar menggunakan bahasa Melayu. Secara tidak langsung bahasa Melayu juga akan bertambah maju. Kaedah inilah yang telah digunakan oleh para pemimpin Islam ketika zaman keagungan empayar Islam dahulu. Ketika itu para khalifah yang memerintah telah memberi ganjaran yang besar kepada para cendekiawan yang mampu menterjemahkan buku dari bahasa-bahasa asing seperti bahasa Parsi, Yunani dan India ke dalam bahasa Arab. Natijahnya bahasa Arab menjadi bahasa yang maju dan lengkap dalam semua disiplin ilmu. Masyarakat Barat yang ingin mempelajari ilmu-ilmu tertentu seperti perubatan dan kejuruteraan terpaksa mempelajari bahasa Arab terlebih dahulu. Kemudian masyarakat Barat menterjemahkan pula ilmu ini ke dalam bahasa mereka terutamanya bahasa Inggeris, dan kini apabila sampai masa untuk kita mempelajari ilmu ini dari masyarakat Barat kita tidak pula melakukan penterjemahan secara besar-besaran ke dalam bahasa Melayu. Orang-orang Jepun telah melakukan proses pemindahan ini dengan menterjemahkan banyak bidang ilmu dari masyarakat Barat, hasilnya kini hampir semua bidang keilmuan terutamanya sains dan teknologi dapat diperolehi dalam bahasa Jepun. Kini generasi muda Jepun tidak begitu terdesak untuk mempelajari bahasa Inggeris dan mereka hanya mula mempelajari bahasa Inggeris ketika di tingkatan 1. Ketidakfasihan orang-orang Jepun dalam bahasa Inggeris bukanlah satu masalah besar bagi mereka kerana mereka boleh mempelajari kesemua ilmu tersebut dalam bahasa Jepun. Adakah kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi sedemikian?

Satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan ialah tidak semestinya seseorang yang tidak mahir berbahasa Inggeris itu tidak bijak. Kebolehan berbahasa Inggeris hanya sebahagian dari proses mempelajari sesuatu ilmu. Sesetangah pelajar tidak berbakat menguasai bahasa tetapi mereka amat berbakat dalam bidang matematik. Tetapi oleh kerana dasar kita kini yang turut menghendaki penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan pelajar tersebut tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran. Bukankah ini satu kerugian yang amat besar kepada bangsa dan negara? Peluang belajar di universiti tempatan juga terhad kerana kebanyakan univeriti tempatan turut mensyaratkan penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Jadi di manakah mereka boleh mengembangkan bakat mereka ini? Kemungkinan jika pelajar ini diberi peluang melanjutkan pelajaran dia akan menjadi seorang yang begitu hebat dalam bidangnya.

Oleh itu, saya benar-benar berharap agar Persidangan Meja Bulat yang akan diadakan tidak lama lagi akan membuat keputusan yang bijak. Kalau boleh jangan ada unsur-unsur politik dalam keputusan yang akan dibuat nanti. Keputusan UPSR yang diumumkan tidak lama dulu oleh Pengarah Pelajaran Malaysia tidak menyatakan dengan lengkap statistik pencapaian PPSMI antara pelajar di bandar dengan pelajar di luar bandar. Saya bimbang sekiranya keputusan yang kurang bijak dibuat, para pelajar di luar bandar akan terus tertinggal ke belakang berbanding pencapaian pelajar di bandar. Jika ini berlaku maka hasrat untuk merapatkan jurang antara pelajar di bandar dan pelajar di luar bandar sebagaimana yang sering dilaungkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) tidak akan kesampaian.

Selain itu, saya juga begitu teruja untuk melihat seorang Perdana Menteri Malaysia berucap di PPB menggunakan bahasa Melayu, bangsa-bangsa asing-asing berebut-berebut mempelajari bahasa Melayu, Google Adsense ditawarkan dalam bahasa Melayu, seminar-seminar antarabangsa menggunakan bahasa Melayu dan saya bangga bertutur bahasa Melayu ketika berada di luar negara.

Wassalam

Read more...

Beberapa Persoalan Lagi Tentang Membaca Al-Quran Di Atas Kubur

>> Friday, November 21, 2008

Hari ini dah hampir seminggu cuti persekolahan bermula. Sekejap sangat rasanya, belum sempat pun balik kampung dah habis seminggu. Cuti kali ni kami sekeluarga bercadang untuk duduk kat rumah saja, ada beberapa projek yang nak disiapkan. Antaranya ialah rakaman kursus Imam & Bilal, rakaman Majlis Graduasi, projek buku 'Manual Remaja Soleh', projek buku 'Kaifiyat Solat-solat Sunat', projek buku 'Buku Kerja j-QAF', dan yang terbesar ialah projek Portal Guru Pendidikan Islam (GPI). Sementara anak-anak pula kena habiskan hafazan ayat-ayat lazim serta serta buat preview pelajaran tahun depan. Berjalan tu ada la sikit, insya Allah minggu depan kami nak ke Tambun Theme Park (balik hari je).

Yang saya excited sangat ialah projek Portal GPI. Proses pembelian domain name dah selesai... namanya ialah www.gpi4all.net. Saya berharap agar portal ini akan menjadi pusat sehenti kepada semua GPI sama ada opsyen Pendidikan Islam, Tasawur Islamiah, Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran Sunnah, Bahasa Arab dan juga j-QAF. Dalam portal ini banyak aktiviti yang boleh dilakukan, antaranya ialah berkongsi bahan seperti nota, soalan-soalan peperiksaan dan ujian, BBM, rancangan tahunan, kajian tindakan dan sebagainya. Selain itu, GPI juga boleh berforum serta boleh berjual beli sesama ahli secara percuma! semuanya percuma asalkan berdaftar sebagai ahli. Kalau anda adalah seorang guru agama warwarkanlah berita ini, sama-samalah kita mantapkan lagi imej guru agama di negara ini.

OK lah, minggu lepas seorang pembaca blog ini telah mengajukan beberapa kemusykilan agama kepada saya. Beliau ialah Zanian Abdul Talib dari Putra Jaya. Soalan beliau ialah:

1.betul ke jika baca yasin di kubur jika silap orang yang didlm kubur akan dipukul.
2.betul ke jika kita silap baca yasin berdosa walaupun kita masih belajar membacanya.
3.betul kah tidak boleh baca alfatihah dikubur.

Jawapan saya:
1. Tiada nas syarak yang pernah saya jumpa yang menunjukkan jika kita baca yasin di kubur jika tersilap baca orang yang di dalam kubur akan dipukul. Hadis-hadis sahih (hampir ke semuanya) dalam persoalan siksaan di alam barzakh menunjukkan bahawa akibat siksaan yang diterima oleh seseorang yang telah mati itu adalah berpunca dari perbuatannya sendiri bukan disebabkan oleh perbuatan orang lain. Bahkan isu membaca Yasin di atas kubur ini juga merupakan persoalan yang mempunyai banyak pendapat yang berbeza. Sama ada pahala bacaan Yasin tersebut boleh sampai kepada si mati juga bukanlah satu pendapat yang kuat. Rasulullah S.A.W. hanya menganjurkan kita membaca doa sahaja apabila kita menziarahi atau melintasi sesuatu kawasan perkuburan.

Apabila kita membaca Al-Quran seperti Al-Fatihah atau Yasin kita hanya boleh berharap pahalanya boleh sampai kepada si mati, kemungkinan juga ia tidak akan sampai. Kita hanya boleh berharap. Barangkali kita semua sudah biasa dengan hadis yang bermaksud; "Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu ilmu yang dimanfaatkan dengannya, sedekah jariahnya, dan doa anak yang soleh (terhadap ibu bapanya)." riwayat Muslim. Tiga perkara inilah yang sudah jelas dapat membantu si mati, iaitu ilmu yang baik yang diajarkan kepada orang lain dan orang tersebut mengamalkannya, sedekahnya selagi ia terus dapat dimanfaatkan dan yang paling berharga ialah doa anak yang soleh.

Kesimpulannya, kalau kita baca Yasin di atas kubur dan tersalah baca yang pasti dapat dosa ialah orang yang baca bukan orang yang mati. Dan.. tak perlulah baca atas kubur, afdalnya baca dalam masjid, selain dapat pahala baca Al-Quran dapat juga pahala iktikaf. Walau bagaimanapun, kalau nak baca atas kubur tidaklah dilarang secara mutlak termasuklah baca Al-Fatihah sebab kita memang digalakkan membaca Al-Quran di mana-mana sahaja di atas bumi Allah ini kecuali di dalam tandas. Bacalah banyak-banyak, insya Allah besar manfaatnya, cuma jangan dijadikan iktikad (pegangan) iaitu kalau nak sedekah pahala Al-Quran kepada si mati kalau dibaca di atas kubur maka pahala yang sampai akan lebih banyak.

2. Untuk soalan no 2. Adalah tidak berdosa jika salah membaca Al-Quran jika masih dalam proses pembelajaran. Yang berdosa ialah disuruh belajar membaca Al-Quran tak mahu, bila kena baca banyak yang salah. Oleh itu, sentiasalah mendalami ilmu Al-Quran walaupun usia dah masuk senja. Orang yang sentiasa belajar Al-Quran tetapi susah untuk menguasainya tetap akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Wallahu A'lam, jawapan saya di atas mungkin ada kesilapannya, jika terdapat yang silap buangkan ia jauh-jauh.

Read more...

Sajak Kematian

>> Wednesday, November 12, 2008




Setelah 3 malam berturut-turut tv3 mengetengahkan isu penayangan video 'Sajak Kematian' kepada kanak-kanak tahun 1 dan 2 sekolah rendah tergerak untuk saya melihat sendiri bagaimana rupanya video tersebut. Maka saya pun mencari video tersebut dalam youtube. Jumpa! ... terus play sampai habis. Maka saya boleh buat kesimpulan:

  1. Video ni taklah ekstrim sangat kecuali kepada mereka terasa atau terkena batang hidung sendiri kerana banyak melakukan dosa (mudah-mudahan parents yang buat complain tu tidak termasuk dalam golongan ini... amin). Video ni biasa saja, gambaran tentang keadaan mayat yang menggeliat kesakitan ketika disoal oleh malaikat bukanlah keadaan yang sebenarnya akan berlaku di alam barzakh nanti, bahkan, mungkin ia sejuta kali ganda lebih ngeri lagi. Keadaan di alam barzakh adalah termasuk dalam perkara ghaibiyat atau sam'iyyat yang mana ia tidak dapat digambarkan atau dijangkau oleh kemampuan akal manusia. Kita hanya diwajibkan mempercayai kewujudannya sahaja tanpa perlu memikirkannya menggunakan akal. Jika baik amalan manusia ketika di dunia ini maka kesenangan yang tidak terhingga (taman-taman syurga) yang akan menanti di alam barzakh ini (Daripada Ka'ab bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Roh orang mukmin akan terbang memakan buah-buahan dari pokok syurga sehingga Allah membangkitkan jasadnya pada hari kebangkitan." riwayat al-Nasai, no 2073). Tetapi jika buruk amalannya ketika di dunia, maka kuburnya akan menjadi lubang antara lubang-lubang neraka. Pegangan sebegini perlu diterapkan kepada setiap orang islam, lebih-lebih lagi ketika usia masih muda. Kalau nak tunggu hingga tua ... maka jadi buluhlah ia.
  2. Penayangan video ini insya Allah tidak akan memberi kesan negatif terhadap psikologi kanak-kanak. Anak saya Balqis pernah menyaksikan video ini di sekolahnya, ternyata emosinya tidak terganggu dan pencapaian akademiknya semakin meningkat. Kepercayaannya terhadap akidah tauhid semakin kuat dan dia sudah mula membaca buku-buku berkaitan alam barzakh dan yang seumpamanya serta dapat memahaminya dengan baik. Pendapat pakar psikologi (yang ditemuramah oleh Buletin Utama) yang menyatakan bahawa penerimaan terhadap sesuatu perkara oleh kanak-kanak adalah berbeza-beza yakni ada yang boleh menerima dan ada yang tidak boleh menerima adalah benar tetapi di sinilah pentingnya bimbingan dari ibu bapa. Ibu bapa yang bijak akan dapat menyatakan rasionalnya penayangan video tersebut bukan menyalahkannya. Jika ibu bapa beranggapan negatif terhadap perkara seumpama ini maka kanak-kanak tersebut mungkin akan terus beranggapan negatif sehinggalah mereka dewasa kelak. Jika keadaan seperti ini berlaku, maka tidak hairanlah jika satu masa nanti mereka akan tergolong dalam kelompok yang menjauhi agama, menentang agama (lihat gejala yang berlaku sekarang! ...bohsia, bohjan, rempit, black metal, buang bayi..........)
  3. Penayangan video seperti ini boleh meneutralkan penayangan filem-filem yang banyak mudaratnya di media massa. Filem-filem seperti remp-it, impak maksima dan banyak lagi (tak tau nak sebut) yang saya rasa 95% negatif tidak pula dijadikan isu, bahkan diberi anugerah dan pengiktirafan pula. Filem-filem seperti ini sentiasa disuap dalam minda kanak-kanak ketika di luar sekolah. Jadi apa salahnya ia dineutralkan oleh video atau filem yang boleh mengingatkan kita kepada Tuhan.
Baiklah, sebelum saya tutup post ini mari kita baca maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: (maksudnya) "Apabila mayat telah dikebumikan - atau baginda berkata: Salah seorang antara kamu - maka datanglah dua malaikat berwarna hitam kebiruan. Malaikat pertama bernama Munkar dan malaikat kedua bernama Nakir. Kedua-duanya berkata: Apakah pendapatmu tentang lelaki ini (Muhammad s.a.w.)? Mayat itu berkata: Aku mengatakan seperti apa yang telah dia katakan. Dia adalah hamba Allah dan pesuruhNya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Kedua-dua malaikat berkata: Kami tahu bahawa akan menjawab seperti ini. Kemudian kuburnya diluaskan selebar 70 X 70 hasta dan kemudian disinari dengan cahaya yang terang. Kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah. Mayat itu berkata: Aku ingin kembali kepada keluargaku agar dapat aku beritahu mereka. Lalu kedua-dua malaikat tadi berkata: Tidurlah bagaikan pengantin tidur. Tiada seorang pun yang akan mengejutkannya melainkan keluarga yang paling dicintainya sehingga Allah membangkitkan dirinya dari tempat tidurnya itu. Jika mayat itu orang munafik maka dia menjawab: Aku mendengar orang mengatakan seumpama itu. Oleh itu, aku mengatakan seperti yang mereka katakan, tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Kedua-dua malaikat tersebut berkata: Kami tahu bahawa kamu akan menjawab demikian. Lalu dikatakan kepada bumi: Himpitlah jasadnya. Bumi pun menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya remuk. Dia sentiasa diseksa di dalam kubur sehingga Allah membangkitkannya dari tempat pembaringannya itu."

- riwayat al-Tirmizi,no 1071. Diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, no. 1391.


Wallahu A'lam

Read more...

Buat Loan Untuk Tunaikan Haji

>> Tuesday, November 4, 2008



Selesai sudah sambutan Syawal, kini tiba pula bulan Zulkaedah sebelum masuknya bulan Zulhijjah. Kedatangan bulan Zulhijjah bagi masyarakat Malaysia membawa makna bermulalah penerbangan haji ke Mekah. Bagi yang berkesempatan menunaikan ibadah haji tahun ini diucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana bukan senang untuk mendapat kesempatan menjadi tetamu Allah. Bagi yang masih belum mampu perbanyakkanlah berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menunaikan ibadah ini pada masa akan datang.

Dua tiga bulan yang lepas, Timbalan Menteri Di JPM (Dr Mashitah) mengeluarkan kenyataan bahawa umat Islam dibenarkan membuat pinjaman peribadi untuk tunaikan ibadah haji. Dua tiga hari selepas itu timbul pelbagai reaksi dari masyarakat. Majoriti masyarakat tidak bersetuju dengan cara sebegini. Kebanyakannya menyatakan bahawa ibadah haji adalah satu ibadah wajib yang mesti ditunaikan tanpa berhutang. Ini bermakna seseorang itu tidak tertanggung hukum wajib ke atasnya sekiranya ia masih belum mempunyai kemampuan kewangan. Dalam bahasa mudahnya ialah jika seseorang itu tidak ada duit maka tidak wajib menunaikan haji.

Memang benar, jika kita mempelajari syarat-syarat wajib haji (saya mempelajarinya semasa di sekolah rendah lagi) ada dinyatakan bahawa jika seseorang itu hendak menunaikan haji segala hutang-piutangnya hendaklah dilangsaikan semuanya terlebih dahulu bukan hanya hutang untuk tambang menunaikan haji bahkan semua hutang yang berkaitan dengan kehidupannya seperti hutang dengan saudara mara, hutang membeli barang-barang runcit dan sebagainya. Ditakuti sekiranya ajal kita sampai semasa di Tanah Suci maka roh kita tidak akan ditangguhkan untuk memasuki syurga. Itulah yang saya pelajari semasa berada di Sekolah Rendah Agama Sg Tengi Kanan (sekolah rendah agama sebelah petang).

Satu tinjauan dalam radio IKIM tidak berapa lama selepas kenyataan Dr Mashitah, para pendengar radio kebanyakannya tidak bersetuju dengan cara menunaikan haji seperti ini. Kalau boleh, biarlah kita pergi dan apabila pulang nanti kita tidak terpaksa membayar balik hutang.

Dari satu aspek saya setuju dengan pendapat tersebut, tetapi jika kita lihat semula dan difikirkan semula secara menyeluruh kaedah seperti ini masih boleh dianggap praktikal terutamanya pada zaman yang kompleks seperti sekarang. Bagi saya, syarat wajib haji seperti yang saya pelajari semasa di sekolah dahulu hanyalah Ijtihad Ulama semasa setelah melihat keadaan sosioekonomi pada masa tersebut. Ia tidak dianggap Qot'ie (tetap dan pasti), dan ia boleh berubah mengikut perubahan zaman dan masa.

Pada zaman sekarang, kita dapati hampir tiada seorang individu pun yang bebas dari hutang. Sekurang-kurangnya kita akan berhutang rumah, kenderaan, perabot dan sebagainya. Bahkan bagi usahawan-usahawan besar mereka juga mempunyai hutang yang bukan sedikit jumlahnya bahkan sampai jutaan ringgit. Jika begini keadaannya maka tiada seorang pun rakyat Malaysia yang jatuh hukum wajib untuk menunaikan haji.

Berbeza pada zaman awal-awal kemerdekaan negara dahulu (sekitar tahun50-an dan 60-an), kebanyakan rakyat Malaysia hidup dengan cara yang amat symple sekali. Mereka mendirikan rumah di atas tanah sendiri (jika tiada tanah boleh teroka mana-mana hutan yang ada... jangan lakukan hal sedemikian pada zaman sekarang jika tak nak merengkok dalam penjara!), makan hasil tanaman sendiri, tidak perlukan perabot, tidak perlu bayar bil, tidak perlukan kereta, tidak perlu bayar tol, tidak perlu bayar cukai pintu, tidak perlu bayar bil IndahWater atau Syabas dan sebagainya. Hutang sekiranya ada hanyalah hutang kepada ahli keluarga atau tauke cina (peraih hasil pertanian) untuk buat kenduri kahwin. Guru agama pondok masa itu boleh mengajar agama dengan seikhlas-ikhlasnya tanpa meminta sebarang upah kerana mereka mempunyai tanah yang boleh menyara kehidupan mereka.

Tetapi sekarang zaman dah berubah, dunia dah maju.. hutang pun dah maju. Tidak dikatakan hidup jika tidak berhutang (pendapat sesetengah orang). Zaman sekarang semuanya memerlukan duit. Celik saja biji mata dah kena keluar duit, nak buang air kat rumah sendiri pun kena bayar. Bila semuanya kena bayar, sedangkan pendapatan tidak seberapa maka mulalah kita berhutang. Nak guna kereta untuk ke tempat kerja kena berhutang, nak duduk di rumah sendiri pun kena hutang dan semuanya kena berhutang. Sekarang mana ada lagi tanah kosong untuk diteroka dan buat rumah sendiri sesuka hati? Jika semuanya hutang bila masanya kita boleh tunaikan ibadat haji?

Sekarang marilah kita berfikiran terbuka. Fikir dan renungkan sedalam-dalamnya. Sekarang kita mempunyai makanisme kewangan yang sistematik. Kita mempunyai banyak bank yang telah terbukti keberkesanannya. Kenapa kita tidak gunakan sistem ini? Baiklah, katakan kita sekarang adalah kakitangan kerajaan yang mempunyai pendapatan tetap dan terjamin sehingga kita tua. Setiap bulan kita akan buat potongan tabung haji sebanyak RM50. Kita buat jangkaan selepas 20 tahun kita boleh kumpul sebanyak RM12000, bolehlah kita bertolak menunaikan haji masa tu. Tapi kita terlupa, bahawa kos menunaikan haji akan sentiasa meningkat, sampai sahaja tempoh 20 tahun tersebut dengan jumlah wang sebanyak RM12000 tambang haji juga sudah meningkat naik menjadi RM20,000. Tak jadi lagi nak naik haji... kena tangguh lagi. Akhirnya apabila jumlah yang kita kehendaki tersebut sudah tercapai, usia kita pun ketika itu sudah mencecah hampir 80 tahun (kalau panjang umur). Sudah terlalu uzur, jika nasib tak baik sampai sahaja di Tanah Suci terus singgah di hospital sampai selepas wukuf atau sehingga sampai masa penerbangan pulang ke tanah air... tak de maknanya haji yang sebegini.

Kalau boleh tunaikanlah haji ketika usia masih muda, tenaga masih kuat kerana ibadah ini memerlukan kudrat tenaga yang banyak. Jadi, saya rasa apa salahnya jika kita mempunyai pekerjaan tetap dan terjamin kita pinjam dahulu bayar kemudian. Sebabnya ialah jika ditunaikan sekarang kos lebih murah jika ditangguhkan ke satu masa akan datang. Lagipun sekarang ni wujud sistem takaful yang boleh menampung baki hutang jika kita mati sebelum sempat melangsaikannya.

Walau bagaimanapun ini hanyalah pendapat peribadi saya semata-mata, mungkin ada silapnya. Di sini saya nak ucapkan tahniah kepada Bos saya Ust Kamilen Marzoki yang akan menunaikan haji untuk kali 3 (kalau tak silap) tahun ni dan juga kepada sahabat lama saya Ustaz Fuad (ustfuad.blogspot.com). Insya Allah saya akan menyusul kemudian.
***
Ust Kamilen sedang menyampaikan kursus pelaksanaan ibadah haji kepada pelajar-pelajar ting 5 SBPI Rawang. Ust Kamilen ni memang expert dalam bab haji dan umrah. Berpengalaman mengetuai rombongan haji dan umrah sejak 10 tahun lalu


Ini bukan Kaabah betul-betul...


Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP