Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Raya dan Kegembiraan Ahli Syurga

>> Thursday, September 30, 2010

Al-Hamdulillah kita telah sempurna menunaikan ibadat puasa Ramadan tahun ini. Semoga amalan kita diterima di sisi Allah SWT.

Pada hari jumaat minggu pertama bulan Syawal saya telah berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Istac (International Institute of Islamic Thought and Civilization) Jalan Duta berhampiran dengan pejabat saya di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta.

Sebenarnya saya mula berjinak-jinak solat Jumaat di Istac bermula pada bulan Ramadan yang lalu. Kali pertama solat Jumaat di Istac khutbah jumaat telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Othman El-Muhammadi. Inilah kali pertama saya dapat bersemuka dengan beliau secara live. Sebelum ini saya hanya mengenali beliau di kaca TV sahaja.

Saya telah mendengar khutbah beliau yang disampaikan menggunakan bahasa Inggeris dengan penuh perhatian dan minat. Maklumlah Us Othman ni bukanlah calang-calang orangnya, seorang tokoh ulama dan akademik yang saya anggap sebagai seorang yang berpandangan sederhana tetapi konsisten.

Anyway saya masih belum dapat berbual dengan beliau sehinggalah selepas raya, barulah saya diperkenalkan dengan beliau oleh kawan lama saya (Syamsul Amri). Apa yang menyentuh perasaan saya pada khutbah jumaat hari tu ialah konsep menyambut hari raya yang jarang difahami oleh kebanyakan orang.

Kebanyakan kita hanya memahami Aidilfitri hanyalah semata-mata tamatnya Ramadan serta kembali ke tabiat asal makan di siang hari tanpa merenung perubahan diri yg berlaku hasil dari tarbiah Ramadan. Beliau juga menjelaskan bahawa Aidil Fitri memiliki ciri-ciri suasana ketika di syurga nanti.. jika di Aidil Fitri kita saling ziarah menziarahi sesama sanak saudara dan sahabat handai, berpakaian baru, bergembira dan sebagainya maka itulah suasana di syurga nanti.

Di syurga nanti kita akan saling ziarah menziarahi sesama ahli keluarga dan sahabat handai dengan suasana penuh keceriaan.. tiada kedukaan.. tiada kelelahan.. tiada kesukaran.. semua keluarga berkumpul (insyaAllah) termasuk mereka yg tidak dapat bersama-sama ketika berhari raya di dunia kerana telah pergi terlebih dahulu.. dan semuanya berlaku tanpa pengakhiran.. maknanya kegemberiaan tersebut akan kekal selama-lamanya. Jika hari raya di dunia hanya berlaku beberapa hari sahaja tetapi hari raya di syurga adalah selama-lamanya.

Itulah kegembiraan dan kejayaan yang sebenar dan sejati, tetapi hakikat ini tidak disedari atau sengaja tidak ambil endah oleh manusia. Justeru, mereka lalai dengan keseronokan dunia yang hanya seketika ini.

InsyaAllah kita akan beroleh kejayaan tersebut.. kejayaan yang hakiki.. kegembiraan ketika menemui Tuhan Rabbul Jalil

Salah satu ikhtiar kita untuk mendapatkan kejayaan tersebut ialah dengan mendampingi ulamak.. jadikanlah ulamak sebagai role model atau idola kita.. Pelajarilah sesuatu dari mereka..insyaAllah kita akan memperolehi sinar yang sebenar. Sinar yang akan menunjukkan kita jalan kejayaan.

Rasanya masih belum puas saya berbual dengan Us Othman ini.. InsyaAllah saya akan ke sana lagi nanti..

Wassalam.. Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Read more...

PERISTIWA PENTING DALAM BULAN REJAB

>> Monday, July 19, 2010

1. Hijrah Pertama - Hijrah ke Habsyah (Ethiopia): Pihak musyrikin Mekah telah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah. Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Di antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Israk dan Mikraj: bermaksud Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT seterusnya menerima perintah solat 5 waktu sehari semalam. Terdapat perbezaan pandangan ulama tentang tarikh berlakunya peristiwa ini. Sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rabiul Akhir, sebahagian ulama mengatakan pada 17 Rabiul Awal, sebahagian ulama mengatakan pada 29 Ramadan, sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada selain tarikh-tarikh di atas. Menurut Chalil (1999) sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj Kassim Bahali mengatakan ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 Rabiul Awal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab sekali pun tidak dengan alasan yang kuat. Tahun berlakunya peristiwa ini juga terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'thah, sebahagian yang lain berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'thah, sebahagian yang lain berpendapat pada tahun sebelum Nabi berhijrah ke Thaif, dan sebahagian yang lain berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah. Walau bagaimanapun terdapat seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad yang telah mencatatkan dalam kitabnya 'At-Tobaqatil Qubra' mengatakan bahawa berlakunya Israk dan Mikraj ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah.

3. Perang Tabuk: Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera ROM telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitumaqdis: Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam yang terkenal iaitu Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat 27 Rejab 583H dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitulmaqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH: Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Di antara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Read more...

Video Tutorial Mencari Tarikh Lahir Dalam Bulan Islam

>> Wednesday, June 30, 2010

Read more...

Tips Untuk Mengelakkan Rasa Mengantuk Ketika Dalam Kelas

>> Saturday, May 8, 2010

Sudah hampir setahun saya meninggalkan dunia P&P (Pengajaran dan Pembelajaran). Walaupun begitu saya masih lagi mendalami dunia pendidikan melalui pembacaan dan pengamatan dari lawatan-lawatan saya ke sekolah-sekolah. Mudah-mudahan satu hari nanti saya dapat mencurah bakti melatih bakal-bakal guru sama ada di IPG atau universiti.

Kali ini saya akan berikan beberapa tips untuk mengelakkan / mengurangkan rasa mengantuk semasa di dalam kelas.

 Gambar hiasan

Masalah mengantuk di dalam kelas bukanlah perkara asing terutama bagi pelajar-pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Pengalaman saya selama 6 tahun di SBPI Rawang menunjukkan kebanyakan pelajar akan rasa mengantuk seawal jam 8 pagi justeru mereka mengabaikan beberapa perkara sebelum memasuki kelas.

Antara tips yang akan saya berikan di sini ialah:

1. Tidur awal pada malam hari. Lazim bagi seseorang pelajar asrama adalah tidur lewat kononnya untuk mengulangkaji pelajaran. Tindakan ini adalah kurang bijak kerana ia boleh mengakibatkan rasa mengantuk pada keesokan paginya. Seseorang pelajar sekolah menengah tidak perlu waktu yang begitu panjang setiap hari semata-mata untuk mengulangkaji pelajaran sebagaimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar universiti. Memadai hanya 2 jam setiap hari tetapi ia hendaklah dirancang dan diatur dengan teliti dan rapi agar seimbang bagi semua mata pelajaran. Pepatah arab menyatakan "قليل قر خير من كثير فر" yang bermaksud sedikit yang konsisten lebih baik dari banyak tapi kadang-kadang.

2. Lakukan 'preview' untuk setiap mata pelajaran yang akan dipelajari keesokan harinya. Baca sepintas lalu dan catatkan persoalan-persoalan yang timbul. Pastikan keesokan hari kita akan memperolehi jawapan bagi setiap persoalan tersebut melalui penjelasan dari guru. Sekiranya tidak, pastikan kita bertanya kepada guru. Melalui cara ini minda kita akan sentiasa peka dengan apa yang disampaikan oleh guru demi untuk memastikan kita dapat menjawab persoalan yang kita timbulkan pada malam harinya. Antara punca kita mengantuk ialah kerana minda kita tidak aktif semasa guru mengajar, mudah mengelamun, berfikir tentang perkara-perkara remeh yang tiada kaitan dengan pelajaran dan akhirnya kita akan rasa mengantuk.

3. Lakukan pergerakan tangan dan mata semasa guru sedang mengajar. Ambil kertas kosong dan cuba catat atau lakarkan poin yang disampaikan oleh guru. Mata hendaklah sentiasa galak memerhatikan pergerakan guru. Bekas guru ilmu mantiq saya dahulu pernah memberitahu bahawa dia tahu sama ada seseorang pelajar itu sedang mengikuti pelajaran atau sedang mengelamun, iaitu melalui matanya. Jika bebola mata seseorang pelajar itu kurang bergerak atau hanya memandang ke satu arah sahaja ia bermakna pelajar tersebut sedang mengelamun dan pelajar yang mengelamun pasti akan mengantuk tidak lama selepas itu.

4. Bawa bekal air kosong. Para pakar mengakui bahawa otak memerlukan bekalan oksigen yang cukup untuk merangsangnya berfikir. Kekurangan oksigen akan menyebabkan sel-sel otak menjadi lemah lantas akan menumpulkan kebolehan berfikir. Satu cara mudah untuk memberikan bekalan oksigen yang mencukupi kepada otak ialah dengan minum air kosong. Kalau boleh air tersebut hendaklah air yang telah ditapis dari sebarang kekotoran. Pelajar-pelajar cina telah lama mengamalkan minum air kosong yang banyak dan ternyata prestasi pelajar-pelajar cina lebih membanggakan.

5. Persekitaran yang kondusif. Sesebuah kelas hendaklah disusun dengan teratur dan dijaga kebersihannya agar selesa menghadapi sesi P&P. Kelas yang kotor dan tidak teratur akan menimbulkan perasaan tertekan dan bosan. Hiasan dan susun atur kelas juga hendaklah ditukar secara berkala, contohnya 3 bulan sekali. Carta-carta atau gambar-gambar hiasan hendaklah ditukar dengan gambar lain atau diubah kedudukannya. Semuanya dilakukan semata-mata untuk mengelakkan rasa bosan yang mana pada akhirnya akan menyebabkan masalah mengantuk di dalam kelas.

6. Sentiasa melakukan senaman pada petang hari. Waktu selepas Asar bukanlah waktu yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran. Waktu ini sesuai untuk beriadah. Gunakanlah ia sebaik mungkin untuk beriadah agar jasmani kita sentiasa cergas dan tidak lesu. Malas beriadah boleh menyebabkan peningkatan berat badan, berat badan yang semakin bertambah pula akan menyebabkan kelesuan.

7. Amalkan pemakanan yang sihat. Diet bagi seseorang pelajar adalah amat penting terutamanya diet yang boleh merangsang aktiviti otak. Antara makanan yang bagus untuk otak ialah madu asli, kekacang, ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan. Elakkan dari memakan makanan-makanan segera (junk food) seperti mee segera yang lazimnya amat digemari oleh pelajar-pelajar sekolah. Menurut amalan alim ulama terdahulu mereka akan cuba mengelakkan diri dari memakan kepala ikan dan asam kerana ia boleh melemahkan otak.

Setakat ini dahulu tips yang sempat saya berikan. Mudah-mudahan ia memberi banyak manfaat terutamanya kepada bekas pelajar-pelajar saya tidak kira di mana anda berada sekarang. Wallahu A'lam.

Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP