Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Bertuahnya Jadi Murid Zaman Sekarang

>> Tuesday, October 28, 2008

Dah agak lama juga saya tak mengemaskini blog ini... sibuk raya la katakan. Sebenarnya raya tahun ni pun tak lah meriah sangat, cuti pun pendek, cuma ziarah saudara mara yang terdekat sahaja. Tidak lama lepas cuti raya saya telah ditugaskan untuk merakamkan Kursus Perlaksanaan Ibadah Umrah & Haji 2008. Kerja-kerja editing masih dalam proses, insya Allah dalam 3 ke 4 hari lagi akan siap.. bolehla saya kongsikan dalam blog ini nanti.

Semalam (27/10/2008) ada satu lagi tugas berat yang perlu dilaksanakan iaitu merakamkan dan mengambil gambar Majlis Graduasi & Sirih Pulang ke Gagang bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapi SPM tidak lama lagi. Majlis ni lebih kurang sama macam Majlis Konvokesyen Universiti, siap dengan jubah graduan dan iringan muzik gamelan. Satu lagi kerja-kerja suntingan perlu disiapkan cepat...

Melihat Majlis Graduasi yang dilangsungkan di Hotel Concorde, Shah Alam ini terlintas di fikiran saya bahawa betapa bertuahnya menjadi seorang murid sekolah zaman sekarang. Guru-guru sekarang sentiasa bertungkus lumus memberikan yang terbaik kepada setiap anak didik mereka. Bukan sahaja diberikan ilmu pengetahuan setiap hari tetapi juga dibelai, dirai dan ditatang sepenuhnya dengan kasih sayang... sehinggakan untuk memohon biasiswa pun guru-guru inilah yang bersusah payah mencari peluang yang ada. Kadang-kadang seorang pelajar itu tidak nampak pun kepentingan memohon biasiswa ni, tetapi guru-guru nilah yang sentiasa mendesak agar segera mengisi borang. Akhirnya mereka berjaya memperolehi biasiswa tersebut dan berjaya menyambung pelajaran ke oversea.

Dalam Majlis Graduasi yang diadakan semalam pihak sekolah terpaksa mengumpulkan dana puluhan ribu ringgit semata-mata untuk meraikan pelajar-pelajar tingkatan 5 ini di sebuah hotel terkemuka. Mereka juga terpaksa mengorbankan cuti serta bertungkus lumus menyiapkan segala kerja-kerja agar semuanya berjalan lancar dan rapi.

Bertuahnya menjadi seorang pelajar sekolah zaman sekarang. Semasa saya di tingkatan 4 dahulu, jangan katakan Majlis Graduasi di hotel majlis di sekolah pun tidak pernah diadakan, yang ada ialah majlis ucapan dan penyampaian hadiah. Orang yang berjaya mendapat hadiah akademik ni lazimnya orang yang sama setiap tahun. Kita sebagai pelajar yang sederhana pencapaiannya tidak pernah mendapat peluang untuk naik ke pentas dan menerima penghargaan. Jadi saya pun tidak pernah bermotivasi untuk masuk ke universiti. Apa yang saya tahu ialah sekolah hingga tingkatan 5 kemudian cari pekerjaan.

Mujurlah arwah Kak Nor membawa saya ke Majlis Konvokesyen UKM beliau pada tahun 1990 (ketika itu saya di tingkatan 5). Beliau yang memperolehi Ijazah Perubatan telah memberikan semangat yang luar biasa kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan masuk ke universiti. Semasa beliau mengenakan jubah konvo Fakulti Perubatan yang berwarna merah saya mula bertekad untuk menyarungkan jubah konvo ini satu hari nanti. Masa tu dah tingkatan 5... tak banyak yang boleh dilakukan. Tetapi Alhamdulillah akhirnya, selepas 7 tahun saya berjaya juga menyarung jubah konvo universiti yang sama, cuma warnanya sahaja yang berbeza iaitu hitam.

Pelajar-pelajar sekarang memang bertuah dan beruntung. Motivasi sentiasa diberikan, guru sekarang lebih banyak menggunakan pendekatan psikologi (dulu lebih kepada ketegasan, garang, dan sentiasa menggunakan rotan), pelajar sekarang tidak boleh diganggu emosinya, cakap kena elok-elok, tak boleh rotan, tak boleh tengking... kalau tengking juga silap-silap kena dakwa di mahkamah.

Tetapi malangnya kebanyakan pelajar sekarang tidak menyedari keadaan tersebut. Murid sekarang berani memarahi guru, menyalahkan guru walau hanya disebabkan sedikit kesilapan, dan yang lebih teruk ada yang sanggup membelasah dan menendang guru.

Wahai sekalian insan yang bergelar murid! hargailah kebertuahan anda...


Read more...

Doa Mengelakkan Kemalangan

>> Tuesday, October 7, 2008

Dalam kita berseronok menyambut kedatangan Syawal janganlah kita lupa tentang keselamatan kita di jalan raya. Keadaan jalan raya yang sesak dengan kenderaan akan memudahkan kita terlibat dengan kemalangan terutamanya kepada mereka yang terpaksa menempuh perjalanan jauh. Mengikut statistik yang baru dikeluarkan oleh pihak berkuasa, sebanyak 1.2 juta kenderaan telah berada di jalan raya semalam (6 Okt) iaitu mereka yang dalam perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur setelah bercuti hari raya.
Oleh itu berhati-hatilah semasa di jalan raya, sentiasalah bersabar, jangan cilok-cilok.
Di sini saya nak kongsi satu doa yang boleh diamalkan ketika hendak memulakan perjalanan, mudah-mudahan kita dijauhkan dari terlibat dengan kemalangan.
Doa ini diambil dari buku 101 Doa Daripada Hadis-Hadis Sahih susunan Ust Zahazan Mohamed (UIA), ia diriwayatkan oleh At-Tirmizi no. 3482, Sahih al-Jami' al-Soghir no. 1297, Sahih al-Nasa'i no. 5053:

Maksudnya: "Ya Allah, tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan Allah s.w.t."

Read more...

>> Friday, September 26, 2008

SALAM LEBARAN



Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pelawat Blog ini terutamanya saudara mara kami di mana jua berada, sahabat-sahabat dan rakan taulan terutamanya di SBPI Rawang, Sahabat-sahabat lama di SAM Seri Desa, KISAS, UKM dan MPI serta para pelajar dan bekas pelajar saya sama ada yang berada di dalam negara atau di luar negara. Maaf Zahir Batin.





Read more...

Perbezaan Pendapat Dalam Isu Agama

>> Wednesday, September 24, 2008

Hari ni adalah hari ke dua puluh empat kita menunaikan ibadah puasa. Jika tepat ramalan yang dibuat oleh ahli-ahli falak Malaysia bahawa anak bulan Syawal tidak akan kelihatan, maka kita akan berpuasa cukup 30 hari. Sebab-sebab anak bulan dijangka tidak kelihatan tidak pula dinyatakan sama ada anak bulan keluar terlalu awal (menyebabkan silauan cahaya matahari yang masih terang akan menghalang pandangan pencerap) atau keluar terlalu lewat. Tetapi itu semua tak penting, yang penting ialah kita menunaikan ibadah puasa dengan sempurna seterusnya diterima di sisi Allah S.W.T.



Semalam, sahabat saya Shahrizan jumpa saya dan bertanya tentang amalan membaca Al-Quran di atas kubur yang dikatakan bid'ah sebagaimana yang dihuraikan oleh Dr Azwira dari Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah UKM (dua post sebelum ini). Masalahnya ialah dia terjumpa satu lagi blog yang menyangkal pendapat Dr Azwira ini. Dia pun tunjukkan blog tersebut dan saya baca sekali lalu sahaja. Perbezaan pendapat ini telah menyebabkan dia bingung dan keliru. Bagaimana dia nak nasihatkan keluarganya yang telah sekian lama membaca Yasin ketika menziarahi kubur terutamanya semasa hari raya?

Bagi saya senang saja. Perbezaan pendapat dalam masalah keagamaan ini adalah satu perkara lumrah. Ia telah berlaku sejak dari dahulu lagi. Apa yang saya dapat perhatikan dalam permasalahan ini ialah perbezaan pendapat antara golongan pengkaji ilmu hadis dengan golongan ahli fekah. Golongan pengkaji hadis adalah seperti Dr Azwira (UKM), Dr Asri (Mufti Perlis) dan Syeikh Nasiruddin al-Albani (tokoh hadis zaman silam). Maka berlakulah pertembungan fatwa antara Al-Bani dengan Syeikh2 lain seperti Ibn Al-Qayyim (kitab Ar-Ruh) dan al-Syeikh al-Uthmani dalam kitab “Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah”.

Nampaknya kedua-dua golongan iaitu yang mengamalkan membaca Al-Quran di perkuburan dengan golongan yang tidak mengamalkannya masing-masing mempunyai hujah yang kuat - Cuma yang pasti ialah ulamak salaf tidak melakukannya. Kalau nak selamat ikut ulamak salaf (Al-Kholafu A'lam, Was-Salafu Aslam: Golongan Kholaf lebih pandai manakala Salaf lebih selamat). Pilihlah mana-mana pendapat yang diyakini oleh diri masing-masing.

Bagi diri saya, tak perlulah baca di atas kubur, bacalah di dalam masjid. Di samping kita mendapat pahala membaca Al-Quran kita juga akan mendapat pahala iktikaf. Adapun tentang pahala bacaan yang dihadiahkan kepada si mati sama ada sampai atau tidak, itu terserah kepada Allah. Tiada nas yang jelas tentang perkara ini. Apa yang jelas ialah perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada si mati ialah sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.

Oleh itu, sementara kita hidup kat dunia ni buatlah amal soleh dan tinggalkan lah maksiat. Nanti bila mati tak lah susah payah nak mengharapkan orang lain buatkan amal kebaikan untuk kita... belum tentu sampai!!!!!!!!!!!

Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP