Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

>> Thursday, June 18, 2009

Al-Hamdulillah, pada hari ini saya masih dianugerahkan dengan kesihatan yang baik oleh Allah SWT walau pun terasa sedikit keletihan kerana perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja terpaksa menempuh kesesakan lalulintas yang boleh tahan juga teruknya. Al-maklumlah kereta manual.. terasa semakin mengeras betis sebelah kiri kerana banyak sangat 'menekan' cluth.

Terima kasih diucapkan kepada semua sahabat-sahabat yang telah mengucapkan dan mendoakan kesejahteraan saya di tempat kerja yang baru... syukran syukran.. arigato gozaimasu.

Ucapan syukur juga sebab sehingga hari ini saya masih mampu menulis dan berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang ada. Taklah banyak sangat, tapi sekiranya ia dapat disampaikan kepada orang lain untuk dimanfaatkan bersama hati saya akan berasa tenang sekali. Walaupun pengunjung blog ini tidak begitu ramai tetapi puratanya adalah seramai 60 orang seminggu. Dengan jumlah ini saya kira ia adalah satu wadah dakwah yang berkesan. Jika saya nak ceramah di tempat-tempat seperti masjid dan surau sudah pasti jumlah pendengarnya jauh lebih rendah. Itu pun kalau saya mampu. Dengan kekangan masa seperti sekarang ini saya pasti tidak boleh melakukannya.

Beberapa hari lalu saya mendapat respon dari seorang pembaca blog ini yang tidak setuju dengan pendapat saya tentang penggunaan kemenyan ketika melakukan rawatan (rujuk Post 1 feb. 2009). Hukum asal penggunaan kemenyan memang tidak salah atau harus. Yang menjadi kesalahan ialah apabila kemenyan tersebut dipuja dan diperasap (lazimnya) pada setiap malam Jumaat atau malam Selasa dengan menyeru nama yang tertentu untuk sesuatu tujuan jahat (rujuk Prof. Dato' Dr Harun Din, Seminar Kebangsaan Al-Qur'an dan Isu-Isu Semasa bertajuk Al-Qur'an, "Jin dan Sihir; 1994).

Persoalannya ialah bagi manusia biasa atau orang kebanyakan yang tidak mengetahui sama ada kemenyan tersebut diseru dengan nama-nama tertentu (sudah tentunya nama-nama jin) atau tidak. Dalam Islam sekiranya tidak 'pasti' dengan sesuatu perkara sama ada halal atau haram maka ia tergolong dalam perkara 'syubhah' atau 'samar-samar'. Perkara-perkara ini disarankan agar kita meninggalkannya untuk mengelakkan dari terjerumus ke dalam perbuatan dosa. Hal ini samalah dengan persoalan sama ada kita boleh mengkhadamkan jin atau tidak, atau pun bersahabat dengan jin Islam. Hukum asalnya ialah harus sekiranya jin tersebut benar-benar Islam. Tetapi oleh kerana untuk memastikan sama ada jin tersebut benar-benar Islam atau tidak (jin adalah makhluk yang paling kuat sifat bohongnya) maka para ulamak menyimpulkan agar kita menjauhi dari bersahabat dengan jin. Ini adalah jalan yang paling selamat! terutamanya bagi orang kebanyakan yang sedikit ilmu agamanya.

Selain itu, saya tidak pernah menemui kaedah rawatan Islam yang menggunakan kemenyan untuk merawat. Guru-guru saya seperti Dr Harun Din dan Dr Amran Kasimin tidak pernah menyarankan penggunaan kemenyan ketika sesi rawatan. Begitu juga tokoh perubatan Islam tersohor dari Mesir seperti Sheikh Wahid Abdul Salam Bali juga tidak pernah menulis dalam buku-bukunya tentang penggunaan kemenyan. *Kalau tanya bomoh-bomoh atau dukun-dukun pasti mereka tidak bersetuju dengan pendapat ini.

Dalam kaedah rawatan Islam juga tiada konsep 'menolak' untuk merawat pesakit disebabkan sihir yang dikenakan terhadap seseorang itu amat kuat. Kaedah rawatan Islam adalah kaedah doa dengan memohon kepada Allah SWT untuk mengatasi sesuatu masalah atau penyakit. Tidak kiralah berapa kuat jin sihir yang digunakan jika Allah SWT menghendaki ia sembuh maka sembuhlah ia. Jika tidak maka tidak sembuhlah ia. Konsep tawakal amat ditekankan di sini. Jika sesuatu sihir itu berjaya mencapai matlamatnya di dunia ini ia sebenarnya bukanlah kejayaan yang sebenar, kerana Allah SWT sebenarnya ingin menurunkan lagi darjat si pensihir tersebut ke dalam jurang yang lebih dalam di neraka dan ingin mengangkat darjat mangsa sihir tersebut ke makam yang lebih tinggi di dalam syurga dengan syarat ia tetap kekal bertawakal kepada Allah SWT.

Seterusnya ialah tentang penggunaan ayat-ayat Al-Quran dan 'Ruqyah'. Memang benar ayat-ayat Al-Quran adalah rahmat, bukan sahaja terhadap jin dan manusia bahkan terhadap seluruh makhluk yang terdapat di alam maya ini. Sekiranya kita yakin dan patuh terhadap ayat-ayat tersebut maka ia akan memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada kita. Tetapi sekiranya kita bersikap menentang dan melawan maka ayat-ayat ini akan terasa menyusahkan dan merimaskan. Iblis, syaitan dan jin kafir amat benci dengan ayat-ayat Al-Quran lantaran sikap mereka yang kufur, justeru Allah Taala menjadikan ayat-ayat ini sebagai 'sebab' kepada 'musabab'nya syaitan-syaitan dan jin-jin ini untuk merasa 'kepanasan' dan 'kegelisahan'. Konsep 'sebab musabab' ini ada dihuraikan dalam ilmu Mantiq, sebagaimana api adalah 'sebab' kepada 'musabab' kepanasan. Sebab musabab adalah fitrah alam semula jadi. Semuanya berlaku adalah dengan kehendak Allah. Dalam keadaan-keadaan tertentu fitrah ini boleh jadi tidak berlaku, contohnya ialah api yang tidak membakar Nabi Ibrahim dan pisau yang tidak lut terhadap Nabi Ismail.

Bagi jin-jin yang beragama Islam, ayat-ayat ini tidak menyebabkan mereka kepanasan bahkan ia boleh menjadi senjata terhadap jin-jin kafir. Pengalaman dari sahabat-sahabat saya yang telah mengislamkan jin yang telah merasuk seseorang, mereka telah mengajarkan 'manzil-manzil' tertentu iaitu ayat-ayat Al-Quran tertentu kepada jin-jin Islam ini untuk menentang kembali jin kafir yang telah memperalatkan mereka. Kaedah ini juga turut digunakan oleh Sheikh Wahid Abdul Salam Bali. Dalam hal ini, tidak timbul persoalan kita menganggap ayat-ayat tersebut berkuasa tetapi ia merupakan sebab yang dijadikan oleh Allah untuk mendatangkan kesan kesakitan terhadap jin-jin kafir ini, sebagaimana Allah menjadikan pisau sebab yang membolehkan kita memotong sesuatu benda.

Walau bagaimanapun, ini adalah pendapat peribadi saya berdasarkan pengajian, pengamatan dan pengalaman. Sekiranya tidak bersetuju terpulanglah kepada diri masing-masing. Sekurang-kurangnya saya telah menyampaikan dan berusaha untuk menyelamatkan akidah saudara-saudara seIslam saya dari sebarang tipu daya jin dan syaitan. Semoga kita semua beroleh kejayaan dalam jihad menentang iblis dan syaitan.. Amiin

Read more...

Selamat Tinggal SEPINTAR

>> Tuesday, June 2, 2009


Hari ni dah masuk dua hari saya masuk office baru di Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran sebagai Penolong Pengarah. Alahai.. canggung juga rasanya jadi 'orang baru'. Nasib baik semua warga LPM kelihatan mesra dan sedia membantu jika diperlukan.

Hari Jumaat lepas (29/6/09) merupakan hari terakhir saya berkhidmat di SBPI Rawang. Perkhidmatan saya di Sepintar selama lebih 6 tahun 4 bulan telah memberikan banyak pengalaman dan pengetahuan yang berguna sebagai warga pendidik.

Terima kasih diucapkan kepada Pn Hjh Sa'adah bt Othman (pengetua), Ust Kamilen (Penolong Kanan), Ust Mus (PK Ko), Kak Mai (PK HEM), Kak Shima, dan ramai lagi sahabat-sahabat yang telah membantu dan menemani sepanjang saya berada di Sepintar.

Sedih juga nak tinggalkan Sepintar yang banyak meninggalkan memori pahit dan manis, tapi apa kan daya kerana adat dunia menyatakan setiap yang bertemu pasti akan berpisah.

Yang paling sedih nak ditinggalkan ialah anak-anak didik saya kelas 1JF, 2JM dan 2JF. Terus terang saya katakan 'you all' memang murid terbaik saya dan saya rasa 'enjoy' semasa mengajar anda semua. Walaupun saya kadang-kadang agak gila2 sikit semasa dalam kelas tapi anda semua tak pernah menunjukkan rasa benci. Saya doakan anda semua akan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan, insya Allah. Untuk Marina dan Najihah (1JF) teruskan berusaha dan jangan mudah putus asa, anda pasti akan sampai di puncak kejayaan suatu hari nanti.

Untuk bekas2 pelajar saya yang lain saya ucapkan 'good luck' dalam pelajaran anda. Jadilah insan yang beriman dan berilmu, mudah-mudahan berjaya di dunia dan akhirat.

Bye bye Sepintar... aku pasti akan merinduimu.


Read more...

Guru Oh Guru

>> Sunday, May 24, 2009

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada semua guru-guruku)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan di akhir hayat

Dr Usman Awang
1979


*marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah guru-guru kita yang telah kembali ke Rahmatullah.

Read more...

Hikmah Pengharaman Babi Dan Kaitannya Dengan Wabak Influenza A

>> Wednesday, May 13, 2009


Rupa-rupanya Islam mengharamkan babi bukanlah kerana suka-suka. Walaupun rasanya amat enak (menurut mereka yang pernah menikmatinya) tetapi di sebaliknya ia mengandungi ancaman yang amat dahsyat terhadap kehidupan manusia. Beberapa serangan virus selesema sebelum ini telah menceritakan segala-galanya tentang keburukan babi. Menurut Dr Danial Zainal Abidin, pengarang buku 'Quran Saintifik' ada dinyatakan seperti berikut:

Babi menjadi punca pelbagai penyakit, antaranya ialah anthrax, ascaris suum, botulism, brucella suis, cryptosporidiosis, entamoeba polecki, erysipelothrix shusiopathiae, flavobacterium group IIb-like bacteria, influenza, leptospirosis, pasteurella aerogenes, pasteurella multocida, salmonella cholerae-suis, salmonellosis, sarcosporidiosis, streptococcus dysgalactiae (group L), streptococcus mileeri, streptococcus suis type 2 (group R), swine vesicular disease, taenia solium, trichinella spiralis, yersinia enterocolitica dan yersinia pseudotuberculosis.

Kajian yang dibuat oleh Alix Fano (M.A.), Murry J. Cohen (M.D.), Marjorie Cramer (M.D., F.A.C.S.), Ray Greek (M.D.) dan Stephen R. Kaufman (M.D.) mendapati antara penyakit-penyakit ini ada yang boleh membawa maut, sebagai contoh leptospirosis. Ia menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. Hal ini dinyatakan di dalam artikel bertajuk Of Pigs, Primates, and Plagues: A Layperson's Guide to the Problems With Animal-to-Human Organ Transplants (1998) di www.mrmcmed.org/pigs.html.

Jangkitan kuman virus influenza pada tahun 1918 membunuh lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia. Ada yang menganggarkan mangsa-mangsanya yang sebenar berjumlah 40 juta orang. Virus ini, besar kemungkinan datang daripada babi-babi di Amerika, menjangkiti tentera-tentera Amerika pada perang dunia pertam. Tentera-tentera ini kemudiannya menyebabkan jangkitan berlaku di negara-negara lain sehingga terjadinya epidemik. Kajian ke atas spesimen-spesimen mangsa menunjukkan, wabak ini berpunca daripada kuman virus yang datangnya daripada babi. Hal ini dilaporkan di dalam The Civil Abolitionist, New Pig Virus Capable of Infecting Humans, New York (1998), di www.linkny.com/~civitas/page56.html.

Alix Fano, pengarang buku terkenal Lethal Laws-Animal Testing, Human Health and Environmental Policy (Zed Books Ltd, UK, 1997), merangkap pengarah Medical Research Modernisation Committee mengesahkan babi mampu mengubah kuman-kuman virus yang menyerangnya menjadi lebih berbahaya dari masa ke semasa. Hal yang sama dilaporkan dalam laman web rasmi Centers for Disease Control and Prevention (America) di www.cdc.gov/flu/aboout/fluviruses.html.

Pada bulan Mac 1997, ahli-ahli sains Britain melaporkan penemuan kuman berbahaya retroviruses PERV daripada babi. Virus ini membiak dalam tabung uji yang mempunyai sel-sel buah pinggang manusia. Ia merebak melalui cecair yang ada pada tubuh manusia dan mudah menjangkiti orang lain. Pada bulan November 1997, Dr Robin Weiss dari Chester Beatty Laboratory, London, mengesahkan kewujudan virus PERV dalam babi. Penemuan ini menyebabkan kerajaan Britain mengharamkan kesemua aktiviti pembedahan pemindahan organ daripada babi kepada manusia.

Pada bulan Ogos 1997, pakar-pakar sains dari Australia menemui satu lagi virus baru yang menjangkiti babi sebelum menyerang manusia. Virus ini berbahaya kepada manusia dan belum pernah ditemui sebelum ini. Ia dikenali sebagai virus menangle daripada kumpulan paramyxovirus. Hal ini dilaporkan di Mercola.com dalam artikel bertajuk New Pig Virus Can Infect Humans (1998).

Selain itu, virus daripada keluarga HIV juga wujud dalam babi dibawa oleh DNAnya dan ia tidak dapat dipisahkan. Profesor Robin Weiss, seorang pakar dalam bidang virus dari Institut Kajian Kanser, London, berkata, "Babi mempunyai banyak kuman virus. Salah satu masalah yang perlu kita hadapi adalah babi mempunyai kuman retrovirus yang dapat menjangkiti manusia. Ia tidak dapat dibuang daripada babi kerana ia dibawa oleh DNAnya. Retrovirus ini adalah daripada keluarga yang sama dengan kuman HIV".

Di dalam Journal of Virology 1997, dilaporkan berkenaan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang dipimpin oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin. Penemuan mereka jelas menunjukkan, pada kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya. Pakar-pakar sains menganggap babi sebagai mixing vessel atau 'takungan yang mampu mengubah kuman kepada bentuk yang berbahaya'. Mengikut kajian tersebut, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia tiba-tiba bertukar menjadi kuman berbahaya yang mampu menjangkiti manusia selepas memasuki sel-sel dalam babi. Hal ini dilaporkan di dalam The Detroit News Online pada 20 Oktober 1998.

Hal yang sama juga dinyatakan oleh Dr Virginia Hinshaw, Dekan di Graduate School University Wisconsin-Madison. Beliau berkata, virus sentiasa berubah kepada bentuk yang lain dan babi adalah satu takungan yang mampu mengubah virus flu kepada bentuk yang lain itu. Yang membimbangkan adalah sistem pertahanan manusia tidak mampu menangkis serangan daripada virus-virus ini. Hal ini dilaporkan di www.news.wisc.edu/chancellor/yourworld.

Pada tahun 2004 wabak selesema burung menyerang beberapa buah negara di Asia. Lebih kurang 100 juta burung, ayam, itik dan yang seumpamanya mati ataupun dibunuh kesan daripada wabak ini. Pada bulan Ogos 2004, China mengumumkan penemuan virus penyebab selesema burung, termasuk daripada spesis H5N1 dalam babi. Virus ini membunuh 27 orang di Vietnam dan Thailand pada awal tahun 2004. Penemuan ini menyebabkan pegawai kanan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengarahkan negara-negara yang diserang wabak ini memantau babi-babi. Ini kerana disebabkan babi yang mampu menjadi satu takungan yang mengubah virus menjadi lebih berbahaya dari sebelumnya. Hal dilaporkan di www.body1.com/news.

Kemampuan babi menerima pelbagai jenis virus dan mengubahnya kepada bentuk baru yang lebih berbahaya memang membimbangkan ramai pakar. Sehubungan dengan ini Profesor Malik Peiris, seorang pakar dalam bidang mikrobiologi di Universiti Hong Kong berkata, "Jika anda mengambil virus daripada manusia dan memasukkannya ke dalam ayam ataupun burung, ia tidak akan membiak. Demikian juga jika anda memasukkan virus burung ke dalam manusia ia jiga tidak akan membiak. Sebaliknya jika kedua-dua virus ini anda masukkan ke dalam babi ia akan membiak dengan mudah sekali. Justeru, lahirlah pandangan yang mengatakan bahawa babi adalah takungan kepada virus daripada manusia dan burung (sehingga melahirkan virus baru yang membunuh:"

Secara umumnya sejak tahun 1997 ahli-ahli sains menemui beberapa kuman virus berbahaya keluaran babi yang boleh menjangkiti manusia. Kuman-kuman ini belum pernah ditemui sebelum ini seperti Porcine Torovirus, Porcine Rotavirus (Variant 4F), PRRS dan H3N2 Swine Flu Virus dan termasuklah H1N1.


Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP