Terima Kasih Kerana Sudi Mengunjungi Blog Ini... Kalau Ada Kesempatan Sila Berkunjung Lagi

Penantian Satu Penyeksaan

>> Wednesday, December 31, 2008

Al-Hamdulillah akhirnya sambungan streamyx ke rumah baru telah dapat disempurnakan setelah menunggu lebih kurang 4 minggu lamanya. Tempoh perpindahan selama 4 minggu ini adalah terlalu lama dan menyeksakan bagi saya yang banyak melakukan aktiviti harian melalui internet, walaupun saya juga melanggan perkhidmatan broadband maxis tetapi liputannya tidak sampai ke kawasan di mukim Serendah ini. Banyak bil-bil yang terlewat bayar kerana sudah terlupa jalan ke pejabat pos. Inilah kelemahan yang masih ketara dengan perkhidmatan komunikasi di Malaysia.

Diharapkan apabila Malaysia menjadi sebuah negara maju nanti rakyat Malaysia tidak lagi akan menghadapi masalah-masalah teknikal yang remeh-temeh ni.

Dalam kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 2008 SBPI Rawang yang telah mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan dalam PMR. Puan Pengetua amat gembira dan bangga ketika mengumumkan keputusan kepada guru-guru ketika mesyuarat guru kali pertama sesi 2009 yang diadakan pada 30 Disember yang lepas. Tahniah! ... dengan pencapaian 9A seramai 52 orang dari jumlah calon keseluruhan seramai 90 orang. Teruskan kecemerlangan ini dalam SPM nanti.

Kepada calon-calon SPM 2008 yang sedang menunggu keputusan banyakkan berdoa dan bersolat hajat, banyakkan sedekah (amalan sedekah sering dilupakan oleh umat Islam berbanding dengan ibadah lain seperti solat dan puasa) dan isilah masa lapang yang ada dengan aktiviti yang bermanfaat. Mudah-mudahan dengan amalan baik yang dilakukan tersebut Allah akan membalasnya dengan keputusan SPM yang cemerlang dan diberkati. Perlu diingat bahawa orang yang banyak melakukan dosa dan maksiat juga mungkin boleh mencapai keputusan yang cemerlang tetapi itu bukanlah satu nikmat bahkan ia merupakan istidraj untuk menjauhkan lagi orang tersebut dari Tuhannya sebagaimana yang telah diberikan kepada Firaun. Jangan lupa juga apabila hendak berdoa mulakanlah dengan sedekah Al-Fatihah kepada Nabi Muhammad s.a.w. , ayah dan ibu kita serta guru-guru sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Sebagai ole ole kepada batch anda, saksikan video ini...



Wassalam... jumpa lagi.

Read more...

Bahasa Melayu Akan Senasib Dengan Bahasa Jawa

>> Monday, November 24, 2008

Keputusan Kementerian Pelajaran sama ada akan meneruskan dasar penggunaan Bahasa Inggeris dalam P&P Matematik dan Sains (PPSMI) akan diumumkan tidak lama lagi. Semuanya bergantung kepada hasil perbincangan dalam Persidangan Meja Bulat yang membabitkan golongan profesional, cendekiawan, badan bukan kerajaan dan ahli politik. Menurut Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran, keputusan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains banyak dipengaruhi oleh keputusan UPSR yang telah diumumkan baru-baru ini. Dalam hal ini saya sebagai seorang guru agama tidaklah begitu terkesan dengan dasar tersebut, kecualilah jika tiba satu ketika nanti pihak kerajaan terlintas untuk melaksanakan P&P Pendidikan Islam dalam Bahasa Inggeris (kerana pada ketika itu hanya generasi tua sahaja yang bertutur menggunakan bahasa Melayu). Adakah anda boleh bayangkan senario ketika itu jika Pendidikan Islam diajarkan dalam bahasa Inggeris?. Tetapi sebagai anak Melayu jati kebimbangan saya tetap wujud terhadap nasib yang akan menimpa Bahasa Melayu pada masa akan datang.

Rasionalnya ialah, cuba kita perhatikan fenomena yang wujud sekarang iaitu hanya selepas beberapa tahun PPSMI dilaksanakan. Semuanya dapat saya senaraikan seperti berikut:

1. Urusan rasmi di sektor swasta seperti dokumen perundangan, surat-surat rasmi, mesyuarat dan seminar dan lain-lain lagi lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris. Sektor yang masih kekal menggunakan bahasa Melayu hanyalah sektor kerajaan sahaja (tak tahulah berapa lama ia boleh kekal). Saya perhatikan terdapat seorang CEO GLC yang mempunyai raut wajah melayu dan mempunyai nama melayu tetapi tidak pernah menggunakan bahasa melayu apabila ditemuramah oleh pihak media... rasa malu agaknya.

2. Pelajar-pelajar asing yang belajar di negara ini (negara Tanah Melayu) lebih mahir berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Perhatikan pelajar-pelajar UIAM, kebanyakan mereka hanya tahu berbahasa Inggeris sedangkan mereka sekarang sedang berada di sebuah negara Tanah Melayu yang mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tetapi jika pelajar kita pergi belajar ke luar negara seperti Jepun, Jerman, Perancis dan Rusia mereka terpaksa belajar bahasa negara tersebut dan ia dijadikan sebagai syarat kelayakan untuk belajar di negara mereka.

3. Kebanyakan orang Malaysia apabila bertemu dengan orang asing lebih gemar menyapa menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika itu mereka berada di negara ini. Apa salahnya jika kita menggunakan bahasa kita sendiri sebagai sapaan yang pertama kemudian barulah disusuli dengan bahasa Inggeris jika perlu. Pengalaman saya ketika menaiki pesat Japan Airline tidak lama dahulu menunjukkan bagaimana peramugari-peramugari Jepun tetap menggunakan bahasa Jepun sebagai sapaan pertama walaupun mereka tahu dan menyedari bahawa saya tidak memahami bahasa Jepun. Begitu juga ketika saya menaiki pesawat Royal Jordanian, mereka kelihatan begitu bangga menggunakan bahasa Arab loghat Syam. Adakah situasi ini berlaku dalam sektor penerbangan kita?

4. Penggunaan bahasa Melayu di tempat-tempat tertentu dianggapkan sebagai bahasa kelas kedua seperti di hotel-hotel besar dan kelab-kelab eksklusif. Golongan-golongan elit walaupun bentuk wajahnya kelihatan kemelayuannya dan memang pun mereka berbangsa melayu, mereka lebih bangga berbahasa Inggeris walaupun sesama ahli keluarga masing-masing (mereka terasa bodoh jika berbahasa Melayu). Jadi tidak hairanlah jika wujud warganegara Malaysia berketurunan bukan Melayu yang tidak reti langsung berbahasa Melayu.

Begitulah nasib bahasa Melayu sekarang. Bagaimana pula 15 tahun atau 20 tahun akan datang. Jika pihak pimpinan negara ini terus memandang sepi pembangunan bahasa Melayu tidak hairanlah jika satu masa nanti bahasa Melayu akan senasib dengan bahasa Jawa. Bahasa Jawa satu ketika dahulu adalah bahasa pengantar sebuah empayar besar Majapahit yang menguasai sebahagian besar wilayah di Asia Tenggara. Tetapi kini bahasa Jawa sudah tiada lagi nilai komersialnya terutamanya dalam urusan-urusan penting seperti pentadbiran dan keilmuan. Ia hanya dituturkan oleh keturunan jawa di rumah dan di kalangan masyarakatnya sahaja, ditambah pula generasi anak-anak mereka kini sudah tidak memahami bahasa ini.

Jika keadaan seperti ini berlaku terhadap bahasa Melayu saya beranggapan bahawa bangsa Melayu tidak akan dapat mencapai status bangsa yang maju seperti bangsa-bangsa lain di dunia. Bagi saya kriteria sebuah bangsa yang maju ialah maju dari semua segi termasuk bahasa bangsa itu sendiri. Bangsa yang maju ialah bangsa yang bahasanya ingin dituturkan oleh bangsa lain.

Ketika saya menonton siaran langsung Dr Sheikh Muzafar mendarat di ISS, terlintas di fikiran saya adakah jika Malaysia satu masa nanti mempunyai roket sendiri dan angkasawannya sendiri apakah bahasa yang akan digunakan di dalam roket itu nanti? Saya perhatikan orang-orang Rusia begitu hebat dari sudut teknologi dan bahasa mereka. Dr Sheikh sendiri terpaksa mempelajari bahasa Rusia dan ketika siaran langsung tersebut dia sudah semakin mahir menggunakan bahasa Rusia! Adakah keadaan yang sama akan berlaku terhadap bahasa Melayu? Saya rasa tidak, jika anak-anak kita sedari kecil hanya didedahkan dengan bahasa Inggeris terutamanya dalam bidang sains dan teknologi maka mereka akan membesar hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu hanya dituturkan ketika di rumah sahaja atau ketika berkomunikasi dengan datuk dan nenek mereka di kampung. Itulah nasib yang telah menimpa bahasa Jawa sekarang.

Pendapat Tun Dr Mahathir ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri yang mengatakan bahasa Melayu akan menjadi maju secara sendirinya jika bangsa Melayu itu menjadi maju adalah pendapat yang tidak tepat. Bangsa tetap bangsa, tetapi bahasa boleh hilang jika bangsa itu melupakan bahasanya sendiri. Berapa ramai orang keturunan jawa sekarang yang tidak tahu berbahasa jawa walaupun mereka telah mencapai satu tahap yang amat tinggi dalam kehidupan.

Dalam dilema ini saya mencadangkan agar beberapa langkah berikut dilaksanakan, iaitu:

1. Para pelajar yang berkebolehan menguasai bidang sains dan teknologi serta berkebolehan juga menguasai bahasa asing (tidak semestinya bahasa Inggeris) sahaja yang akan ditaja belajar ke luar negara. Apabila mereka pulang setelah menamatkan pengajian masing-masing mereka hendaklah di tempatkan di IPT tempatan. Mereka hendaklah digalakkan menterjemah atau menulis buku serta mengembangkan bidang masing-masing ke dalam bahasa Melayu. Jangan tempatkan mereka di sektor yang lain contohnya jika seseorang yang mahir dalam kejuruteraan binaan jangan tempatkan mereka di sektor pembinaan, sebaliknya jadikan mereka sebagai ahli akademik yang akan memindahkan segala ilmu kejuruteraan dari bahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Melalui cara ini khazanah ilmiah dalam bahasa Melayu akan semakin bertambah dan seterusnya akan semakin ramai anak tempatan yang boleh mempelajari ilmu kejuruteraan binaan kerana ia diajar menggunakan bahasa Melayu. Secara tidak langsung bahasa Melayu juga akan bertambah maju. Kaedah inilah yang telah digunakan oleh para pemimpin Islam ketika zaman keagungan empayar Islam dahulu. Ketika itu para khalifah yang memerintah telah memberi ganjaran yang besar kepada para cendekiawan yang mampu menterjemahkan buku dari bahasa-bahasa asing seperti bahasa Parsi, Yunani dan India ke dalam bahasa Arab. Natijahnya bahasa Arab menjadi bahasa yang maju dan lengkap dalam semua disiplin ilmu. Masyarakat Barat yang ingin mempelajari ilmu-ilmu tertentu seperti perubatan dan kejuruteraan terpaksa mempelajari bahasa Arab terlebih dahulu. Kemudian masyarakat Barat menterjemahkan pula ilmu ini ke dalam bahasa mereka terutamanya bahasa Inggeris, dan kini apabila sampai masa untuk kita mempelajari ilmu ini dari masyarakat Barat kita tidak pula melakukan penterjemahan secara besar-besaran ke dalam bahasa Melayu. Orang-orang Jepun telah melakukan proses pemindahan ini dengan menterjemahkan banyak bidang ilmu dari masyarakat Barat, hasilnya kini hampir semua bidang keilmuan terutamanya sains dan teknologi dapat diperolehi dalam bahasa Jepun. Kini generasi muda Jepun tidak begitu terdesak untuk mempelajari bahasa Inggeris dan mereka hanya mula mempelajari bahasa Inggeris ketika di tingkatan 1. Ketidakfasihan orang-orang Jepun dalam bahasa Inggeris bukanlah satu masalah besar bagi mereka kerana mereka boleh mempelajari kesemua ilmu tersebut dalam bahasa Jepun. Adakah kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi sedemikian?

Satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan ialah tidak semestinya seseorang yang tidak mahir berbahasa Inggeris itu tidak bijak. Kebolehan berbahasa Inggeris hanya sebahagian dari proses mempelajari sesuatu ilmu. Sesetangah pelajar tidak berbakat menguasai bahasa tetapi mereka amat berbakat dalam bidang matematik. Tetapi oleh kerana dasar kita kini yang turut menghendaki penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan pelajar tersebut tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran. Bukankah ini satu kerugian yang amat besar kepada bangsa dan negara? Peluang belajar di universiti tempatan juga terhad kerana kebanyakan univeriti tempatan turut mensyaratkan penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Jadi di manakah mereka boleh mengembangkan bakat mereka ini? Kemungkinan jika pelajar ini diberi peluang melanjutkan pelajaran dia akan menjadi seorang yang begitu hebat dalam bidangnya.

Oleh itu, saya benar-benar berharap agar Persidangan Meja Bulat yang akan diadakan tidak lama lagi akan membuat keputusan yang bijak. Kalau boleh jangan ada unsur-unsur politik dalam keputusan yang akan dibuat nanti. Keputusan UPSR yang diumumkan tidak lama dulu oleh Pengarah Pelajaran Malaysia tidak menyatakan dengan lengkap statistik pencapaian PPSMI antara pelajar di bandar dengan pelajar di luar bandar. Saya bimbang sekiranya keputusan yang kurang bijak dibuat, para pelajar di luar bandar akan terus tertinggal ke belakang berbanding pencapaian pelajar di bandar. Jika ini berlaku maka hasrat untuk merapatkan jurang antara pelajar di bandar dan pelajar di luar bandar sebagaimana yang sering dilaungkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) tidak akan kesampaian.

Selain itu, saya juga begitu teruja untuk melihat seorang Perdana Menteri Malaysia berucap di PPB menggunakan bahasa Melayu, bangsa-bangsa asing-asing berebut-berebut mempelajari bahasa Melayu, Google Adsense ditawarkan dalam bahasa Melayu, seminar-seminar antarabangsa menggunakan bahasa Melayu dan saya bangga bertutur bahasa Melayu ketika berada di luar negara.

Wassalam

Read more...

Beberapa Persoalan Lagi Tentang Membaca Al-Quran Di Atas Kubur

>> Friday, November 21, 2008

Hari ini dah hampir seminggu cuti persekolahan bermula. Sekejap sangat rasanya, belum sempat pun balik kampung dah habis seminggu. Cuti kali ni kami sekeluarga bercadang untuk duduk kat rumah saja, ada beberapa projek yang nak disiapkan. Antaranya ialah rakaman kursus Imam & Bilal, rakaman Majlis Graduasi, projek buku 'Manual Remaja Soleh', projek buku 'Kaifiyat Solat-solat Sunat', projek buku 'Buku Kerja j-QAF', dan yang terbesar ialah projek Portal Guru Pendidikan Islam (GPI). Sementara anak-anak pula kena habiskan hafazan ayat-ayat lazim serta serta buat preview pelajaran tahun depan. Berjalan tu ada la sikit, insya Allah minggu depan kami nak ke Tambun Theme Park (balik hari je).

Yang saya excited sangat ialah projek Portal GPI. Proses pembelian domain name dah selesai... namanya ialah www.gpi4all.net. Saya berharap agar portal ini akan menjadi pusat sehenti kepada semua GPI sama ada opsyen Pendidikan Islam, Tasawur Islamiah, Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran Sunnah, Bahasa Arab dan juga j-QAF. Dalam portal ini banyak aktiviti yang boleh dilakukan, antaranya ialah berkongsi bahan seperti nota, soalan-soalan peperiksaan dan ujian, BBM, rancangan tahunan, kajian tindakan dan sebagainya. Selain itu, GPI juga boleh berforum serta boleh berjual beli sesama ahli secara percuma! semuanya percuma asalkan berdaftar sebagai ahli. Kalau anda adalah seorang guru agama warwarkanlah berita ini, sama-samalah kita mantapkan lagi imej guru agama di negara ini.

OK lah, minggu lepas seorang pembaca blog ini telah mengajukan beberapa kemusykilan agama kepada saya. Beliau ialah Zanian Abdul Talib dari Putra Jaya. Soalan beliau ialah:

1.betul ke jika baca yasin di kubur jika silap orang yang didlm kubur akan dipukul.
2.betul ke jika kita silap baca yasin berdosa walaupun kita masih belajar membacanya.
3.betul kah tidak boleh baca alfatihah dikubur.

Jawapan saya:
1. Tiada nas syarak yang pernah saya jumpa yang menunjukkan jika kita baca yasin di kubur jika tersilap baca orang yang di dalam kubur akan dipukul. Hadis-hadis sahih (hampir ke semuanya) dalam persoalan siksaan di alam barzakh menunjukkan bahawa akibat siksaan yang diterima oleh seseorang yang telah mati itu adalah berpunca dari perbuatannya sendiri bukan disebabkan oleh perbuatan orang lain. Bahkan isu membaca Yasin di atas kubur ini juga merupakan persoalan yang mempunyai banyak pendapat yang berbeza. Sama ada pahala bacaan Yasin tersebut boleh sampai kepada si mati juga bukanlah satu pendapat yang kuat. Rasulullah S.A.W. hanya menganjurkan kita membaca doa sahaja apabila kita menziarahi atau melintasi sesuatu kawasan perkuburan.

Apabila kita membaca Al-Quran seperti Al-Fatihah atau Yasin kita hanya boleh berharap pahalanya boleh sampai kepada si mati, kemungkinan juga ia tidak akan sampai. Kita hanya boleh berharap. Barangkali kita semua sudah biasa dengan hadis yang bermaksud; "Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu ilmu yang dimanfaatkan dengannya, sedekah jariahnya, dan doa anak yang soleh (terhadap ibu bapanya)." riwayat Muslim. Tiga perkara inilah yang sudah jelas dapat membantu si mati, iaitu ilmu yang baik yang diajarkan kepada orang lain dan orang tersebut mengamalkannya, sedekahnya selagi ia terus dapat dimanfaatkan dan yang paling berharga ialah doa anak yang soleh.

Kesimpulannya, kalau kita baca Yasin di atas kubur dan tersalah baca yang pasti dapat dosa ialah orang yang baca bukan orang yang mati. Dan.. tak perlulah baca atas kubur, afdalnya baca dalam masjid, selain dapat pahala baca Al-Quran dapat juga pahala iktikaf. Walau bagaimanapun, kalau nak baca atas kubur tidaklah dilarang secara mutlak termasuklah baca Al-Fatihah sebab kita memang digalakkan membaca Al-Quran di mana-mana sahaja di atas bumi Allah ini kecuali di dalam tandas. Bacalah banyak-banyak, insya Allah besar manfaatnya, cuma jangan dijadikan iktikad (pegangan) iaitu kalau nak sedekah pahala Al-Quran kepada si mati kalau dibaca di atas kubur maka pahala yang sampai akan lebih banyak.

2. Untuk soalan no 2. Adalah tidak berdosa jika salah membaca Al-Quran jika masih dalam proses pembelajaran. Yang berdosa ialah disuruh belajar membaca Al-Quran tak mahu, bila kena baca banyak yang salah. Oleh itu, sentiasalah mendalami ilmu Al-Quran walaupun usia dah masuk senja. Orang yang sentiasa belajar Al-Quran tetapi susah untuk menguasainya tetap akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Wallahu A'lam, jawapan saya di atas mungkin ada kesilapannya, jika terdapat yang silap buangkan ia jauh-jauh.

Read more...

Sajak Kematian

>> Wednesday, November 12, 2008




Setelah 3 malam berturut-turut tv3 mengetengahkan isu penayangan video 'Sajak Kematian' kepada kanak-kanak tahun 1 dan 2 sekolah rendah tergerak untuk saya melihat sendiri bagaimana rupanya video tersebut. Maka saya pun mencari video tersebut dalam youtube. Jumpa! ... terus play sampai habis. Maka saya boleh buat kesimpulan:

  1. Video ni taklah ekstrim sangat kecuali kepada mereka terasa atau terkena batang hidung sendiri kerana banyak melakukan dosa (mudah-mudahan parents yang buat complain tu tidak termasuk dalam golongan ini... amin). Video ni biasa saja, gambaran tentang keadaan mayat yang menggeliat kesakitan ketika disoal oleh malaikat bukanlah keadaan yang sebenarnya akan berlaku di alam barzakh nanti, bahkan, mungkin ia sejuta kali ganda lebih ngeri lagi. Keadaan di alam barzakh adalah termasuk dalam perkara ghaibiyat atau sam'iyyat yang mana ia tidak dapat digambarkan atau dijangkau oleh kemampuan akal manusia. Kita hanya diwajibkan mempercayai kewujudannya sahaja tanpa perlu memikirkannya menggunakan akal. Jika baik amalan manusia ketika di dunia ini maka kesenangan yang tidak terhingga (taman-taman syurga) yang akan menanti di alam barzakh ini (Daripada Ka'ab bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Roh orang mukmin akan terbang memakan buah-buahan dari pokok syurga sehingga Allah membangkitkan jasadnya pada hari kebangkitan." riwayat al-Nasai, no 2073). Tetapi jika buruk amalannya ketika di dunia, maka kuburnya akan menjadi lubang antara lubang-lubang neraka. Pegangan sebegini perlu diterapkan kepada setiap orang islam, lebih-lebih lagi ketika usia masih muda. Kalau nak tunggu hingga tua ... maka jadi buluhlah ia.
  2. Penayangan video ini insya Allah tidak akan memberi kesan negatif terhadap psikologi kanak-kanak. Anak saya Balqis pernah menyaksikan video ini di sekolahnya, ternyata emosinya tidak terganggu dan pencapaian akademiknya semakin meningkat. Kepercayaannya terhadap akidah tauhid semakin kuat dan dia sudah mula membaca buku-buku berkaitan alam barzakh dan yang seumpamanya serta dapat memahaminya dengan baik. Pendapat pakar psikologi (yang ditemuramah oleh Buletin Utama) yang menyatakan bahawa penerimaan terhadap sesuatu perkara oleh kanak-kanak adalah berbeza-beza yakni ada yang boleh menerima dan ada yang tidak boleh menerima adalah benar tetapi di sinilah pentingnya bimbingan dari ibu bapa. Ibu bapa yang bijak akan dapat menyatakan rasionalnya penayangan video tersebut bukan menyalahkannya. Jika ibu bapa beranggapan negatif terhadap perkara seumpama ini maka kanak-kanak tersebut mungkin akan terus beranggapan negatif sehinggalah mereka dewasa kelak. Jika keadaan seperti ini berlaku, maka tidak hairanlah jika satu masa nanti mereka akan tergolong dalam kelompok yang menjauhi agama, menentang agama (lihat gejala yang berlaku sekarang! ...bohsia, bohjan, rempit, black metal, buang bayi..........)
  3. Penayangan video seperti ini boleh meneutralkan penayangan filem-filem yang banyak mudaratnya di media massa. Filem-filem seperti remp-it, impak maksima dan banyak lagi (tak tau nak sebut) yang saya rasa 95% negatif tidak pula dijadikan isu, bahkan diberi anugerah dan pengiktirafan pula. Filem-filem seperti ini sentiasa disuap dalam minda kanak-kanak ketika di luar sekolah. Jadi apa salahnya ia dineutralkan oleh video atau filem yang boleh mengingatkan kita kepada Tuhan.
Baiklah, sebelum saya tutup post ini mari kita baca maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: (maksudnya) "Apabila mayat telah dikebumikan - atau baginda berkata: Salah seorang antara kamu - maka datanglah dua malaikat berwarna hitam kebiruan. Malaikat pertama bernama Munkar dan malaikat kedua bernama Nakir. Kedua-duanya berkata: Apakah pendapatmu tentang lelaki ini (Muhammad s.a.w.)? Mayat itu berkata: Aku mengatakan seperti apa yang telah dia katakan. Dia adalah hamba Allah dan pesuruhNya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Kedua-dua malaikat berkata: Kami tahu bahawa akan menjawab seperti ini. Kemudian kuburnya diluaskan selebar 70 X 70 hasta dan kemudian disinari dengan cahaya yang terang. Kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah. Mayat itu berkata: Aku ingin kembali kepada keluargaku agar dapat aku beritahu mereka. Lalu kedua-dua malaikat tadi berkata: Tidurlah bagaikan pengantin tidur. Tiada seorang pun yang akan mengejutkannya melainkan keluarga yang paling dicintainya sehingga Allah membangkitkan dirinya dari tempat tidurnya itu. Jika mayat itu orang munafik maka dia menjawab: Aku mendengar orang mengatakan seumpama itu. Oleh itu, aku mengatakan seperti yang mereka katakan, tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Kedua-dua malaikat tersebut berkata: Kami tahu bahawa kamu akan menjawab demikian. Lalu dikatakan kepada bumi: Himpitlah jasadnya. Bumi pun menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya remuk. Dia sentiasa diseksa di dalam kubur sehingga Allah membangkitkannya dari tempat pembaringannya itu."

- riwayat al-Tirmizi,no 1071. Diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, no. 1391.


Wallahu A'lam

Read more...

Buat Loan Untuk Tunaikan Haji

>> Tuesday, November 4, 2008



Selesai sudah sambutan Syawal, kini tiba pula bulan Zulkaedah sebelum masuknya bulan Zulhijjah. Kedatangan bulan Zulhijjah bagi masyarakat Malaysia membawa makna bermulalah penerbangan haji ke Mekah. Bagi yang berkesempatan menunaikan ibadah haji tahun ini diucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana bukan senang untuk mendapat kesempatan menjadi tetamu Allah. Bagi yang masih belum mampu perbanyakkanlah berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menunaikan ibadah ini pada masa akan datang.

Dua tiga bulan yang lepas, Timbalan Menteri Di JPM (Dr Mashitah) mengeluarkan kenyataan bahawa umat Islam dibenarkan membuat pinjaman peribadi untuk tunaikan ibadah haji. Dua tiga hari selepas itu timbul pelbagai reaksi dari masyarakat. Majoriti masyarakat tidak bersetuju dengan cara sebegini. Kebanyakannya menyatakan bahawa ibadah haji adalah satu ibadah wajib yang mesti ditunaikan tanpa berhutang. Ini bermakna seseorang itu tidak tertanggung hukum wajib ke atasnya sekiranya ia masih belum mempunyai kemampuan kewangan. Dalam bahasa mudahnya ialah jika seseorang itu tidak ada duit maka tidak wajib menunaikan haji.

Memang benar, jika kita mempelajari syarat-syarat wajib haji (saya mempelajarinya semasa di sekolah rendah lagi) ada dinyatakan bahawa jika seseorang itu hendak menunaikan haji segala hutang-piutangnya hendaklah dilangsaikan semuanya terlebih dahulu bukan hanya hutang untuk tambang menunaikan haji bahkan semua hutang yang berkaitan dengan kehidupannya seperti hutang dengan saudara mara, hutang membeli barang-barang runcit dan sebagainya. Ditakuti sekiranya ajal kita sampai semasa di Tanah Suci maka roh kita tidak akan ditangguhkan untuk memasuki syurga. Itulah yang saya pelajari semasa berada di Sekolah Rendah Agama Sg Tengi Kanan (sekolah rendah agama sebelah petang).

Satu tinjauan dalam radio IKIM tidak berapa lama selepas kenyataan Dr Mashitah, para pendengar radio kebanyakannya tidak bersetuju dengan cara menunaikan haji seperti ini. Kalau boleh, biarlah kita pergi dan apabila pulang nanti kita tidak terpaksa membayar balik hutang.

Dari satu aspek saya setuju dengan pendapat tersebut, tetapi jika kita lihat semula dan difikirkan semula secara menyeluruh kaedah seperti ini masih boleh dianggap praktikal terutamanya pada zaman yang kompleks seperti sekarang. Bagi saya, syarat wajib haji seperti yang saya pelajari semasa di sekolah dahulu hanyalah Ijtihad Ulama semasa setelah melihat keadaan sosioekonomi pada masa tersebut. Ia tidak dianggap Qot'ie (tetap dan pasti), dan ia boleh berubah mengikut perubahan zaman dan masa.

Pada zaman sekarang, kita dapati hampir tiada seorang individu pun yang bebas dari hutang. Sekurang-kurangnya kita akan berhutang rumah, kenderaan, perabot dan sebagainya. Bahkan bagi usahawan-usahawan besar mereka juga mempunyai hutang yang bukan sedikit jumlahnya bahkan sampai jutaan ringgit. Jika begini keadaannya maka tiada seorang pun rakyat Malaysia yang jatuh hukum wajib untuk menunaikan haji.

Berbeza pada zaman awal-awal kemerdekaan negara dahulu (sekitar tahun50-an dan 60-an), kebanyakan rakyat Malaysia hidup dengan cara yang amat symple sekali. Mereka mendirikan rumah di atas tanah sendiri (jika tiada tanah boleh teroka mana-mana hutan yang ada... jangan lakukan hal sedemikian pada zaman sekarang jika tak nak merengkok dalam penjara!), makan hasil tanaman sendiri, tidak perlukan perabot, tidak perlu bayar bil, tidak perlukan kereta, tidak perlu bayar tol, tidak perlu bayar cukai pintu, tidak perlu bayar bil IndahWater atau Syabas dan sebagainya. Hutang sekiranya ada hanyalah hutang kepada ahli keluarga atau tauke cina (peraih hasil pertanian) untuk buat kenduri kahwin. Guru agama pondok masa itu boleh mengajar agama dengan seikhlas-ikhlasnya tanpa meminta sebarang upah kerana mereka mempunyai tanah yang boleh menyara kehidupan mereka.

Tetapi sekarang zaman dah berubah, dunia dah maju.. hutang pun dah maju. Tidak dikatakan hidup jika tidak berhutang (pendapat sesetengah orang). Zaman sekarang semuanya memerlukan duit. Celik saja biji mata dah kena keluar duit, nak buang air kat rumah sendiri pun kena bayar. Bila semuanya kena bayar, sedangkan pendapatan tidak seberapa maka mulalah kita berhutang. Nak guna kereta untuk ke tempat kerja kena berhutang, nak duduk di rumah sendiri pun kena hutang dan semuanya kena berhutang. Sekarang mana ada lagi tanah kosong untuk diteroka dan buat rumah sendiri sesuka hati? Jika semuanya hutang bila masanya kita boleh tunaikan ibadat haji?

Sekarang marilah kita berfikiran terbuka. Fikir dan renungkan sedalam-dalamnya. Sekarang kita mempunyai makanisme kewangan yang sistematik. Kita mempunyai banyak bank yang telah terbukti keberkesanannya. Kenapa kita tidak gunakan sistem ini? Baiklah, katakan kita sekarang adalah kakitangan kerajaan yang mempunyai pendapatan tetap dan terjamin sehingga kita tua. Setiap bulan kita akan buat potongan tabung haji sebanyak RM50. Kita buat jangkaan selepas 20 tahun kita boleh kumpul sebanyak RM12000, bolehlah kita bertolak menunaikan haji masa tu. Tapi kita terlupa, bahawa kos menunaikan haji akan sentiasa meningkat, sampai sahaja tempoh 20 tahun tersebut dengan jumlah wang sebanyak RM12000 tambang haji juga sudah meningkat naik menjadi RM20,000. Tak jadi lagi nak naik haji... kena tangguh lagi. Akhirnya apabila jumlah yang kita kehendaki tersebut sudah tercapai, usia kita pun ketika itu sudah mencecah hampir 80 tahun (kalau panjang umur). Sudah terlalu uzur, jika nasib tak baik sampai sahaja di Tanah Suci terus singgah di hospital sampai selepas wukuf atau sehingga sampai masa penerbangan pulang ke tanah air... tak de maknanya haji yang sebegini.

Kalau boleh tunaikanlah haji ketika usia masih muda, tenaga masih kuat kerana ibadah ini memerlukan kudrat tenaga yang banyak. Jadi, saya rasa apa salahnya jika kita mempunyai pekerjaan tetap dan terjamin kita pinjam dahulu bayar kemudian. Sebabnya ialah jika ditunaikan sekarang kos lebih murah jika ditangguhkan ke satu masa akan datang. Lagipun sekarang ni wujud sistem takaful yang boleh menampung baki hutang jika kita mati sebelum sempat melangsaikannya.

Walau bagaimanapun ini hanyalah pendapat peribadi saya semata-mata, mungkin ada silapnya. Di sini saya nak ucapkan tahniah kepada Bos saya Ust Kamilen Marzoki yang akan menunaikan haji untuk kali 3 (kalau tak silap) tahun ni dan juga kepada sahabat lama saya Ustaz Fuad (ustfuad.blogspot.com). Insya Allah saya akan menyusul kemudian.
***
Ust Kamilen sedang menyampaikan kursus pelaksanaan ibadah haji kepada pelajar-pelajar ting 5 SBPI Rawang. Ust Kamilen ni memang expert dalam bab haji dan umrah. Berpengalaman mengetuai rombongan haji dan umrah sejak 10 tahun lalu


Ini bukan Kaabah betul-betul...


Read more...

Bertuahnya Jadi Murid Zaman Sekarang

>> Tuesday, October 28, 2008

Dah agak lama juga saya tak mengemaskini blog ini... sibuk raya la katakan. Sebenarnya raya tahun ni pun tak lah meriah sangat, cuti pun pendek, cuma ziarah saudara mara yang terdekat sahaja. Tidak lama lepas cuti raya saya telah ditugaskan untuk merakamkan Kursus Perlaksanaan Ibadah Umrah & Haji 2008. Kerja-kerja editing masih dalam proses, insya Allah dalam 3 ke 4 hari lagi akan siap.. bolehla saya kongsikan dalam blog ini nanti.

Semalam (27/10/2008) ada satu lagi tugas berat yang perlu dilaksanakan iaitu merakamkan dan mengambil gambar Majlis Graduasi & Sirih Pulang ke Gagang bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapi SPM tidak lama lagi. Majlis ni lebih kurang sama macam Majlis Konvokesyen Universiti, siap dengan jubah graduan dan iringan muzik gamelan. Satu lagi kerja-kerja suntingan perlu disiapkan cepat...

Melihat Majlis Graduasi yang dilangsungkan di Hotel Concorde, Shah Alam ini terlintas di fikiran saya bahawa betapa bertuahnya menjadi seorang murid sekolah zaman sekarang. Guru-guru sekarang sentiasa bertungkus lumus memberikan yang terbaik kepada setiap anak didik mereka. Bukan sahaja diberikan ilmu pengetahuan setiap hari tetapi juga dibelai, dirai dan ditatang sepenuhnya dengan kasih sayang... sehinggakan untuk memohon biasiswa pun guru-guru inilah yang bersusah payah mencari peluang yang ada. Kadang-kadang seorang pelajar itu tidak nampak pun kepentingan memohon biasiswa ni, tetapi guru-guru nilah yang sentiasa mendesak agar segera mengisi borang. Akhirnya mereka berjaya memperolehi biasiswa tersebut dan berjaya menyambung pelajaran ke oversea.

Dalam Majlis Graduasi yang diadakan semalam pihak sekolah terpaksa mengumpulkan dana puluhan ribu ringgit semata-mata untuk meraikan pelajar-pelajar tingkatan 5 ini di sebuah hotel terkemuka. Mereka juga terpaksa mengorbankan cuti serta bertungkus lumus menyiapkan segala kerja-kerja agar semuanya berjalan lancar dan rapi.

Bertuahnya menjadi seorang pelajar sekolah zaman sekarang. Semasa saya di tingkatan 4 dahulu, jangan katakan Majlis Graduasi di hotel majlis di sekolah pun tidak pernah diadakan, yang ada ialah majlis ucapan dan penyampaian hadiah. Orang yang berjaya mendapat hadiah akademik ni lazimnya orang yang sama setiap tahun. Kita sebagai pelajar yang sederhana pencapaiannya tidak pernah mendapat peluang untuk naik ke pentas dan menerima penghargaan. Jadi saya pun tidak pernah bermotivasi untuk masuk ke universiti. Apa yang saya tahu ialah sekolah hingga tingkatan 5 kemudian cari pekerjaan.

Mujurlah arwah Kak Nor membawa saya ke Majlis Konvokesyen UKM beliau pada tahun 1990 (ketika itu saya di tingkatan 5). Beliau yang memperolehi Ijazah Perubatan telah memberikan semangat yang luar biasa kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan masuk ke universiti. Semasa beliau mengenakan jubah konvo Fakulti Perubatan yang berwarna merah saya mula bertekad untuk menyarungkan jubah konvo ini satu hari nanti. Masa tu dah tingkatan 5... tak banyak yang boleh dilakukan. Tetapi Alhamdulillah akhirnya, selepas 7 tahun saya berjaya juga menyarung jubah konvo universiti yang sama, cuma warnanya sahaja yang berbeza iaitu hitam.

Pelajar-pelajar sekarang memang bertuah dan beruntung. Motivasi sentiasa diberikan, guru sekarang lebih banyak menggunakan pendekatan psikologi (dulu lebih kepada ketegasan, garang, dan sentiasa menggunakan rotan), pelajar sekarang tidak boleh diganggu emosinya, cakap kena elok-elok, tak boleh rotan, tak boleh tengking... kalau tengking juga silap-silap kena dakwa di mahkamah.

Tetapi malangnya kebanyakan pelajar sekarang tidak menyedari keadaan tersebut. Murid sekarang berani memarahi guru, menyalahkan guru walau hanya disebabkan sedikit kesilapan, dan yang lebih teruk ada yang sanggup membelasah dan menendang guru.

Wahai sekalian insan yang bergelar murid! hargailah kebertuahan anda...


Read more...

Doa Mengelakkan Kemalangan

>> Tuesday, October 7, 2008

Dalam kita berseronok menyambut kedatangan Syawal janganlah kita lupa tentang keselamatan kita di jalan raya. Keadaan jalan raya yang sesak dengan kenderaan akan memudahkan kita terlibat dengan kemalangan terutamanya kepada mereka yang terpaksa menempuh perjalanan jauh. Mengikut statistik yang baru dikeluarkan oleh pihak berkuasa, sebanyak 1.2 juta kenderaan telah berada di jalan raya semalam (6 Okt) iaitu mereka yang dalam perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur setelah bercuti hari raya.
Oleh itu berhati-hatilah semasa di jalan raya, sentiasalah bersabar, jangan cilok-cilok.
Di sini saya nak kongsi satu doa yang boleh diamalkan ketika hendak memulakan perjalanan, mudah-mudahan kita dijauhkan dari terlibat dengan kemalangan.
Doa ini diambil dari buku 101 Doa Daripada Hadis-Hadis Sahih susunan Ust Zahazan Mohamed (UIA), ia diriwayatkan oleh At-Tirmizi no. 3482, Sahih al-Jami' al-Soghir no. 1297, Sahih al-Nasa'i no. 5053:

Maksudnya: "Ya Allah, tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan Allah s.w.t."

Read more...

>> Friday, September 26, 2008

SALAM LEBARAN



Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pelawat Blog ini terutamanya saudara mara kami di mana jua berada, sahabat-sahabat dan rakan taulan terutamanya di SBPI Rawang, Sahabat-sahabat lama di SAM Seri Desa, KISAS, UKM dan MPI serta para pelajar dan bekas pelajar saya sama ada yang berada di dalam negara atau di luar negara. Maaf Zahir Batin.





Read more...

Perbezaan Pendapat Dalam Isu Agama

>> Wednesday, September 24, 2008

Hari ni adalah hari ke dua puluh empat kita menunaikan ibadah puasa. Jika tepat ramalan yang dibuat oleh ahli-ahli falak Malaysia bahawa anak bulan Syawal tidak akan kelihatan, maka kita akan berpuasa cukup 30 hari. Sebab-sebab anak bulan dijangka tidak kelihatan tidak pula dinyatakan sama ada anak bulan keluar terlalu awal (menyebabkan silauan cahaya matahari yang masih terang akan menghalang pandangan pencerap) atau keluar terlalu lewat. Tetapi itu semua tak penting, yang penting ialah kita menunaikan ibadah puasa dengan sempurna seterusnya diterima di sisi Allah S.W.T.



Semalam, sahabat saya Shahrizan jumpa saya dan bertanya tentang amalan membaca Al-Quran di atas kubur yang dikatakan bid'ah sebagaimana yang dihuraikan oleh Dr Azwira dari Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah UKM (dua post sebelum ini). Masalahnya ialah dia terjumpa satu lagi blog yang menyangkal pendapat Dr Azwira ini. Dia pun tunjukkan blog tersebut dan saya baca sekali lalu sahaja. Perbezaan pendapat ini telah menyebabkan dia bingung dan keliru. Bagaimana dia nak nasihatkan keluarganya yang telah sekian lama membaca Yasin ketika menziarahi kubur terutamanya semasa hari raya?

Bagi saya senang saja. Perbezaan pendapat dalam masalah keagamaan ini adalah satu perkara lumrah. Ia telah berlaku sejak dari dahulu lagi. Apa yang saya dapat perhatikan dalam permasalahan ini ialah perbezaan pendapat antara golongan pengkaji ilmu hadis dengan golongan ahli fekah. Golongan pengkaji hadis adalah seperti Dr Azwira (UKM), Dr Asri (Mufti Perlis) dan Syeikh Nasiruddin al-Albani (tokoh hadis zaman silam). Maka berlakulah pertembungan fatwa antara Al-Bani dengan Syeikh2 lain seperti Ibn Al-Qayyim (kitab Ar-Ruh) dan al-Syeikh al-Uthmani dalam kitab “Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah”.

Nampaknya kedua-dua golongan iaitu yang mengamalkan membaca Al-Quran di perkuburan dengan golongan yang tidak mengamalkannya masing-masing mempunyai hujah yang kuat - Cuma yang pasti ialah ulamak salaf tidak melakukannya. Kalau nak selamat ikut ulamak salaf (Al-Kholafu A'lam, Was-Salafu Aslam: Golongan Kholaf lebih pandai manakala Salaf lebih selamat). Pilihlah mana-mana pendapat yang diyakini oleh diri masing-masing.

Bagi diri saya, tak perlulah baca di atas kubur, bacalah di dalam masjid. Di samping kita mendapat pahala membaca Al-Quran kita juga akan mendapat pahala iktikaf. Adapun tentang pahala bacaan yang dihadiahkan kepada si mati sama ada sampai atau tidak, itu terserah kepada Allah. Tiada nas yang jelas tentang perkara ini. Apa yang jelas ialah perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada si mati ialah sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh.

Oleh itu, sementara kita hidup kat dunia ni buatlah amal soleh dan tinggalkan lah maksiat. Nanti bila mati tak lah susah payah nak mengharapkan orang lain buatkan amal kebaikan untuk kita... belum tentu sampai!!!!!!!!!!!

Read more...

Lawatan Ke Jepun

>> Monday, September 15, 2008

Video ni sebenarnya dah lama tersimpan dalam bentuk VCD. Rugi rasanya kalau dibiarkan begitu saja, jadi upload saja lah ke dalam blog ini untuk dikongsi bersama. Mudah-mudahan kita dapat manfaatnya. Sesungguhnya lawatan ini amat bermakna kerana banyak perkara yang telah dipelajari. Orang-orang Jepun terutama di Saitama begitu berbesar hati menerima kedatangan kami.. tengok saja la bagaimana mereka menyambut kami dalam video di bawah. Mereka adalah pengamal nilai-nilai Islam lebih dari orang Islam sendiri seperti menjaga kebersihan, mengharga masa, menepati janji, bekerja bersungguh-sungguh dan lain-lain lagi. Yang kurang hanya akidah mereka yang masih kosong. Mereka mengaku bahawa mereka tidak beragama.

Saya harap dua keluarga angkat saya iaitu keluarga Tabe Masanobu dan keluarga Kiyomi Icihashi akan diberikan petunjuk oleh Allah... Amiin.

Saksikan video di bawah:


Part 1


Part 2


Part 3


Part 4


Part 5


Part 6


Part 7

Read more...

Amalan Membaca Al-Quran Di Atas Kubur Adalah Bid'ah

>> Thursday, September 11, 2008



Semalam sahabat saya Cikgu Esa datang membawa tiga buah kuku kecil Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Antaranya ialah Tajassus Dalam Operasi Pencegahan Mungkar, Tazkirah Kematian oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Membaca Al-Quran Di Kubur oleh Dr Azwira Abdul Aziz (Jab. Pengajian Al-Quran & As-Sunnah).

Dua buku yang saya telah baca ialah Tazkirah Kematian dan Membaca Al-Quran Di Kubur. Kedua-dua pengarang adalah tokoh yang handal dalam ilmu hadis.

Saya agak tertarik untuk highlight buku Membaca Al-Quran Di Kubur dan Tazkirah Kematian kerana dua isu ini agak sensitif di dalam masyarakat Islam di negara ini. Amalan membaca Al-Quran di atas kubur terutamanya surah Yasin dan Tahlil memang lumrah dilakukan oleh kebanyakan orang. Mereka menyangka itu adalah amalan yang terbaik apabila menziarahi perkuburan. Sedangkan sebenarnya apa yang mereka lakukan itu adalah satu tanda kejahilan yang nyata.

Dr Azwira mengulas tulisan Mohd Shauki Abdul Majid (Utusan Malaysia, 19 Oktober 2007), antara lain beliau menulis:

Antara contoh terkini yang disebarkan oleh hadis-hadis berkenaan (palsu) berkenaan membaca Al-Quran ketika menziarahi kubur yang terkandung dalam artikel berjudul Amalan Ziarah Kubur bukan Bid'ah, tulisan Mohd Shauki Abdul Majid (Utusan Malaysia, 19 Oktober 2007). Dalam artikel tersebut, terdapat sebuah hadis menyebut (bermaksud): "Barangsiapa menziarahi kubur kedua-dua orang tuanya atau salah seorang daripada mereka pada hari Jumaat, lalu dia membacakan surah Yasin, maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan."

Hadis ini dijadikan dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca Al-Quran di kubur, kononnya amalan ini adalah suatu sunnah yang diamalkan oleh Nabi S.A.W. dan para sahabat r.a. Walhal, ia adalah sebuah hadis palsu yang mana kepalsuannya telah ditegaskan oleh para ulama hadis. Antaranya: Ibn Adiyy dalam Al-Kamil Fi Du'afa Al-Rijal, jilid 5, muka surat 151, Al-Zahabi dalam Mizan Al-'I'tidal Fi Naqd al-Rijal, jilid 4 muka surat 181, Al-Suyuti dalam Al-Laili' Al-Masnu'ah Fil-Ahadith Al-Maudu'ah, jilid 2, muka surat 440 dan Al-Ta'qqubat 'Ala Al-Maudu'at muka surat 23... (sekadar beberapa contoh shj).

Persoalannya, kenapa penulis berkenaan berhujah dengan hadis ini tanpa menjelaskan sumber dan statusnya? Sekiranya beliau tidak tahu tentang kepalsuan hadis tersebut, kenapa beliau tidak mengambil tanggungjawab membuat kajian terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya merujuk hasil kajian yang telah dibuat oleh ulama bidang berkenaan? Kenapa beliau begitu berani menghuraikan persoalan agama dengan sesuatu dalil yang beliau sendiri tidak pasti kesahihannya? Bukankah tindakan menghuraikan ajaran Islam berdasarkan hadis palsu tanpa menjelaskan sumber dan statusnya adalah satu pengkhianatan ilmiah yang sangat berpotensi menyesatkan masyarakat? Tidakkah beliau sedar bahawa dosa orang yang mencipta dan menyebarkan hadis itu adalah menempah tiket ke neraka?

Dalam artikel berkenaan terdapat satu lagi hadis yang bermaksud: "Barang siapa yang menziarahi kubur, kemudian dia membaca al-Fatihah, Qulhuwallahu ahad dan al-Hakumut takasur lalu berdoa: "Ya Allah, kuhadiahkan pahala bacaan firmanMu pada kaum mukminin penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat."

Hadis ini juga disebut oleh penulis berkenaan tanpa dinyatakan sumber dan statusnya, lalu beliau menjadikannya dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca al-Quran di atas kubur sebagai satu amalan sunnah yang diamalkan oleh Nabi S.A.W. dan para sahabat r.a.

Saya telah mencuba yang terdaya untuk menyemak sumber dan status hadis ini dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadis sahih, dhaif mahupun palsu tetapi gagal menemuinya. Ketiadaann hadis berkenaan dalam kitab-kitab hadis yang muktabar adalah suatu petanda yang menunjukkan kepalsuannya. Justeru, segala kemusykilan dan persoalan yang timbul dalam hadis pertama tadi turut berbangkit di sini.

Ziarah

Satu perkara yang perlu dijelaskan di sini ialah perbezaan antara hukum menziarahi kubur sambil membaca zikir yang sabit daripada Nabi S.A.W. dengan hukum membaca Al-Quran di atas kubur. Tiada siapa pun yang menghukum amalan menziarahi kubur, memberi salam kepada penghuninya, berdoa dan beristighfar untuk mereka sebagai amalan bid'ah. Ini kerana amalan sedemikian merupakan sunnah Nabi S.A.W. berdasarkan nas-nas sahih.

Berbeza dengan amalan menziarahi kubur sambil membaca Al-Quran di atasnya. Jumhur ulama melihatnya sebagai bid'ah kerana beberapa alasan ilmiah.

1. Tidak ada nas sahih yang menyokong amalan membaca Al-Quran di kubur. Semua hadis berkenaan amalan tersebut tiada asal usulnya (palsu) sebagaimana yang ditegaskan oleh Albani dalam Ahkam Al-Janaiz Wa Bida'iha.

2. Semua nas sahih tentang cara Nabi S.A.W. menziarahi kubur tidak menyebut baginda pernah melakukan amalan membaca Al-Quran di kubur. Meskipun para sahabat r.a. mengajukan pertanyaan yang khusus tentang apa yang perlu dibaca ketika menziarahi kubur, namun baginda menjawabnya tidak lebih daripada sekadar memberi salam dan mendoakan keampunan untuk ahli kubur. Sekiranya Al-Quran boleh dibaca di kubur nescaya baginda akan menyebutnya.

3. Terdapat nas-nas sahih yang menafikan adanya amalan membaca Al-Quran di kubur pada zaman Nabi S.A.W. seperti sabda baginda dalam sebuah hadis. Menurut Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W. bersabda (bermaksud): "Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah." - hadis riwayat Muslim, al-Tirmizi dan Ahmad
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menggalakkan umatnya supaya membaca Al-Quran di rumah kerana ia boleh menghalau hantu syaitan. Baginda melarang umatnya daripada membiarkan rumah mereka sunyi sepi tanpa bacaan Al-Quran. Ini kerana, rumah yang tidak dibaca Al-Quran itu sama seperti kawasan perkuburan yang juga sunyi sepi lantaran tiada orang membaca Al-Quran di situ.

Analogi Nabawi ini membuktikan bahawa masyarakat Islam pada zaman Nabi S.A.W. tidak membaca Al-Quran di kubur. Oleh sebab itulah baginda menggambarkan rumah yang sunyi daripada bacaan Al-Quran seperti kubur.

Jika masyarakat Islam di zaman Nabi S.A.W. melakukan amalan membaca Al-Quran di kubur nescaya baginda tidak akan menyamakan rumah yang tidak dibaca Al-Quran itu dengan kubur.

Tiada sesiapa menafikan kelebihan membaca Al-Quran. Namun, sebagaimana syarak menggalakkan bacaan Al-Quran, syarak juga menentukan tempat yang sesuai untuk membaca Al-Quran.

Boleh dikatakan majoriti masyarakat Islam di Malaysia kurang membaca Al-Quran. Justeru, jika kekurangan itu disusuli pula dengan kesilapan memilih tempat, maka ia adalah sesuatu yang amat merugikan.

Lebih buruk lagi jika segala syaitan yang ada di kawasan perkuburan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam kerana kekerapan mereka membaca Al-Quran di kubur daripada di rumah.

Demikianlah sebahagian tulisan Dr Azwira Abdul Aziz (UKM) tentang hukum membaca Al-Quran di atas kubur. Sebenarnya panjang lagi tulisan beliau, ia boleh dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Kesimpulannya, kita hendaklah bertanya kepada orang yang benar-benar arif dan diakui kepakarannya jika ingin melakukan sesuatu perkara. Ditakuti pahala yang kita cari, dosa pula yang kita dapat. Memang tidak dinafikan golongan-golongan imam, ustaz atau kiai ini juga mempunyai kelemahan masing-masing, kadang-kadang tersilap memberi pendapat (terutamanya di kampung-kampung). Mereka lebih cenderung bersandarkan amalan tradisi dari nenek moyang mereka dan enggan berubah walaupun mereka tidak mempunyai hujah yang kuat. Sebagai contoh, amalan kenduri arwah hari ke 7, 40 dan 100 begitu sukar dikikis dari masyarakat kita. Sekiranya kita tidak melakukannya maka ia menjadi seperti satu kesalahan pula.
Selain itu, ada banyak lagi amalan-amalan kita yang telah dilakukan turun temurun sebenarnya diragui kesahihannya tetapi sukar untuk dihapuskan (insya-Allah akan dibincang kemudian)... Wallahu A'lam.


Read more...

FamiliHarmoni.blogspot.com

>> Sunday, September 7, 2008

Memperkenalkan...

Sebuah laman blog yang baru saya siapkan untuk sahabat saya Cikgu Esa Abd Samad (http://www.familiharmoni.blogspot.com/). Laman ni adalah sebahagian dari tugasan kursus Sarjana yang sedang diikutinya di UPSI.

Ia mengandungi segala maklumat berkaitan dengan pembentukan keluarga bahagia, artikel, buku terkini, tips dan soal jawab.

Semasa post ini ditulis, blog ni belum lagi 100% siap, tapi kira ok la tu.

Dijemput kepada semua untuk berkunjung ke blog tersebut, semoga mendapat info yang bermanfaat.

Read more...

Beberapa Persoalan Tentang Puasa

>> Tuesday, September 2, 2008

Persoalan 1: Apakah hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?

Jawapan : Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat hanya bergantung kepada penggunaan 'inhaler (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan. Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (keadaan kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib menqqada' semula puasa tersebut.

Persoalan 2: Adakah sah puasa saya sekiranya saya memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?

Jawapan : Sah puasa memberus gigi sesudah azan subuh berkumandang. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

Read more...

Beberapa Kemusykilan Agama

Persoalan 1: Apakah hukumnya ikan (ternakan) yang diberi makan makanan dari sumber yang haram seperti najis babi?

Jawapan: Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bertarikh 9 April 2007 menyatakan -

(1) Ikan ternakan yang dipelihara dalam kolam, tasik, lombong dan seumpamanya serta diberi makanan daripada najis seperti babi dan bangkai sebagai sumber makanan utama adalah haram dimakan; dan

(2) Penternak dilarang memberi ikan ternakan dengan makanan utama daripada najis sebagai langkah di samping menjaga sensitiviti umat Islam.


Persoalan 2: Saya ingin penjelasan mengenai situasi masalah saya. Saya tidak berkesempatan menggantikan puasa pada tahun lepas (2004) sebanyak 4 hari lagi kerana masalah kesihatan sebelum Ramadhan tahun ini (2005).

Soalannya:

(1) Adakah puasa 4 hari yang tertinggal itu perlu saya gandakan menjadi 8 hari utk saya qada' kemudian nanti?

(2) Bolehkah saya sekalikan qada' puasa ini dengan puasa 6 di bulan Syawal nanti?

(3) Berapa banyakkah fidyah yang perlu saya bayar dan bolehkah dijelaskan bagaimana nilai fidyahdikira (daripada cupak kepada nilai duit).

(4) Adakah fidyah itu perlu saya lakukan/bayar setelah saya habis menggantikan puasa saya?

Jawapan :

(1) Puasa itu tidak perlu digandakan, hanya fidyahnya sahaja yang digandakan.

(2) Sah puasa qada' bersama dengan puasa 6 dalam bulan Syawwal.

(3) Fidyah yang perlu dibayar ialah :
1 cupak (670 gram) sehari x 4 hari = 4 cupak (2K 680 gram)
Nilai ringgit RM 1.17 (1 cupak)

(4) Fidyah tersebut perlu terus dibayar kepada fakir miskin tanpa perlu menunggu habis puasa.

- Sumber Jabatan Mufti Negeri Selangor

Read more...

Selamat Datang Ramadan

>> Sunday, August 31, 2008



Terasa baru dua tiga bulan yang lepas kita meninggalkan Ramadan, kini Ramadan tiba lagi dengan seribu keberkatan. Ramadan yang sentiasa dinantikan-nantikan kehadirannya oleh orang-orang yang bertakwa...


Ku harap Ramadan kali ini dapat mentarbiahku menjadi insan yang lebih baik


Ku harap Ramadan kali ini dapat menggolongkanku dalam kelompok manusia bertakwa


Ku harap Ramadan kali tidak datang dan pergi tanpa aku beroleh sesuatu dari-Nya


- Amin Ya Rabbal Alamiin -

Read more...

Selamat Hari Kebangsaan

>> Friday, August 29, 2008

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 51 marilah kita sama-sama menghayati puisi yang bertajuk "Hidup Bersama" karya SN Dato (Dr) A Samad Said :

Kita sudah sampai di lereng amat indah,
di bawah pelangi,
dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.
Kita wajar mendaki lagi kerana puncak yang jauh.

Dalam gelora dan taufan tak tercalar
tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh,
tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian.

~ A Samad SaidOktober 24, 2007

Read more...

Demi Keselamatan

>> Wednesday, August 27, 2008

Padang ragbi Sepintar, tiga hari lepas (26/8/08) gempar sedikit apabila tiba-tiba saja turun mendarat dua objek ganjil dari langit.

Kebetulan dua orang 'hulubalang sekolah' (Hang Amir dan Hang Ijudin) sedang menikmati sajian 'lazat' di kantin sekolah. Maka kedua-duanya pun bersegera menghampiri objek tersebut kerana menyangka ia adalah dua ekor burung ganjil yang bersaiz luar biasa besarnya.

Setelah menghampiri dan mengamat-amati kedua-dua objek tersebut barulah mereka tahu bahawa objek tersebut adalah helikopter. Itu pun setelah bertanya pilot yang sedang duduk berehat tidak jauh dari situ. Jenuh juga pilot-pilot tersebut menerangkan bahawa 'benda' tu adalah helikopter (adalah lebih kurang 30 minit lamanya), kalau tidak mati-mati mereka menyangka itu adalah sejenis burung garuda.

Rupa-rupanya helikopter tu dalam perjalanan dari pengkalan TUDM Alor Setar ke Sg Besi. Oleh kerana cuaca di KL ketika itu sedang hujan lebat serta merbahaya maka mereka pun terpaksa mencari tempat untuk mendarat.

Setelah cuaca kembali tenang, kedua-duanya pun terbang meneruskan perjalanan.



Hang Ijudin sedang mengenal pasti objek yang disangkanya seekor burung gergasi.










Keadaan kokpit menunjukkan bahawa helikopter ini berteknologi lama serta tidak mampu untuk menempuh cuaca buruk.








Padang Sepintar... berpotensi untuk dijadikan pusat pendaratan pesawat tentera termasuk F18 Hornet dan Sukhoi.

Read more...

CUTI SEKOLAH

16/8/2008 hingga 24/8/2008 adalah tarikh cuti sekolah pertengahan semesta kedua. Peluang sebegini biasanya tidak akan dilepaskan begitu sahaja tanpa pulang ke kampung.

Tahun ini saya membawa satu-satunya anak lelaki saya (Iskandar Zulqarnain- 7 tahun) pulang ke kampung untuk memancing ikan di parit di hadapan rumah toknya. Mini joran yang digunakan adalah hadiah dari saya sempena kejayaannya mendapat tempat kedua dalam peperiksaan pertengahan tahun yang lepas.

Seronok saya tengok dia dapat menaikkan 3 ekor ikan lundu bersaiz sederhana.

Di parit di hadapan rumah bapa saya inilah saya mula belajar memancing ketika kecil dahulu. Bezanya ketika itu saya hanya menggunakan sebatang buluh sebagai joran.

Memori masa lampau teringat kembali...



Iskandar yang pakai baju belang tu.. baru saja dapat seekor ikan.
Yang meriba anak tu isteri saya dan yang berbaju biru kakak ipar saya.. mereka turut merasai kedamaian suasana kampung.








Ini abang saya. Dia gaya je lebih.. ikan tak pernah dapat pun!

Read more...

Kisah Barsisa

>> Saturday, August 9, 2008

Kisah Barsisa ini adalah kisah teladan yang menunjukkan bahawa iblis sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia. Salah satu kelemahan manusia ialah nafsu syahwatnya. Barsisa adalah seorang ahli ibadah Bani Israil yang begitu kuat beribadah tetapi kurang berilmu serta tidak dapat mengetahui tipu daya iblis akhirnya mati dalam keadaan kafir. Kisah ini diambil dari buku Rawatan Gangguan Makhluk Halus Menurut Al-Quran Dan As-Sunnah oleh Prof. Dr Haron Din dan Dr. Amran Kasimin cetakan tahun 1990 (buku ini tiada lagi di pasaran setelah digantikan dengan cetakan tahun 1997 - cetakan 1997 ini tidak lagi mencatatkan kisah Barsisa ini). Ikuti kisahnya...


Ibn Abbas r.a. mengisahkan bahawa pada zaman dahulu terdapat seorang lelaki yang sangat salih bernama Barsisa, yang telah beribadat di satu tempat ibadat selama 70 tahun. Dia tidak pernah melakukan maksiat biarpun sekelip mata.
Pada satu hari iblis telah mengumpulkan satu golongan syaitan yang bijak-bijak dan bertanya, siapakah di antara mereka yang sanggup membinasakan Barsisa. Mendengarkan pertanyaan itu, iblis bernama Si Putih berjanji akan melakukannya. Si Putih mengatur langkah dengan mencukur licin tengah-tengah kepalanya dan berpakaian seperti pakaian yang dipakai oleh Barsisa, yang menunjukkan bahawa dia adalah seorang rahib yang salih dan ahli ibadah. Kemudian ia pergi ke tempat Barsisa beribadat. Setibanya di sana dia terus memberi salam, tetapi tidak mendapat jawapan. Barsisa tidak berhenti daripada sembahyangnya kecuali setelah 10 hari. Ia hanya berhenti makan sekali dalam 10 hari. Melihatkan Barsisa tidak memperdulikannya, Si Putih pun ikut Barsisa sembahyang dan beribadat. Apabila Barsisa berhenti sembahyang, ia ternampak Si Putih sedang berdiri sembahyang seperti kelakuan seorang ahli ibadat.
Melihatkan demikian dia berkata:
“Saudara memanggil saya ketika sembahyang tadi. Apa hajat saudara?”
“Hajat saya, saya ingin bersama tuan. Berguru kepada tuan. Agar dapat saya beribadah seperti yang tuan lakukan. Kita sama-sama beribadat. Tuan berdoa kepada Allah untuk diri saya dan saya berdoa untuk tuan”. Tegas Si Putih pendek.
Sayang sekali saya tidak dapat memenuhi permintaan saudara. Apabila saudara telah termasuk dalam golongan orang yang beriman, ini bermakna saudara termasuk dalam doa saya kepada Allah apabila dikabulkan”.
Barsisa kembali beribadah meninggalkan Si Putih. Si Putih meneruskan ibadahnya dengan berpura-pura bersembahyang tanpa dilihat oleh Barsisa selama 40 hari. Bila ia berhenti sembahyang dilihatnya Si Putih masih lagi sembahyang. Melihatkan kesungguhan sedemikian rupa, Barsisa bertanya,
“Apa sebenarnya hajat saudara?”
“Hajat saya ingin beribadat bersama tuan”. Jawab Si Putih dengan penuh hati-hati.
“Kalau boleh, dapat kiranya tuan izinkan saya naik ke tempat tuan beribadah”.
“Barsisa mula tertarik hati kepada Si Putih lalu mengizinkannya naik. Kemudian ia pun beribadah semula bersama-sama Si Putih selama setahun, tanpa makan kecuali selepas 40 hari, dan tidak berhenti sembahyang kecuali sekali setiap 40 hari. Kadang-kadang sampai 80 hari.
Melihat kesungguhan Si Putih, Barsisa merasa kesal terhadap perkara yang telah dilakukan. Dalam masa yang sama dia merasa kagum dengan ibadah yang dilakukan oleh Si Putih. Setelah cukup setahun, Si Putih berkata kepada Barsisa.
“Saya mahu pergi sekejap untuk menemui teman”.
Barsisa merasa berat hendak berpisah dengan temannya tetapi ia terpaksa melepaskannya pergi. Ketika hampir pergi Si Putih berkata kepadanya.
“Sebelum saya pergi saya ingin mengajar tuan beberapa doa. Tuan boleh dunakan untuk mengubati pesakit terutamanya orang yang menderita gila”.
“Saya tidak memerlukannya. Saya takut bila orang ramai tahu, mereka akan datang berjumpa dengan saya. Semuanya ini akan mengganggu ibadah saya kepada Allah.” Barsisa menjawab dengan ikhlas.
Si Putih tetap mengajarnya ilmu tersebut. Kemudian ia beredar menemui iblis. Iblis berkata kepadanya bahawa Barsisa akan binasa.
Si Putih telah berjumpa dengan seorang lelaki, lalu mencekiknya. Kemudian ia datang menjelma dirinya berlagak seperti seorang yang pandai mengubati penyakit lalu menemui keluarga lelaki tersebut dan berkata.
“Saudara kamu kena rasuk hantu. Adakah kamu perlukan saya merawatnya?” Mereka semuanya menjawab mengatakan benar.
“Maaf, saya tidak berupaya mengubati sakitnya… tetapi, rasanya elok kalau saya tunjukkan seorang lelaki yang boleh mengubatinya dengan cara berdoa kepada Allah. Dia akan sembuh.” Si Putih mula membuat helah.
Lalu ia memberitahu Barsisa. Keluarga pesakit dengan segera menemui Barsisa dan memohon pertolongan daripadanya. Apabila Barsisa membaca doa yang diberi oleh iblis dahulu, maka pesakit pun sembuh.
Demikianlah halnya yang dilakukan oleh Si Putih kepada beberapa orang lain. Setiap kali melakukannya dan orang yang berkenaan sakit, ia akan menjelmakan dirinya dan memberitahu kepada keluarga pesakit ke mana seharusnya mereka pergi untuk mendapatkan pertolongan.
Akhirnya Si Putih pergi kepada seorang perempuan muda dari golongan ternama Bani Israil lalu menyeksa dan mencekiknya. Kemudian ia menjelmakan diri berlagak seperti seorang lelaki yang pandai mengubati penyakit lalu menemui keluarga perempuan tadi.
“Adakah saya perlu merawatnya.” Tanya Si Putih pura-pura.
“Ya”. Jawab mereka semua dalam kecemasan.
“Perempuan ini dirasuk syaitan. Sayangnya saya tidak berupaya hendak mengubatinya. Tetapi kalau tuan-tuan mahu, tuan-tuan boleh berjumpa dengan seorang lelaki yang banyak ilmu, dia boleh mengubati orang kena rasuk. Kamu bawa perempuan itu kepadanya. Bila ia sakit dirasuk syaitan dia akan berdoa kepada Allah dan pesakit akan sembuh.” “Bagaimana kita semua hendak berbuat demikian. Dia seorang lelaki ternama lagi tinggi martabatnya?” Tanya keluarga perempuan tersebut.
“Itu mudah sahaja. Tuan-tuan boleh bina sebuah biara berhampiran dengan biaranya. Barsisa akan mengubatinya. Kalau dia enggan merawat, tinggalkan sahaja perempuan di biara. Sakitnya parah dan tidak mudah sembuh.” Si Putih memberi jalan.
Keluarga perempuan itu pun melakukan apa yang telah disyorkan oleh Si Putih. Setelah biara dibinam perempuan itu pun ditinggalkan di situ, menyerahkannya kepada Barsisa untuk dirawat. Setelah itu mereka pun memohon diri pulang.
Tatkala Barsisa berhenti sembahyang, matanya tertumpu kepada perempuan yang begitu cantik, menjadikan hatinya berdebar-debar tertawan melihatnya. Ketika itu syaitan pun datang dan mencekik perempuan tadi. Barsisa datang merawatnya dengan membaca doa yang diberi oleh syaitan dahulu lalu sembuh. Setelah itu dia pun kembali sembahyang semula. Syaitan datang lagi dan mencekiknya. Barsisa datang untuk mengubatinya. Ketika itu si perempuan yang sedang sakit itu tidak sedarkan diri pakaiannya terlucut dari badan. Syaitan datang membisikkan di hati Barsisa, serta mengapi-apikannya supaya melakukan zina. Ini adalah peluang keemasan yang tidak mudah diperolehi. Selepas itu dia boleh bertaubat. Dia akan memperolehi apa yang dia mahu. Begitulah bisikan dan godaan iblis syaitan berulang kali. Akhirnya Barsisa tidak berupaya hendak mengawal dirinya lalu melakukan zina. Dia mengulangi perbuatannya tadi beberapa kali hingga perempuan itu besar kandungannya.
Ketika itu Si Putih menemui Barsisa dan berkata:
“Alangkahnya celakanya engkau wahai Barsisa. Kau telah melakukan perbuatan jenayah. Melakukan zina dengan perempuan yang diamanahkan kepada kau. Tidakkah kau malu bila keluarganya datang dan melihat anaknya hamil”?
Barsisa begitu terperanjat dan menyedari perbuatannya yang terlanjur. Melihat keadaan yang demikian, Si Putih berkata,
“Untuk mengelakkan diri daripada kecelakaan, mungkin kau perlu bunuh perempuan itu. Nanti bila saudara-saudaranya datang, katakana pada mereka yang perempuan itu telah dirasuk syaitan, kau tidak berupaya merawatnya…”
Hasutan Si Putih masuk dalam hatinya lalu dia masuk ke bilik perempuan tadi dan membunuhnya. Kemudian Barsisa membawa mayat itu keluar dan menanamnya di tepi sebuah bukit. Syaitan datang ketika Barsisa menanam mayat di waktu malam, lalu ia menarik keluar hujung kainnya dan ditinggalkan nampak di atas tanah.
Setelah itu Barsisa balik ke tempat ibadahnya dan bersembahyang. Tiba-tiba datanglah saudara mara perempuan tadi bertanyakan hal. Barsisa memberitahu apa yang diajar oleh Si Putih dengan mengatakan bahawa perempuan itu telah dirasuk syaitan lalu lari. Ia tidak berupaya hendak mengubatinya. Mereka percaya kata-kata Barsisa lalu beredar pergi.
Ketika tidur syaitan datang dalam mimpi saudara lelaki yang tua, memberitahu bahawa Barsisa telah membunuh adiknya dan menanamnya di tepi sebuah bukit. Ia tidak percayakan mimpinya dan mengatakan perkara yang dilihatnya dalam mimpi itu adalah daripada syaitan. Tidak mungkin Barsisa berbuat demikian kerana dia adalah seorang alim.
Mimpi yang sama terjadi selama 3 malam berturut-turut tetapi tidak dipedulikan olehnya. Syaitan datang kepada saudara lelakinya yang tengah dan mendatangkan mimpi yang sama. Dia juga tidak mempercayai mimpi tersebut. Kemudian syaitan pergi kepada saudaranya yang paling muda dan mendatangkan mimpi yang sama seperti yang dilakukan kepada saudara-saudaranya yang lain. Saudara yang muda ini telah memberitahu abang-abangnya tentang perkara yang telah dilihat dalam mimpinya. Akhirnya, mereka mengaku bermimpikan mimpi tentang hal yang sama.
Keesokan harinya mereka pergi menemui Barsisa, bertanyakan hal yang sebenar. Bersisa memberitahu mereka seperti jawapan yang lalu, lantas mereka beredar pergi. Ketika hendak pergi, iblis datang dan berkata bahawa saudara perempuan mereka ditanam di tepi bukit. Hujung kainnya terkeluar dari tanah. Mendengarkan cerita tersebut mereka semua pun pergi ke tempat yang dikatakan oleh syaitan tersebut. Mereka mendapati hal tersebut benar belaku.
Mereka semua kembali bersama kanak-kanak yang membawa kapak dan alat-alat lain lalu merobohkan rumah ibadah abid dan menangkapnya untuk diserahkan kepada raja. Barsisa mengaku yang dia telah berzina dengan perempuan yang berkenaan dan membunuhnya bila ia mengandung.
Ketika Barsisa dinaikkan ke atas tiang salib, syaitan datang bertanya.
“Adakah kau kenal aku?”
“Tidak”. Jawab Barsisa pendek.
“Akulah temanmu yang mengajar engkau doa-doa, maka aku perkenankan permintaanmu. Alangkah celakanya engkau. Engkau tidak malu kerana mengkhianati amanah yang dipertaruhkan kepadamu. Sesungguhnya aku sangka engkau adalah orang yang paling patuh dan taat perintah Tuhan dari kalangan Bani Israil. Kau tidak malu. Akulah yang menipu engkau.”. Si syaitan menyambung.
“Kau sekarang akan menjalani hukuman mati. Tidak ada seorang pun yang boleh menyelamatkan engkau… tetapi aku boleh melakukannya.”
“Apa yang patut kau lakukan.” Harapan Barsisa kepada syaitan.
“Berikan aku satu percubaan terakhir supaya aku boleh selamatkan kau daripada kesengsaraan ini. Aku akan dapat menutup pandangan mereka dan mengeluarkan kau dari tempatmu.” Jawab Syaitan.
“Apa dia” Tanya Barsisa lagi.
“Engkau sujud kepadaku.”
“Baik. Aku akan lakukan.” Barsisa berjanji akan sujud.
Ketika sujud iblis berkata, “Inilah yang aku mahukan darimu selama ini. Iaitu mengajak kau menjadi kafir. Kau akan menanggung akibat perbuatanmu dan aku takut kepada Tuhan.” Lalu iblis pun meninggalkan Barsisa.
Ketika itu juga Barisa menerima tikaman tombak dan panah. Ia mati dalam keadaan kafir.

Demikianlah kesudahan seorang ahli ibadah yang telah menghabiskan masa hampir 80 tahun dengan beribadah sahaja dan tidak pernah melakukan maksiat akhirnya berjaya ditewaskan oleh iblis laknatullah. Apatah lagi kita yang ibadahnya tidak pernah sempurna.. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita hingga ke akhir hayat.

Read more...

Kepercayaan Terhadap Kewujudan Makhluk Halus dan Gangguannya Menurut Islam

>> Monday, August 4, 2008

Dewasa kini kita sering didedahkan dengan banyak siri-siri televisyen yang memaparkan kisah-kisah yang berkaitan dengan ilmu hitam atau hantu-hantu. Di TV3 sendiri, antara siri drama televisyen yang popular dan mempunyai jumlah penonton yang tinggi ialah siri Seram. Bermula dengan drama Susuk, Saka dan yang terkini ialah Kekasihku Seru. Di pawagam-pawagam pula ada menayangkan filem-filem seperti Jangan Pandang Belakang, Waris Jari Hantu dan juga Susuk yang diadaptasi dari drama bersiri televisyen.

Persoalannya adakah kisah-kisah yang dipaparkan ini betul serta tidak menyalahi pegangan akidah kita sebagai umat Islam? Apakah kesan-kesan yang mungkin akan dialami oleh masyarakat kita jika terlalu banyak dihidangkan dengan cerita-cerita sebegini? Bahkkan ada juga pendapat yang cuba untuk menafikan kebenaran cerita-cerita tersebut dengan mengatakan "saya tak percaya dengan benda-benda ni semua, semuanya tak wujud, karut dan bertentangan dengan Islam". Adakah pendapat sedemikian benar? Adakah makhluk halus ini tidak wujud dan karut? Adakah perbuatan sihir itu tahyul?

Baiklah, melalui ruangan yang terhad ini saya akan berkongsi sedikit pengalaman sebagai seorang guru agama yang telah berhadapan dengan masalah-masalah yang disebabkan gangguan makhluk halus. Insya Allah, jika saya mempunyai kudrat dan dipanjangkan umur saya juga akan menjelaskan bagaimana kita hendak mengenali sesuatu masalah yang disebabkan gangguan makhluk halus atau sihir seperti santau, pukau, saka, guna-guna dan sebagainya, serta cara bagaimana untuk mengatasinya.

Sebelum itu saya hendak memberi komen terlebih dahulu terhadap pendapat yang mengatakan bahawa benda-benda ni semua karut, tahyul dan bertentangan dengan akidah Islam sebelum saya komen terhadap cerita-cerita drama atau filem yang terdapat di pasaran sekarang.

Sebenarnya kewujudan makhluk halus adalah suatu hakikat atau realiti yang wajib diyakini oleh umat Islam. Kewujudan mahkluk halus seperti iblis, syaitan dan jin adalah benar. Sebab itulah kita digalakkan membaca "A'uuzubillaahiminassyaitoonirrojiim" yang bermaksud "Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam'. Nah, bukankah ini satu dalil yang jelas menunjukkan bahawa makhluk yang kita tidak nampak itu iaitu syaitan memang wujud. Begitu juga kewujudan makhluk lain yang turut dinyatakan dalam Al-Quran seperti iblis, jin dan ifrit. Firman Allah S.W.T. dalam surah Az-Zariyat ayat 56-57 yang bermaksud:

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadah (menyembah) kepadaKu. Aku tidak meminta daripada mereka rezeki dan Aku tidak perlukan mereka memberi makan kepadaKu"

dan firmannya lagi dalam surah Al-A'raf ayat 176 (bermaksud):

"Dan sesungguhnya Kami telah sediakan bagi neraka jahanam itu seberapa banyak daripada golongan jin dan manusia. Mereka ada hati tetapi mereka tidak mahu berfikir dengannya. Mereka mempunyai mata tetapi mereka tidak mahu memerhatikan dengannya. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka semua seperti binatang-binatang ternakan, bahkan mereka itu lebih sesat, mereka itulah orang-orang yang lalai"

Sebenarnya ada banyak lagi dalil-dalil yang menyatakan tentang kewujudan makhluk-makhluk lain yang hidup bersama manusia dan mereka tidak dapat dilihat. Makhluk halus yang paling hampir dengan manusia dan mempunyai tanggungjawab (hukum taklif) yang sama dengan manusia adalah jin, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surah Az-Zariyat ayat 56 tadi.

Mereka juga hidup di dunia ini tetapi dalam alam yang berlainan iaitu alam yang tidak kelihatan. Apabila sesuatu makhluk itu hidup di dunia ini maka semuanya tertakluk kepada undang-undang alam atau fitrah alam. Fitrah alam adalah satu peraturan yang menyatakan bahawa terjadinya sesuatu perkara itu adalah disebabkan oleh sesuatu perkara yang lain. Contohnya sesuatu benda itu boleh dipotong menggunakan pisau atau parang, api adalah sebab sesuatu benda itu terbakar. Oleh yang demikian manusia dan jin juga tertakluk pada peraturan ini. Ada sesuatu perkara yang jika dilakukan oleh jin boleh memberi sesuatu kesan kepada manusia dan demikian juga sebaliknya terdapat sesuatu perkara yang jika dilakukan oleh manusia boleh memberi kesan kepada jin.

Sebab itulah jin boleh memberi kesan negatif kepada manusia seperti dalam amalan sihir. Ia adalah fitrah alam. Sesuatu fitrah alam itu tidak berlaku hanya dengan keizinan Allah. Contohnya seperti fitrah api yang membakar sesuatu, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu api tidak membakar sebagaimana dalam kisah Nabi Ibrahim A.S. Ini adalah mukjizat. Dalam amalan-amalan sihir yang kita boleh perhatikan juga kadang-kadang api tidak membakar.

Oleh yang demikian, kita hendaklah berpendirian bahawa makhluk-makhluk halus ini boleh memberi kesan negatif kepada manusia mengikut fitrah alam atau dengan keizinan Allah S.W.T. Ahli-ahli sihir atau bomoh atau dukun-dukun syirik boleh mendatangkan kecelakaan kepada kita setelah mendapat keizinan Allah.

Justeru, pendapat yang menyatakan bahawa kewujudan hantu-hantu, jin dan syaitan adalah kepercayaan karut adalah tidak tepat sama sekali. Makhluk-makhluk ini memang wujud, hanya namanya sahaja yang berbeza mengikut tempat. Jika di Malaysia, makhluk-makhluk halus ini dikenali dengan nama-nama seperti jembalang, pontianak, hantu raya, pelesit, toyol dan sebagainya. Semuanya itu adalah suku kaum dari bangsa jin.

Berkenaan dengan siri-siri drama dan filem seram yang ada di pasaran sekarang saya rasa banyak kesan negatifnya. Walaupun 90% kisah-kisah ini memang berdasarkan realiti, tetapi terdapat juga tokok tambah yang lari dari hakikat sebenar. Mungkin untuk menyedapkan jalan cerita. Dalam drama Susuk contohnya, adegan semasa Pak Ali berlawan dengan Degawan terdapat unsur-unsur tahyol iaitu semasa Pak Ali mengeluarkan kuasa api sama seperti Degawan. Ini adalah penambahan yang tidak berlaku di alam realiti. Seseorang yang mempunyai kelebihan berlawan dengan syaitan hanya perlu menggunakan kekuatan rohnya sahaja. Roh mereka akan bercahaya dan bersinar dengan terang dan boleh melemahkan syaitan. Individu seperti ini tidak memerlukan untuk membuka langkah persilatan untuk menentangnya, cukup dengan sinaran roh tersebut. (Saya akan huraikan bagaimana roh yang kuat dan bersinar dapat menewaskan makhluk-makhluk halus dalam kesempatan akan datang).

Selain itu, dalam filem waris jari hantu terdapat unsur-unsur yang mengajak penonton mempercayai bahawa saka itu adalah tidak salah. Saka itu boleh membantu di waktu kesusahan, saka itu bertujuan baik. Sehingga tamat filem ini tidak menyatakan bahawa menyimpan saka adalah satu perbuatan yang salah di sisi Islam dan boleh membawa syirik. Producer sepatutnya peka dengan keadaan ini sebab tersilap tindakan kita boleh menyebabkan ramai saudara-saudara kita menjadi syirik.

Baiklah cukup setakat ini, kita bincangkan tajuk-tajuk lain dikesempatan akan datang, Insya Allah.

Read more...

Kursus Buat Blog

>> Sunday, August 3, 2008

Kursus buat blog ini (2/8/08) adalah yang pertama kalinya pernah diadakan di Sepintar untuk tahun 2008. Nampak macam mudah je buat blog ni tapi kelihatan para peserta ni pening-pening lalat sikit. Walau bagaimanapun tahniah kepada para peserta kerana nampak peluang yang ada. Kursus ini cuma dikenakan bayaran sebanyak RM50 sahaja jika dibandingkan kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak luar yang kebiasaannya mengenakan yuran tidak kurang RM300 untuk kursus satu hari.

Terima kasih banyak kepada Cikgu Zali dari SK Taman Desa 2 kerana sudi datang memberi ceramah.

Tahniah juga diucapkan kepada Jawatankuasa Perkembangan Staff terutamanya Puan Roslina dan Puan Siti Fatimah kerana berjaya menganjurkan kursus ini.





* Kepada peserta-peserta kursus jika ada sebarang kesulitan, jangan malu dan segan, hantarkan mesej kepada saya melalui borang 'hubungi saya'.

Read more...

Kursus Suntingan Video

Selama 3 hari bermula pada 31 Julai sehingga 2 Ogos 2008 satu kursus suntingan video telah dijalankan di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Rawang.



Kursus suntingan video ini adalah yang ketiga kalinya pernah diadakan sejak 4 tahun yang lepas. Kali ini saya telah dipertangungjawabkan untuk memberi ceramah kaedah suntingan video menggunakan ulead video studio 9,10 & 11. Ternyata setiap peserta yang terdiri dari guru-guru media sekitar Rawang begitu teruja sepanjang tempoh kursus ini diadakan. Maklumlah inilah kali pertama mereka didedahkan bagaimana memproses rakaman video sehingga menjadi VCD atau DVD. Keterujaan mereka jelas ketara sehingga sukar untuk meninggalkan laptop masing-masing walaupun masa berehat telah sampai.

Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua guru-guru media ini semoga dapat memberi khidmat terbaik kepada sekolah masing-masing.





*Tahniah kepada En Azmy Sham dan rakan-rakannya kerana berjaya menganjurkan kursus ini.

Read more...

Komen / Pertanyaan





Form View Counter

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP